Wednesday, July 29, 2009

Perjalanan ....

Perjalanan ke Lana masih jauh... tapi perjalanan pulang ke Perlis memang membawa banyak kenangan lama. Aku sempat jumpa kawan lama, ada yang terserempak kat jalan tapi tak sempat tegur dan ada jugak yang tak cam aku lagi.


Tapi nak heran apa, dah lebih 30 tahun tinggalkan sekolah. Berita terbahru dari seorang kawan lama, yang sekarang ni tinggal di Bangi ialah berita kematian... Kematian Selamah Yahya, senior di sekolah dulu akibat strok pada hari raya lepas... cerita lama tapi baru dikabarkan. Aku tak ingat sangat allahyarhamah ini, tapi itu satu ingatan bahawa pada usia sebegini, kita yang jadi penumpang di dunia ni, kena ingat bahawa masa nya akan tiba jua...


Member yang inform tu pun sedang berhadapan dengan pneumonia, paru-paru collapse dan doktor tengah memantau kidney dia juga. Sekarang, kerap benar dia contact aku samada secara sms atau phone call. Mungkin kawan-kawan seasrama lebih senang di bawa berbincang..



ps


Buat Roslan Mat Noor, semuga cepat sembuh dan aktif semula macam dulu-dulu (walaupun tak 100%)... rajin2 makan ubat, aku akan terus contact dan contact....

Memoir-AkhirNya Ke Lana (Bhg 11)

Di asrama, tempat menghilangkan gian merokok ada banyak. Tempat-tempat yang gelap dan strategik jadi pilhan. Ada juga merokok dalam bilik. Tapi ini ada risiko sikit kecuali ramai teman sebilik kaki merokok dan yang tak merokok pulak sporting habis. Tapi kalau bilik dekat dengan bilik warden atau dekat dengan tangga, jangan cari penyakit. Selalunya kalau merokok dalam bilik, ada pulak penjaga pintu. Bergilir-gilir. Yang best nya, merokok pun boleh berkongsi. Sebatang rokok kadang-kadang dikongsi sampai tiga empat orang.

Tempat paling stategik dan selamat ialah kat tangki air di atas siling, di tingkat paling atas. Sejuk sebab bersandar pada tangki air besi yang besar tu. Nyamuk banyak juga tapi thrill punya pasal tak kisah. Ada satu operasi mencuci kawasan tangki air, dia orang dapat beberapa tin minyak tanah (kosong) puntung rokok dari atas tangki tu. Mungkin collection untuk sekian lama.

Pada satu malam, sekitar jam sepuluh malam, warden ronda-ronda dan dapat tangkap pelajar tengah merokok.... mungkin dapat info dari mana-mana kut. Dapat pulak rampasan rokok yang agak banyak. Malam tu jugak bunyi loceng drill...semua penghuni asrama kena turun dan beratur depan laman yang terletak di tengah-tengah blok asrama. Apa lagi, warden pun lecture habis. Budak yang kena tangkap di arahkan berdiri dekat warden. Warden ni berdiri sambil bagi lecture di tingkat satu blok asrama...jadi semua orang boleh tengah dan dengar ceramah nya. Nak jadikan cerita, warden ni pun baling le rokok yang di rampas ke bawah. Tengah marah kan! Budak-budak semua diam. Tak ada yang berani cakap. Warden
tengah hot!. Bersurai saja, ada lah kutu yang intai cari rokok yang di baling warden tadi. Ada jugak yang dapat. Jadi stok baru le!

Tapi sebenarnya rokok boleh merapatkan ikatan persahabatan ... antara perokok-perokok tak kira dari batch mana atau kelas mana. Rokok boleh jadi kawan dan rokok juga boleh bawa lawan. Sebenar nya jangan merokok, itu lebih baik... buang duit saja.. harap harap budak sekarang tak buat kerja merokok di asrama ni.

Dekat dengan periksa MCE, ramai yang jadi kaki study. Junior bising sikit memang kena marah. Kadang-kadang bergaduh juga terutama dengan form four yang tengah mengalami zaman honey moon. Yang tak pernah ke library pun sibuk ke library cari rujukan tambahan. Kat library pulak ramai mat dan minah yang terror-terror dok studi. Jadi dia orang ni lah yang jadi macam tutor. Selalunya dia pun tak kisah dan sanggup membantu, jadi tanya. Mungkin dia orang pun mudah ingat dan sama-sama belajar dengan cara ni. Macam group discussion.

