Wednesday, July 1, 2009

Memoir - AkhirNya ke Lana : Bhg 3

AKU DAN SEKOLAH

Sekolah rendah aku simple sahaja...bangunan separuh kayu dan separuh batu. Yang lawaknya, tingkap nya terlalu tinggi dan kami sewaktu darjah satu terpaksa naik atas kerusi untuk membuka atau menutupnya. Padang sekolah agak luas, mungkin tanah waktu itu murah Cuma yang aku hairan, kenapa bangunan kelas di bina terlalu rapat antara satu dengan lain. Semua bangunan kelas hanyalah satu tingkat saja. Tiada bangunan tinggi waktu tu. Bangunan yang paling tinggi di pekan kecil ini ialah bangunan Wisma Persekutuan yang menempatkan pejabat-pejabat kerajaan persekutuan dan Wisma Negeri yang menempatkan pejabat menteri besar dan pejabat tanah.

Waktu di darjah dua, kami terpaksa menumpang di sekolah menengah berhampiran sebab sekolah kami sedang di naik tarafkan. Kami menumpang di sekolah menengah ini selama hampir setahun setengah. Waktu menumpang di sekolah menengah ini, keadaan agak kelam kabut terutama waktu rehat dan waktu nak bersukan. Budak-budak sekolah menengah (kami disessi petang), selalu saja kacau kami terutama ketika bermain bola di padang. Selalu saja nak mengganggu. Boring betul! Pernah juga kami nak bergaduh...tapi sebab kami ni masih kecil dan mereka rata-rata dari tingkatan satu dan dua, maka kami terpaksa bersabar . Namun pernah juga sekali terjadi pergaduhan apabila kami sedang bermain bola, ada budak sekolah menengah mengganggu rakan kami yang berketurunan sikh. Di ejeknya kawan kami sehinggakan dia naik marah dan cuma menendang budak sekolah menengah tersebut. Kawan-kawan budak sekolah menengah yang seramai tiga orang cuba masuk campur. Apabila keadaan bertambah tegang, aku dan kawan-kawan seklas yang lain masuk campur dan berlakulah pergaduhan....tendang menendang dan tumbuk menumbuk. Yang jelasnya tak ada siapa yang menang atau kalah cuma baju kotor dan semua dimarahi cikgu. Kami semua rasa bangga juga sebab lepas kejadian tu, tak ada lagi budak sekolah menengah yang mengganggu kami lagi.

Waktu tu, kami sekelas, tak kira apa suku bangsa atau kaum bersatu membantu kawan kami dari kaum sikh ini...Ranjit Singh. Kami semua berkawan baik. Tiada langsung perasaan perkauman. Makan, minum, belajar dan bermain bersama. Ada dua tiga orang kawan aku berbangsa cina seperti Yap dan Chong. Kami selalu bersama....sehingga lah terpisah apabila bertukar ke sekolah menengah. Cuma yang aku kesal, Ranjit telah meninggal dunia akibat penyalahgunaan dadah. Memang malang betul. Aku ingat dia bersama-sama aku dalam pasukan hoki sekolah. Ranjit penyerang yang handal dan aku bermain dalam posisi pertahanan. Yap sebagai penjaga gol dan Amin bersama-sama Ranjit sebagai penyerang. Ada juga seorang kawan sekelas kami bernama Mohd Nizar yang bermain sebagai pemain tengah. Nizar memang handal dan cekap. Nizar sekarang dah jadi jurutera, Chong dah jadi doktor, Amin pegawai kanan kerajaan dan malangnya aku dah hilang contact dengan Yap.

Zaman sekolah rendah penuh cerita dan kehidupan yang meninggalkan kenangan penuh suka duka dan nostalgia kehidupan zaman kanak-kanak.

Memasukki zaman sekolah menengah pula mencipta satu dimensi baru. Menerima tawaran ke sekolah berasrama penuh bagaikan satu titik tolak perubahan dalam diri aku dan keluarga aku. Satu permulaan baru dalam kehidupan. Satu pengalaman baru yang tak pernah dijangka, Aku pun tak tahu sangat macamana sekolah berasrama penuh ini. Yang jelas, semua pelajar harus tinggal di asrama.

