Thursday, July 9, 2009

Memoir - AkhirNya Ke Lana : Bhg 5

Waktu di tingktan tiga, cikgu selalu tekankan tentang peperiksaan LCE atau Lower Certificate of Education untuk aliran inggeris dan SRP atau Sijil Rendah pelajaran. Sekolah nak kekalkan tahap pencapaian seratus peratus kelulusan dan menjadi sekolah terbaik bagi negeri kami.

Selalu ada kelas tambahan, latihan peperiksaan dan majlis ulangkaji. Bersemangat sungguh cikgu-cikgu waktu itu. Memang bertuah mendapat cikgu sebegitu. Kami selalu di berikan kata nasihat dan perangsang dan akhirnya keputusan peperiksaan memang membanggakan. Aku pun lulus dengan cermelang. Dapat gred A. Aggregat pun baik. Cuma waktu itu tak adalah hadiah yang diberikan atau liputan berita besar-besaran macam sekarang. Cuma kami berseronok sendiri dengan kawan-kawan dan tak kisah sangat siapa yang paling baik. Keluarga rasa amat gembira dan berbangga.

Masuk tingkatan empat, kami menerima pelajar baru lagi. Ada pelajar lama bertukar ke sekolah atas permintaan masing-masing. Mungkin untuk lebih dekat dengan keluarga terutama bagi budak-budak yang jauh.

Tingkatan empat kata orang tahun honey moon. Maklumlah lepas habis periksa. Tapi sebenarnya perit terutama bagi kami dalam sekolah berasrama penuh dalam jurusan sains. Pening. Subjek paling pening ialah Matematik Tambahan. Subjek lain aku boleh terima lagi. Chemistry atau kimia paling aku minati. Mungkin cikgu yang mengajar pun baik dan pandai ambik hati kami. Yang boring ialah biology atau kaji hayat. Banyak sangat benda yang kena di baca atau di hafal. Ini yang lemah.

Matematik Tambahan pula cikgunya baik, cuba bersungguh untuk mengajar kami. Tapi bagi aku yang lembab sikit ni, jadi satu subjek yang begitu menekan. “Pening! Siapa lah yang pandai-pandai buat subjek ni” kata Halim dan Prem (kawan kami yang baru). Aku pun cakap, “ matematik tambahan tu maksud nya ...mati-mati tambah hang”. Dia orang pun ketawa. Tapi aku cukup hairan dengan kawan aku si Ali. Main sama-sama, bermalas pun sama-sama, bising sama-sama tapi bab matematik ni macam makan kacang. Dalam kelas dia cuma duduk tengok cikgu ajar lepas tu bila cikgu suruh buat depan papan hitan di depan, dia selamba aje buat dan betul pulak tu!. Ilmu apa dia pakai pun aku tak tahu.

Pernah aku, Prem, Zul dengan Hariri diberikan soalan di depan dan kami disuruh selesaikan. Sampai habis masa subjek tu kami belum dapat selesaikan sehinggalah sampai ke masa seterusnya iaitu Physic. Nak jadikan cerita, cikgu matematik ni minta cikgu Physic pastikan kami siapkan dulu soalan di depan tu. Leceh betul. Berpakat juga dia.

Tapi aku cukup bernasib baik sebab, Anita yang duduk di depan cuba bagi hint kat aku bila cikgu Physic tu sibuk dengan kerja dia. Dapatlah aku selesaikan. Kesian betul aku dengan Prem dan Zul yang terpaksa berdiri di depan sampai tamat masa Physic tapi tak juga dapat selesaikan masaalah tu.

