Tuesday, June 30, 2009

Memoir - AkhirNya Ke Lana - Bhg 2

Minat melukis mambawa aku kepada satu pertandingan melukis peringkat asia sempena hari kanak-kanak sedunia. Jika lukisan aku menang, lukisan aku bakal di pamerkan di India. Malang, aku gagal. Aku agak rapat dengan seorang guru yang mengajar subjek lukisan. Dia juga kebetulan tinggal berhampiran dengan rumah aku dan juga mengenali keluarga aku, terutama abah. Cik gu Azmi, pelawak orang nya tapi kuat merokok hinggakan nampak benar kesan kuat merokok beliau pada giginya. Baju nya juga kuat bau rokok. Dulu, tiada larangan merokok dalam kawasan sekolah kecuali dalam kelas. Cik gu boleh merokok walaupun di kantin atau bilik guru. Sekarang semua dah berubah, kawasan sekolah dah jadi kawasan larangan merokok. Cikgu Azmi pun dah lama meninggal dunia. Mungkin kesan dari tabiat merokok nya sebab aku dengar dia meninggal sebelum usia menjangkau 60 tahun.

Ketika darjah lima , semua pelajar tahun itu kena menduduki peperiksaan penilaian atau ketika itu di kenali sebagai Assessment test. Aku cuma dapat 3 A dan 2 B. Pelajar bertahap sederhana. Semasa membuat persiapan menghadapi peperiksaan, ramai kawan-kawan aku membeli buku rujukan peperiksaan serta menyertai kelas tuisyen. Aku tidak malah kadang-kadang aku meminjam buku kawan-kawan yang sudi meminjamkannya. Aku tak pernah meminta abah belikan sebab tahu buku seperti itu agak mahal bagi kami. Kebanyakkan yang membelinya adalah anak cikgu-cikgu ataupun anak pegawai tinggi kerajaan. Kakak aku pun begitu jugak. Kami tak pernah meminta, cukup dengan apa yang ada.

Sebagai anak orang yang berpendapatan rendah, aku ditawarkan ke sekolah berasrama penuh. Kalau ikut keputusan periksa penilaian mungkin tidak layak sekiranya aku anak orang yang berpendapatan tinggi. Ada ruang khas untuk orang seperti aku. Dasar kerajaan dalam penubuhan dan pembinaan sekolah berasrama penuh.

Agak lucu apabila seorang teman sekelas, budak perempuan, namanya Rosmawati…dia mengadu tidak adil sebab nama aku terpilih ke sekolah berasrama penuh sedangkan dia yang mendapat 3A dan 2 B seperti aku tidak terpilih. Puas juga cikgu terangkan bahawa pemilihan di buat diperingkat kementerian. Antara asas pemilihan ialah pendapatan isi keluarga dan keputusan peperiksaan. Aku pun cakap kepada Rosmawati, kalau nak sangat ambil lah tempat aku. Rosmawati yang banyak cakap dan agak lincah pun menjawab “menyampah!”. Aku sekadar ketawa perli. Dia patut sedar orang seperti aku patut di berikan peluang belajar di sebuah sekolah yang lengkap. Dia pun apa kurangnya, ditawarkan tempat ke sekolah rancangan khas. Bapa nya seorang guru besar….tentu ada pengaruh.

Abah orang yang paling suka apabila mendapat tahu aku dapat tawaran ke sekolah berasrama penuh. Aku sendiri pun tak tahu apa istimewanya sekolah seperti itu kecuali sekolah itu ada asrama dan semua pelajar harus tinggal di asrama. Waktu itu aku baru berumur 12 tahun, banyak yang perlu aku pelajari termasuklah mambawa diri sendirian di asrama. Nasib baik juga ada beberapa teman dari sekolah yang sama ke sana….termasuk lah Mohd Amin dan Norizan. Mohd Amin dan Norizan adalah kawan sekelas aku dari darjah satu lagi….One Green. Mohd Amin baik orangnya dan sama-sama dengan aku dalam pasukan hoki dan bola sepak sekolah. Norizan ni pula budak perempuan yang lebih dikenali dikalangan rakan sekolah dengan panggilan “Pak Mat”….sebab nya nama ayah nya “Mat”. Pak Mat juga aktif sukan, kalau tak silap di mewakili sekolah dalam olahraga, bola jaring dan hoki perempuan. Dia ni cerdik dan jadi pengawas sekolah.