Subjek macam matematik tambahan kena buat latihan selalu.Cikgu selalunya bagi latihan tambahan dan kemudian nya berbincang dalam kelas untuk mencari jawapan. Lengkap dengan jalan-jalan penggiraan. Kalau rajin dan tekun, boleh dapat ingat. Biasanya subjek macam matematik tambahan ni yang jadi ramai tension.

Aku bab studi ni, tak macam orang lain. Orang lain sibuk pergi library, buat nota. Kat hostel pulak, baca kat study room. Aku lepas prep lepak kat tv room @ common room. Tengok tv dulu. Bila dah habis, balik bilik tidor. Pagi esok, awal-awal bangun, pinjam nota kawan dan mula buat nota sendiri. Tapi, buat nota ni bukan apa... spot question. Itu saja yang aku pulan, mula study last minute sebelum masuk dewan peperiksaan.

Bila hari peperiksaan, budak-budak dari tingkatan lain dah balik bercuti, tinggal lah budak tingkatan lima sahaja. Jumlah student dah jadi sedikit, makan kat dewan makan pun rasa lebih sedap. Kelas tambahan dan ulangkaji setiap hari memang ada sehingga lah hari peperiksaan. Kadang-kadang masa rehat antara satu paper dengan paper yang lain pun digunakan sebagai sessi last minute study. Ada lah perbincangan secara kumpulan terutama soalan-soalan yang dijangka keluar. Heran jugak, waktu dulu tak ada pulak soalan bocor!. Aku memang kaki last minute dan spot soalan jer.

Budak-budak tingkatan lima ni, waktu dekat peperiksaan atau pun semasa musim peperiksaan, macam-macam perangai keluar. Ada kawan yang bawa basikal ke sekolah... Jalil namanya.... bukan Jalil Hamid tau. Cikgu pun tak perasan sangat sebab cikgu lain dah bercuti dan warden pun tak lah ronda sangat. Bawa pulak tu basikal tua...ala-ala basikal tua aruah Sudirman. Waktu pergi dewan periksa siap kayuh basikal. Bukannya jauh tapi mungkin cara nak hilangkan nervous dan tension. Malam siap simpan basikal tua tu dalam bilik. Siap usung naik tangga!. Ramai pulak kawan-kawan yang petang-petang kayuh basikal ambil angin keliling asrama. Seronok pulak rasa masa tu. Bestnya kat asrama ni, pergi ambik ezam tak payah kelam kabut.

Studi masa musim peperiksaan ni ada macam-macam jenis. Ada yang suka ke library, ada yang setakat kat bilik darjah saja dengan grup masing-masing. Ada yang suka studi sampai tengah malam, ada yang tidur awal dan bangun awal pagi dan ada juga yang buat nota kecik dan lepas tu awal-awal ke dewan peperiksaan dan buat last minute study. Mula lah lepak kat tepi longkang kawasan dewan. Selalunya untuk subjek jenis kena baca dan ingat , macam geografi, ugama dan biology. Subjek jenis kira-kira atau ada formula yang kena ingat, nota kecik ni penuh dengan formula...kadang-kadang naik confuse.

Guru yang jaga periksa semuanya guru dari sekolah luar. Ada pulak budak-budak yang buat perangai masuk dewan periksa pakai selipar jepun dan baju tak masuk ke dalam. Lama-lama ketua pengawas periksan pun report kat guru besar...dan last sekali keluar circular...sesiapa yang tak ikut peraturan tak di benarkan masuk dewan peperiksaan. Keadaan pun balik normal.

Sunday, July 26, 2009

Jumpa kawan Lama - Bon

baru-baru ni aku balik ke Perlis, mak aku jatuh sakit. Jadi kena lah balik dan tengok keadaan dia. Tak lah serius, cuma batuk-batuk dan penat. Bila dah penat, nafas naik sesak dan terpaksa guna inhaler.

Petang Khamis tu, aku terpaksa bawa mak aku ke bahagian kecemasan hospital Kangar sebab mak aku naik pucat dan nafas dia tercungap-cungap. Jadi dia kena rawatan di bahagian tu, masukkan oxygen selama hampir setengah jam dan keadaan jadi pulih semula.