Tngkatan empat dan lima adalah peringkat remaja. Aku tengok budak perempuan cepat betul mature. Ada dah yang pandai nak bercouple. Hairan juga aku tengok di orang ni. Hari-hari jumpa di library waktu kelas prep, bukan belajar sangat tapi bersembang entah apa-apa. Lama pulak tu. Tajuk apa pun aku tak tahu. Ada juga aku tanyakan kawan aku yang sorang ni...”hangpa sembang apa lama-lama, macam tak abih-abih cerita. Banyak betui. Buat novel ada juga paedah nya”. “ Ala hang tau apa...hangpa ni semua gang hu..ha..hu..ha, “ jawap kawan aku ni. “Ala kalau takat nak tanya dah makan ke belum, makan apa , buat apa...tak payah lah nak sembang lama-lama. Kita kan makan di dewan makan...sama je apa yang kita bantai” jawab aku membalas. “hang ni lah.....” jawab dia semula sambil tersenyum.

Yang bestnya aku dan kawan-kawan baik aku yang lain memang tak ada yang bercouple. Entah lah ...mungkin tak pandai atau memang budak perempuan pun tak suka pada kami yang suka jalan beramai-ramai dalam satu kumpulan dan suka buat bising.

Ada kawan kami yang kena tangkap semasa spot check kerana menyimpan rokok. Kena public canning waktu assembly. Yang syoknya, cikgu buat salam perkenalan yang agak panjang lebar tentang sahabat kami ni sebelum berikan hukuman rotan tu. Akhirnya kawan kami ni dapat satu surat dari secret admirer. Puas kena kutuk dek member. Sampai kesudahan nya tak tahu siapa secret admirer tu.

Tingkatan empat dan lima merupakan satu titik tolak dan perubahan dalam cara bergaul sesama rakan serta timbul nya semangat berpasukan terutama bagi kami di asrama. Tak kiralah samada benda yang di buat itu baik atau sebaliknya. Semua di buat bersama. Seronok. Ada thrill. Bargaduh pun angkat gang. Budak tingkatan empat bawa diri sesama sendiri, budak tingkatan lima sibuk dengan studi tapi ada juga yang releks. Yang best nya budak tingkatan tiga cuba masuk samada dalam gang tingkatan empat atau pun gang tingkatan lima. Jarang berlaku pertikaian antara budak tingkatan empat dengan tingkatan lima Cuma yang selalu terjadi disebabkan oleh budak tingkatan tiga yang ikut mana-mana gang dalam tingkatan lima atau empat. Dia orang ni minta tolong atau sokongan kalau ada apa-apa masaalah dengan gang atau kumpulan lain.

Kami semasa di tingkatan empat dan lima memang rapat antara satu sama lain, tak kira budak aliran melayu atau inggeris atau dari mana asal usul dan bangsa. Kebanyakkan di buat bersama.

Ada satu ketika semasa di tingkatan lima, waktu berbaris diluar dewan makan...ada seorang budak tingkatan empat cuba menyelit ke depan....potong barisan...kena pulak pengawas yang bertugas juga budak tingkatan empat. Jadi pengawas ni buat tak nampak saja. Aku dan member-member bengang juga...tapi kawan aku yang sorang ni dah tak tahan....terus ke depan dan tegur budak tadi. Apa yang terjadi sebaliknya...budak tadi mati-mati tidak mengaku.” Macam lah aku ni buta” tengking kawan aku ni. Keadaan jadi kecuh, pengawas tadi cuba masuk campur tapi nampak berat sebelah. Kami pun terpa ke depan, jadi lah kekecohan besar.

Datang lah satu cikgu perempuan, warden asrama perempuan. Amboi mak, dia pun macam berat sebelah juga. Mentang-mentang lah kami ni tergolong dalam kumpulan Hu..Ha..Hu..Ha. Kawan aku naik bengang, terus di tamparnya budak tingkatan empat ni depan warden peempuan tadi. Kami pun terus beredar, tak makan dan balik ke bilik. Di bilik kamai buat strategi. Member kami ni tentu kena public canning. Ikut peraturan sekolah memang sah. Alang-alang menyeluk perkasam, kami semua berpakat, biar puas hati. Biar putih tulang, jangan putih mata. Ini satu misi membalas dendam sebelum kawan kami di rotan.

No comments:

Post a Comment