Memasukki sekolah berasrama penuh memerlukan belanja yang agak banyak. Abah tak kisah. Kena beli cadar putih, selimut, sarung bantal putih, kelambu, stoking putih, kasut hitam dan lain-lain. Kena juga beli peralatan lain seperti baldi untuk membasuh kain, tuala baru, sikat rambut dan macam-macam lagi yang tak perlu dibeli jika aku ke sekolah biasa berdekatan dengan rumah.

Sekolah berasrama ini baru di buka…jadi tak banyak pelajar..malahan tiada langsung unsure-unsur ragging atau buli. Mungkin disebabkan baru…pelajar yang senior (mendahului kumpulan kami hanya 6 bulan), tak tahu apa itu ragging atau sebagainya. Jadi aman sikit kehidupan aku di sini.

Sekolah ini memang betul-betul baru di buka. Tiada pokok yang besar dan keadaan agak lapang dan panas. Tiada tempat nak berteduh apabila aktiviti di padang dibuat. Kami, pelajar-pelajar sekolah ini….pelajar pioneer dan senior..kemudian nya diberikan satu projek mengikut kelas dan tingkatan. Kelas aku ditugaskan dalam urusan penanaman lanskap dan taman batu atau rock garden di kawasan dewan besar sekolah. Ada kelas yang terlibat dalam penanaman pokok peneduh di kawasan padang bola sepak dan padang hoki. Ada yang ditugaskan di kawasan dewan makan dan asrama. Tiap-tiap petang, kami semua sibuk…tapi seronok. Buat aktiviti tanaman dengan rakan sekelas memang seronok. Main sambil bekerja. Cikgu yang bertugas siapkan minuman. Cikgu kelas aku cukup best sebab dia rajin. Selalu kami dapat minum air bersama kuih yang dibuatnya sendiri. Kelas lain tak ada pula. Cemburu mereka tengok kami yang cukup mewah dengan minuman dan makanan.

Lama juga projek lanskap ni sebab selain dari menanam, kami juga kena buat penyelenggaraan seperti menyiram dan membaja. Kerja mengembur tanah dan merumput pun kami uruskan. Cikgu kelas aku begitu bersungguh.

Bila melalui sekolah ini apabila pulang bercuti, aku cukup bangga untuk menceritakan kepada anak-anak dan isteri bahawa itu lah pokok-pokok hasil dari sumbangan tenaga dan buah fikiran aku dan rakan-rakan. Banyak betul perubahan yang berlaku. Terbit rasa teringatkan kawan-kawan yang sama-sama mengharungi zaman suka duka di sekolah dulu.

Thursday, June 25, 2009

AkhirNya Ke Lana - Bahagian 1

AKU

Waktu masih kecil, tak pernah di duga akan sampai ke tempat seperti ini. Terkenang semasa berseronok berlari-lari, bersama kawan-kawan di kampong. Kadang-kadang, apabila balik ke rumah, mak marah-marah sebab baju kotor dan badan berpeluh-peluh dan melekit. Itu tak kisah, sebab seronok punya pasal. Lagi pun memang dah budak-budak, apa nak cakap. Mak pun sekadar marah sebab ambil berat. Cuma ada sekali aku dikejar dengan paip air getah hampir keliling kampong sebab mak terlalu marah. Aku pun tak ingat sebab apa. Lagi pun aku masih budak-budak. Budak laki-laki yang tengah naik dan aktif. Aku memang aktif pun.