Di hospital Kangar, teringat aku akan seorang kawan lama, sekelas, yang bekerja di situ. Nama dia Syed Amir atau lebih dikenali sebagai Bon. Dia memang kerja kat hospital Kangar. memang member lama dan lama juga tak jumpa. Bon masih macam dulu, badan masih ok dan muka tak banyak berubah. Cara dan interaksi kami masih macam dulu.... teringat betul zaman sekolah dulu.

Aku juga ada bawa mak aku ke Polyclinic Chong. Dr Chong Chong Fook ini sebenar nya rakan sekolah. Dia tak ingat aku dan aku pun saja tengok reaksi dia. Sampai kesudah dia tak ingat aku. Aku biarkan saja. Tapi, Dr Chong yang aku kenal, sebenarnya masih macam dulu... ada gabra dan kelam kabut sikit...

Member-member lain aku tak sempat jumpa, masa terhad sebab aku kena hantar mak aku ke Rawang , Selangor... rumah kakak aku... kakak aku nak jaga mak aku sampai dia betul-betul baik.

Friday, July 17, 2009

Memoir - AkhirNya ke Lana (Bhg 10)

Pergaulan tidak pernah memilih kaum. Semua jenis permainan melibatkan semua kaum, asalkan pandai dan terpilih menyertai pasukan sekolah. Permainan bola keranjang yang selalunya melibatkan kaum cina, tetapi di sini, semua kaum ada samada cina, melayu dan india. Kawan aku si Hasnol, memang pandai main bola keranjang. Heran jugak sebab selalunya tak ramai yang berminat permainan ni. Dalam pasukan sekolah kami ada seorang pelajar berbangsa cina yang juga pandai dan menjadi tulang belakang pertahanan pasukan. Hasnol dan Tan (pelajar berbangsa cina tadi) adalah kawan baik malahan mereka adalah dari sekolah rendah yang sama.

Pada satu hari, entah apa sebab nya, Hasnol dan Tan ada sedikit perselisihan faham. Adalah pergaduhan sikit. Mulanya dengan pertengkaran mulut tapi perkara ini menjadi semakin hangat. Aku, selalunya menjadi orang harapan dalam menghadapi masaalah ini. Aku pun dimaklumkan mengenai perkara ini dan terus bergegas ke bilik di mana pertengkaran yang hangat itu masih berlarutan. Masa aku sampai, aku cuba tenangkan keadaan. Hasnol pulak cuba mengapi-api si Tan, lalu hal ini menjadi pergaduhan fizikal. Hasnol terkena tumbukan dekat mata, tak lah kuat sangat tapi lebam jugak bahagian mata di atas kening.

Tan ni tinggi dan berbadan sasa. Nak jadikan cerita, Tan ni ada karate red belt. Aku pun takut jugak kalau nak masuk tak tentu pasal. Dalam dok berbincang, Hasnol angkat kerusi dan dihentaknya ke arah Tan. Tan dapat mengelak dan patah kerusi kayu tu di tempisnya.

Aku pun buntu. Kawan-kawan lain yang turut serta pun buntu. Tak sanggup pulak kami nak menentang si Tan dan tak sanggup jugak kami kecewakan si Hasnol. Aku dapat satu idea. Hasnol tak akan bermain bola keranjang untuk pasukan sekolah selagi Tan tak minta maaf dan berbaik semula dengan nya. Boikot! Hasnol juga benggang sebab matanya yang lebam. Hasnol terpaksa memakai cermin mata gelap beberapa hari untuk melindungi mata yang lebam tu. Hasnol ni pulak ada marka. Marka tu girl friend atau cewek atau teman wanita. Tapi Hasnol ni memang handsome pun, budak pun baik.


Member satu pasukan yang rapat dengan Hasnol pun turut memboikot pasukan bola keranjang. Hasnol ni memang penyerang yang handal dan sekolah nak buat persediaan untuk perlawanan antara sekolah-sekolah berasrama penuh. Masa latihan pasukan, ramai yang menyokong Hasnol tak turun berlatih. Juru latih pun tertanya-tanya. Akhirnya terbongkar rahsia. Si Tan jadi serba salah tapi akhirnya dia berjumpa Hasnol dan meminta maaf dan mengajak Hasnol menyertai semula pasukan bola keranjang. Hasnol yang sememang nya minat dengan bola keranjang pun berlembut. Pertandingan dah dekat, kemungkinan menjadi johan agak cerah. Hasnol pulak dah sebati dengan bola keranjang. Lepas perkara ini selesai, semua orang sudah boleh tersenyum lebar. Kami pun senang hati jugak sebab kedua-duanya kawan baik kami jugak dan kami tak mahu perkara ini menjadi isu perkauman. Hasnol dan Tan menjadi semakin rapat.