Kawan sekelas aku yang bersama-sama ditawarkan ke sekolah berasrama penuh ialah Chong, Amin, Pak Mat, Nizar dan Azahar. Aku tak rapat sangat dengan Azahar sebab dia anak orang yang agak berada, pandai (dapat 5A) dan juga ketua pengawas. Tapi orang nya baik, juga pemain hoki dan pandai dalam pemainan catur.

Amin pernah bertanya aku .” hang nak pi ke sekolah tu?. Sekolah tu tang mana?” Aku pun jawab, “ tak tahu lagi, kena tanya abah aku. Tengok list barang macam banyak kena keluaq duit. Tengoklah nanti”.

Abah setuju dan sanggup keluarkan belanja. Abah aku tengok macam bangga. Mungkin dia dah tahu dari rakan-rakan sekerja yang mengatakan sekolah itu baik dan untuk pelajar-pelajar terpilih sahaja. Banyak juga borang yang kena isi dan kena dapatkan tandatangan penghulu dan majikan. Kena buat pemeriksaan doktor. Pertama kali aku kena x-ray. Nasib semuanya ok. Banyak juga barang yang kena beli, aku pun seronok juga. Waktu tu pulak sekolah berasrama penuh ada seragam masing-masing. Tak sama dengan sekolah biasa yang lain. Kami guna seragam seluar pendek berwarna putih dan baju putih. Kasut warna hitam dan berstokin putih. Itu sampai ke tingkatan dua sahaja apabila kementerian pelajaran menetapkan pakaian seragam yang serupa untuk semua sekolah iaitu seluar pendek warna hijau gelap dan baju putih. Bila masuk tingkatan empat, kami tukar seluar panjang warna hijau gelap Cuma pengawas sekolah pakai seluar warna coklat tua.

Di sekolah ini aku bertemu dan berjumpa ramai kawan-kawan baru dari sekolah rendah lain dan juga dari merata-rata negeri termasuklah dari Sabah dan Sarawak. Bermula lah satu lagi titik tolak dalam persahabatan baru.

Shukri, Zul, Hasnul, Kasiraja Pillay dan Kamel dari sekolah aliran inggeris dari negeri yang sama dan selalunya menjadi seteru utama dalam pertandingan sukan terutama hoki dan bola sepak. Ali, Syed Amir dan Syed Nazar pula dari sekolah lain, juga dari negeri yang sama. Halim dari Sabah. Hariri, Zaki, Meor, Megat, Khalid dan Zambri pula dari Perak. Ada ramai lagi termasuk lah Murni dari Sarawak. Budak-budak perempuan yang aku ingat ialah Anita, Sabariah, Boey, Arina, Sahrizan, Anne dan Norlida.

Tingkatan satu tak banyak masaalah . Kami semua berkawan baik umpama satu keluarga. Dan sebagai sebuah sekolah berasrama yang baru siap digunakan, tiada ragging atau buli. Kami semua senang bersama tanpa banyak kerenah senior-senior. Malah kami boleh dianggap macam pioneer . Ada satu batch pelajar tingkatan dua yang masuk enam bulan lebih awal kerana mereka semua telah terpilih dan terpaksa belajar dengan menumpang di sekolah lain kerana sekolah ini tak sempat disempurnakan mengikut jadual. Pelajar tingkatan empat masuk pada bulan April, setelah beberapa lama keputusan peperiksaan LCE dan SRP dikeluarkan.

Sekolah kami ada dua aliran bahasa iaitu bahasa inggeris dan bahasa melayu. Ada dua kelas bagi setiap aliran dalam setiap tingkatan. Maknanya ada 2 kelas tingkatan satu dalam aliran inggeris dan 2 kelas tingkatan satu dalam aliran bahasa melayu. Di sinilah aku berkenalan dengan Hisham, Sahril, Anuar dan lain-lain dari kelas aliran bahasa melayu. Kami semua berkawan baik tanpa mengira kelas atau aliran bahasa. Kami betul-betul bersatu hati dan berpakat baik. Main bersama, bersukan bersama dan tinggal dalam satu dorm bersama. Salah faham yang timbul antara kami selalunya diselesaikan dengan bantuan dan nasihat kawan-kawan.

No comments:

Post a Comment