Abah tenang orangnya, dia jarang marah-marah, sekadar memberi nasihat. Aku cukup hormat dengan aruah abah yang meninggal sekitar 3 tahun lepas pencen. Waktu tu aku bekerja di Pahang. Tiba-tiba abah meninggal. Katanya abah meninggal sebab kena sakit jantung. Katanya abah sedang bersiap nak sembahyang maghrib dan tiba-tiba saja sakit dada. Hanya mak dan adik aku yang bongsu ada di rumah waktu tu. Setahu aku abah ni sihat. Waktu bekerja dulu, jarang sakit atau ambil cuti sakit. Abah tak merokok , apatah lagi minum minuman keras. Tapi mungkin juga sebab makanan dan kurang aktif selepas pencen dari bekerja. Yang aku tahu, abah memang ada penyakit kencing manis.

Kakak aku yang sulung selalu juga kena bising dengan mak sebab biasalah, kena tolong kat dapur. Lambat ke atau tersilap sikit mesti kena bising. Anak perempuan, anak sulung pulak tu. Kakak aku pulak tak lah merungut sangat. Dia ikut saja. Dia pandai juga ambik hati mak cuma mungkin mak saja yang mahu dia buat kerja biar ikut cara mak.

Kat kampong, suasana memang seronok. Kini baru aku sedar. Dulu aku tak kisah sangat sebab dah biasa, jadi tak ada yang istimewanya. Bila dah besar, dah bekerja dan duduk jauh dari kampong, baru lah aku sedar betapa cantik, indah dan nyaman suasana di kampong sendiri. Tok Wan pula ada kebun getah dan dusun yang di tengahnya mengalir satu anak sungai yang cantik. Airnya jernih dan pasir nya halus dan bersih. Selalu aku mandi kat sana dengan kawan-kawan atau pun kadang-kadang dengan makcik aku. Pernah jugak aku bangun pagi-pagi, nak ikut tok pergi menoreh getah. Waktu tu, aku dah bersekolah dan duduk bersama keluarga di bandar kecil. Jarak dengan kampong dalam 3 jam perjalanan. Tok marah aku sebab ikut dia, lagi pun awal pagi banyak nyamuk dan suasana masih gelap dan sejuk. Namun tok benarkan aku ikut sebab tak sanggup biar aku balik sorang dalam gelap dan keadaan yang sejuk begitu. Menyesal juga sebab baru aku sedar betapa banyak nya nyamuk dan juga pacat. Balik ke rumah kena marah dek mak namun dia dengan tok tetap tolong buangkan pacat . Tok pula asyik nasihatkan aku. Kesian jugak kat tok. Ada juga pacat yang hinggap sampai ke dalam seluar.Geli betul. Kulit aku pulak tak tahan dek gigitan pacat dan nyamuk. Bila gatal, aku garu-garu. Bila garu bertambah sedap dan akhirnya jadi macam kudis. Nak bagi parut kudis tak jelas, tok sagatkan ubi kayu dan tampalkan pada tempat berkudis tu. Tok nasihatkan aku jangan makan kicap banyak sangat takut parut jadi hitam. Tak lawa, katanya. Entah betul ke tidak, itu aku tak pasti tapi yang aku tahu, di kaki aku tak ada sangat parut yang hodoh dan jelas di pandangan.

Tok pun dah lama meninggal begitu juga tok wan. Tak puas aku bermanja dengan tok dengan tok wan sebagai seorang cucu. Cucu tok dan tok wan pun ramai. Cucu tok dan tok wan kebanyakkan nya laki-laki. Aku cucu yang ke berapa pun, aku sendiri tak ingat.

Tok dan tok wan mengikut ceritanya berasal dari selatan Thailand. Orang Patani, mungkin. Kalau ikut dari cara bercakap, memang ada betul cerita yang aku dengar tu. Tok pula ada masaalah nak sebut setengah-setengah perkataan. Kadang-kadang jadi keliru kalau tak dengar betul-betul.