Tingkatan empat adalah honey moon year. Budak-budak memang relaks habis. Belajar tu belajar jugak tapi banyak masa di habiskan dengan aktiviti-aktiviti dengan kawan-kawan. Kadang-kadang terpengaruh juga dengan aktiviti yang kurang baik. Hidup di asrama memang agak terkongkong tapi pelajar selalunya mencari satu jalan keluar. Selalu nya dengan kawan-kawan.

Permainan video game adalah satu kegmaran ramai tapi hanya dapat di nikmati semasa cuti mingguan. Itu pun kalau dapat keluar ke bandar dan ada wang lebih. Apabila dah ramai, ada pulak syor keluar ke bandar untuk main video game atau aktiviti lain. Selalunya main pinball. Akhirnya syor tersebut menjadi kenyataan. Pelajar akan keluar pada malam hari, selalunya dengan berjalan kaki. Jalan short cut banyak. Cuma nak sampai ke jalan tu, kena lalu jalan besar dulu. lalu ikut batas bendang tu kira biasa lah. Bila ada kereta datang, budak-budak ini pun menukar arah, jadi kalau kereta cikgu, cikgu yang memandu tak lah perasan sangat pelajar terbabit. Ada masa tak sempat, ada yang terjun sembunyi dalam semak. Jam sebelas malam baru balik. Waktu kelas prep malam, kalau di cari, member lain akan cakap, pelajar terbabit ke perpustakaan. Waktu balik pun berjalan kaki dan panjat pagar. Pak guard memang tak tahu sebab masa tu dia orang samada dah tidor atau tengah sedap lepak. Kalau tahu pun, dia orang tak mahu ambil kisah sangat. Menyusahkan sebab kena panggil dan ketuk bilik warden. Buat leceh!


Kadang-kadang bila keluar malam, ada pulak kawan-kawan pesan beli barang...barang makan dan jajan. Jajan ni kira makanan ringan. Selalunya kalau benda makan, roti canai yang paling famous. Tapi bila makan, roti canai ni selalunya dah sejuk. Tapi sedap jugak bila jarang-jarang dapat makan. Beli benda makan atau apa-apa barang selalunya ada komisen. Tak lah mahal sangat. Sekadar upah.

Ada juga kawan yang ambil risiko belikan rokok untuk kaki merokok. Komisen nya tinggi sikit sebab risikonya tinggi. Selalunya yang tukang beli tu pun perokok, jadi komisen nya samada rokok dua batang bagi setiap sepuluh batang atau harga rokok yang dibelikan dikira harga genap...rounded figure. Misalnya kalau rokok tu sebungkus satu ringgit enam puuh sen, harga di jual atau kena di bayar ialah dua ringgit. Kalau kena tangkap sebab beli dan seludup rokok masuk kawasan sekolah,, dua kesalahan...satu, sebab keluar malam tanpa kebenaran...kira macam curi-curi keluar dan nombor dua kesalahan membeli dan membekalkan rokok. Ini yang serius. Boleh kena buang sekolah. Takat ni belum ada yang kena. Tapi dengar cerita, zaman selepas tu, ada yang lebih serius sampai ada yang tertangkap dek polis dekat pintu masuk sekolah...hari keluar mingguan...bawa masuk ganja. Teruk betul budak-budak batch selepas tu. Nak tunjuk terror tak kena tempat. Hukuman berat tu...kira dah jenayah. Bodoh!

Merokok zaman sekolah nampaknya jadi trend untuk tunjuk terror dan macho terutama bagi budak lelaki. Lagi pun sebab ada semangat setiakawan... jadi ikutan saja. Cikgu pulak kalau nak tangkap, mesti red-handed atau tangkap semasa kesalahan tu dibuat. Kalau takat ada asap rokok, tak jadi kes. Undang-undang ni macam dah jadi satu kes mahkamah. Kalau tak cukup bukti boleh buang kes.