Tok Wan kira alim. Kuat sembahyang dan di kampong dia jadi guru mengaji quran , tok imam dan pandai juga dalam hal-hal perubatan tradisional. Namun, aku tak pula pernah berubat dengan tok wan secara tradisional. Pernah juga aku tengok orang datang berubat tapi tak tahu pula macamana kesudahan nya. Tok Wan kira cukup dihormati di kampong. Semua orang kenal dan aku sebagai cucu pun ikut kena tempias nya.

Tok Wan sebelah abah pula katanya berasal dari Aceh, Indonesia. Betul atau tidak, tak ada sesiapa boleh sahkan. Namun, ikut ceritanya, moyang aku dulu, sebelah abah, mendarat di satu tempat bernama Kampung Aceh, berhampiran dengan pekan Nibong Tebal , Pulau Pinang. Pernah juga aku ke kampong tu semasa pergi jemputan makan kenduri keluarga di sana. Yang jelas, hubungan kekeluargaan masih ujud walaupun aku sendiri baru kali pertama melawat kampong tu. Ramai sepupu, dua pupu dan saudara yang lain yang memang aku tak pernah jumpa atau kenal berada di sana. Aku juga ada di ceritakan bahawa masih terdapat kubur-kubur datuk moyang aku di sana. Tak pula pernah aku tanyakan kepada abah. Tok Wan ni ada saudara kembar tapi kembarnya tak ada anak. Abah pula ramai saudara kandung dan kalau tak silap aku ada dekat sepuloh orang ....dari mak long sampai dua tiga orang mak cik. Tok Wan ada 4 saja anak lelaki dan abah anak lelaki ke empat.

Tok atau nenek sebelah abah juga berasal dari Aceh. Itu cakap-cakap yang pernah aku dengar. Mungkin ada kebenarannya sebab nama tok aku ni pun agak pelik sedikit, aku panggil dia Tok Nen. Tok Nen agak rapat dengan aku sehinggakan waktu dia sakit, di suruhnya bapa saudara aku mencari dan memanggil aku balik ke kampong. Aku pun bergegas balik ke kampong yang sebenarnya dah lebih 10 tahun aku tinggalkan. Sesat aku waktu tu. Sampai nya waktu malam dan puas aku bertanyakan orang. Kampung dah banyak berubah. Kampung aku dah banyak pembangunan.

Tok Wan dan Tok Nen juga dah lama meninggal dunia.

Aku pun dah dewasa, dah bekerja dan berkeluarga. Sekarang baru lah terasa bagaimana sesebuah keluarga terbina. Cemburu juga tengokkan keluarga lain ada menyimpan silasilah keluarga . Ada juga yang membuat perjumpaan setahun sekali beramai-ramai, mengumpulkan semua ahli keluarga , dari moyang sehinggalah cicit piut.
Bangga dia orang apabila gambar terpampang dalam surat kabar atau tersiar dalam televisyen.

Aku berasal dari satu keluarga yang agak kurang berada. Abah bekerja dengan jabatan kerajaan yang gaji tak seberapa akibat dari tahap pendidikan yang diterima. Mak pula, suri rumah sepenuh masa. Aku ada lah anak kedua dari 4 orang saudara kandung, kakak yang sulung dan ada 1 adik lelaki dan adik perempuan.

Pendapatan isi keluarga memang berharapkan dari abah.Abah jimat orangnya. Abah bukan kaki boros. Abah sentiasa berhemah dalam perbelanjaan keluarga. Abah jarang membeli pakaian baru untuk dirinya tetapi sentiasa memastikan pakaian nya sentiasa bersih dan kemas. Abah sentiasa nampak kemas.Rambutnya bersikat rapi ...siap dengan minyak rambut walaupun rambutnya dah agak jarang dan nipis. Pantang panjang sikit, tentu dia ke kedai mamak gunting rambut. Aku pun terikut caranya sebab waktu kecik dulu aku sering di bawanya gunting rambut walaupun rambut masih pendek. Aku pun jarang merasakan pakaian baru tapi yang pasti setiap kali hari raya, aku dan adik beradik aku akan mendapat sekurang-kurangnya 1 pasang pakaian baru.