Waktu pemeriksaan mingguan atau spot check, sesiapa yang kena tangkap simpan rokok memang tak dapat keluar ke bandar. Lepas tu kena pulak tahanan macam tahanan dalam rumah. Hari Isnin..siap! waktu perhimpunan mingguan, nama pun naik. Kalau jumlah rampasan besar, mau kena public caning. Tapi budak-budak tak serik. Ini semua sebab pengaruh kawan-kawan dan cari cheap thrill. Kebanyakkan yang merokok, katanya merokok secara sembunyi-sembunyi ni thrilling, sebab tu bila dah kerja, dah ada duit sendiri, dah ada permit merokok, merokok tu dah tak thrill, setakat dah jadi amalan biasa...ketagih tembakau.

Ada kawan-kawan yang secara berseloroh menyatakan “ aku hisap rokok ni sebenarnya membantu ekonomi negara, membantu penanam tembakau....negara dapat cukai dari hasil tembakau, petani dapat tanam dan jual tembakau, Lembaga Tembakau Negara tetap ujud, pengilang dan pengedar dapat beri kerja kepada rakyat, persatuan bola sepak dapat penaja, televisyen dapat bayaran dari iklan dan peminat bola sepak dapat tengok perlawanan bola sepak secara live dan free. Boleh kata semua kedai kopi dan restauran ada jual rokok. Orang yang kerja malam ada teman untuk menghalau nyamuk dan hilangkan boring. Bangga nya aku berbakti kepada negara”.

Wednesday, July 15, 2009

Memoir - AkhirNya Ke Lana (Bhg 9)

Satu hari, masakan di dewan makan agak istimewa. Masakan daging lembu amat sedap rasanya. Semua orang tertanya tanya. Akhirnya, cerita di sebalik kesedapan masakan di ketahui jua. Jawapan nya ada tukang masak baru. Dengar cerita bekas tukang masak mess pegawai tentera. Masakan kari siap dengan kerisik. Sedap! Ada juga menu baru seperti sup daging pada bulan puasa. Memang terasa kesedapan setiap masakan. Tapi perkara ini hanya seketika apabila tukang masak yang lain mula merungut tentang banyak kerja tambahan dan juga sikap sesama sendiri yang suka dengki dan kianat. Para pelajar juga yang terkena kesan nya. Tak lupa juga seorang tukang masak bergaya ala “John Travolta”.

Bulan puasa cukup klasik. Makan “sok” atau sahur dalam pukul 3 pagi. Mula-mula rajin ler, lepas tu malas nak bangun. Bukan apa, nak tukar baju, nak basuh muka. Ada yang pergi makan sahur, muka semacam. Tahi mata pun masih ada. Makan waktu sahur ni bukan nya best sangat. Kadang-kadang kalau lambat, semua dah sejuk. Mood nak makan pun tak ada.

Buka puasa, biasalah... kadang-kadang seronok jugak. Ada jugak kuih. Tak ingat pulak, dulu ada tak sembahyang tarawih, sebab sekolah waktu tu tak ada masjid. Puasa kat sekolah ni kadang-kadang mula-mula saja, lepas tu mula mengelat, ada yang puasa setengah hari. Buka puasa tentunya dengan maggi, masak senang jer, janji ada “water boiler”. Siap kongsi lagi , maggie satu mangkuk, macam dalam iklan maggie tu. Maggie waktu tu murah lagi... tak macam sekarang, lagipun tak banyak brand mee segera waktu tu. Yang aku ingat selain maggie , ada brand cintan. Sekarang ni (la ni), macam-macam sampai ada mee sedaap dan bab perasa tak payah nak cakap. Dulu, makan mee segera kosong ... ada air panas, tuang dalam mangkuk , makan ... cukup menjilat jari.


Sekolah berasrama penuh padat dengan aktiviti ko-kurikulum, aktiviti sukan dan pasukan seragam. Macam-macam aktiviti diadakan begitu juga kelab-kelab baru yang muncul. Antara kelab yang wujud ialah kelab catur, kelab In-door game, kelab matematik, kelab pertanian dan kelab seni dan drama.

Penubuhan kelab agak senang. Pelajar yang perlu mencari bakal ahli yang berminat, buat kertas cadangan dan dapatkan guru penasihat yang sudi. Pihak sekolah, jika penubuhan nya di luluskan akan memberikan sendikit bantuan kewangan untuk membeli peralatan yang perlu bagi kelab-kelab berkenaan. Contoh nya kelab in-door game memerlukan wang pembiayaan untuk membeli permainan seperti dart board set, scrabble, monopoly dan macam-macam lagi. Tak lama juga aktif nya, benda-benda banyak yang jadi rosak, mula-mula berebut, lepas tu....sunyi. kadang-kadang siap gaduh waktu main monopoly...