Keadaan yang serba kurang, walaupun bukan pada tahap miskin, menyebabkan aku lambat dapat merasakan bagaimana seronoknya menaiki basikal. Aku belajar mengayuh basikal apabila abah membeli sebuah basikal untuk kegunaan pergi bekerja. Atas sifat dan sikap berjimat cermat, abah berjaya menyimpan duit yang cukup untuk membelikan aku sebuah basikal ketika umur aku menjangkau 9 tahun dan abah juga mampu membeli sebuah kereta terpakai ketika aku berumur 12 tahun. Merasalah aku sesekali menaiki kereta ke sekolah walaupun dengan menaiki kereta terpakai. Rasa bangga juga waktu itu. Waktu itu, kos sara hidup agak rendah. Belanja sekolah setakat 20 sen sudah cukup untuk makan nasi lemak dan air sirap. Aku jarang belanja duit poket sebab selalu bawa bekal ke sekolah. Seronok juga bawa bekal ke sekolah sebab aku selalu makan semasa rehat dengan kawan-kawan dan selalu juga kami berkongsi lauk atau kueh yang dibawa.

Aku bersekolah di sebuah sekolah aliran inggeris. Waktu tu ada sekolah aliran bahasa melayu dan bahasa inggeris disamping sekolah Tamil dan Cina. Sekolah beraliran inggeris selalunya lebih baik dan ada yuran tambahan yang perlu dibayar sebagai yuran tambahan untuk aktiviti kelas tambahan dan sukan yang selalu diadakan.

Aku seorang pelajar tahap sederhana. Aku minat melukis dan juga bersukan. Aku mewakili sekolah dalam pasukan hoki dan juga bola sepak. Ketika menyertai pasukan bola sepak bawah 12 tahun, pasukan kami menjadi naib juara dan hoki bawah 12 tahun, pasukan kami menjadi juara negeri. Bangga juga apabila tiba waktu penyampaian hadiah apabila nama di panggil untuk menerima trofi dan sijil kemenangan. Ini selalu di buat ketika perhimpunan mingguan sekolah. Satu sekolah bertepuk tangan. Abah tak kisah apabila aku menyertai pasukan bola sepak tetapi apabila aku menyertai pasukan hoki, dia bimbang sebab katanya sukan hoki agak membahaya. Kayu hoki boleh mencederakan. Namun akhirnya dia mengalah.

Wednesday, June 24, 2009

Lana _ Suatu Permulaan

hari Ini Tanggal, 25hb Jun 2009, Memoir - Akhir Nya Ke Lana, di lancarkan tapi isi kandungannya akan di muatkan sedikit masa lagi. Hanya menceritakan perjalanan dari mula sehingga tercampak ke daerah bernama Lana , tak pernah di dengar suatu ketika dulu.

Lana, terletak dalam kawasan Punan Ba', Daerah Kecil Nangga Merit, Daerah Belaga, Bahagian Kapit, Sarawak. Ianya kawasan pendalaman, perjalanan ke sana mengambil masa, biasanya pada cuaca baik, 3 jam dari Bandar Bintulu, kalau cuaca kurang baik, laluan jalan balak ke sana akan mengambilmasa paling kurang empat jam... tertakluk kepada keadaan. Kalau benar-benar teruk, mungkin sampai 5 - 6 jam.

Satu cabaran terutama bagi mereka yang mula-mula datang ke mari, meneroka serta membangunkan projek dekat kawasan ini. Masyarakat etnik sini ialah kaum Punan, pembangunan projek di sini telah membuka peluang atau setidak-tidakmya membawa satu kemajuan atau perubahan terhadap cara hidup mereka.

Memoir ini jugak akan menyingkap kenangan indah semasa zaman sekolah dan semasa belajar di kolej dulu.

Pada kawan-kawan lama (mungkin ada lawan juga), kamu semua tetap saya ingat walaupun lama tak pernah jumpa atau bertanya kabar. "Lost contact".