Kelab pertanian dapat kawasan bertani di dalam kawasan sekolah. Tanaman nya ialah sayur-sayuran dan hasilnya dijual kepada guru dan kakitangan sekolah. Kelab seni dan drama selalunya sibuk dengan pertandingan menyanyi. Aku tak tahu ler samada ada memang wujud atau cakap-cakap saja. Cuma aku ada ingat, talent time... masing-masing tunjuk bakat. Ada member namanya Cek Khalid, itu kira pandai nyanyi lagu hindustan... tapi yang bestnya member kami si Tojo, masuk jugak... lupa lagu apa dia nyanyi , tapi ... kalau ada pengkritik, memang masak kena kritik.

Ada juga kelab berpakaian seragam seperti pengakap, red cross society ( sekarang dah jadi persatuan bulan sabit merah), pandu puteri dan lain-lain. Ada juga kelab seperti kelab Tae Kwan Do dan kelab Silat.

Ahli kelab Tae Kwan Do selalunya agak action dan selalu tunjuk terror. Satu hari ada juga kawan yang benggang dengan satu orang ahli kelab Tae Kwan Do, yang bising-bising dalam bilik buat latihan. Member yang tengah tidor naik marah lalu di terajangnya budak Tae Kwan Do ni. Melayang jugak. Yang lawaknya siap terkentut. Lepas tu aman dan sunyi suasana.

Kelab masing-masing , bila bulan puasa nak mari, sibuk cari duit buat kad ucapan hari raya. Modal tak banyak, janji ada yang sanggup keluarkan modal dulu. Design tak penting. Aku ingat, kelab catur, pengerusi waktu tu kawan sekelas, nama nya Azahar Malek, kami pun sibuk buat kad hari raya jugak. Nak tahu.... aku yang design. Tak lah lawa sangat... boleh lah untung sikit.

Memoir - AkhirNya Ke Lana (Bhg 8)

Dekat dekat nak hari raya, musim main mercun. Warden pun dah tak terkawal keadaan. Inspection demi inspction tapi tak jumpa juga benda tu. Ada yang nakal, mercun jenis roket tu di sasarkan ke asrama perempuan. Ada kes sampai masuk bilik warden perempuan dan terkena tilam nya. Kebetulan pulak di buka pintu. Pandai juga kawan ni cari sasaran.

Budak lelaki ni kadang kadang nakal terlampau. Tak semua tapi ada juga yang terlalu obvious nakal nakal nya. Ada satu kes tu, budak junior, di tangkap waktu malam di asrama perempuan. Alasan nya ialah dia suka tengok budak perempuan tidur. Dia intai ikut tingkap yang terbuka, di bahagian belakang bilik. Kejadian tu waktu malam. Berani betul budak sorang ni sebab waktu tu lampu dah padam Cuma lampu kat koridor saja. Bukan nak sangat cuma budak perempuan ni ada yang daring, suka buka tingkap bilik sebab panas.

Ada seorang kawan kami, setiap malam lepas kelas prep, berlari lah dia balik ke bilik. Heran juga kami dengan perangai dia ni. Bukan ada apa kat bilik cuma untuk tidur dan duduk melepak bersembang. Akhirnya kami dapat tahu yang dia ni akan ke bilik dia di tingkap atas, buka tingkap dan intai asrama perempuan. Bila budak perempuan balik, dia orang selalunya buka lampu, kemudian tukar baju. Ada yang sengaja buka baju tak berselindung tapi terlupa nak check tingkap bilik yang terbuka. Asrama lelaki dengan asrama perempuan tak lah jauh tapi terletak pada sudut enam puloh darjah ke belakang. Kalau kena tempat memang boleh nampak terutama bagi yang duduk di bilik tingkat satu atau bawah, di bahagian depan yang hampir dengan hujung asrama lelaki.

Ada juga budak lelaki yang pergi ke satu tempat lapang berhadapan dengan asrama perempuan, untuk tujuan mengintai. Sanggup duduk dalam gelap dan berkawan dengan nyamuk! Mungkin dia orang ni baru aqiil baligh!. Tengah naik minyak!

Sekolah ni ada pertunjukan wayang gambar sebulan sekali. Cerita best-best juga. Kadang-kadang tak tapis lagi. Jadi pihak sekolah pun lantik lah lembaga penapisan filem sendiri. Ahil lembaga ni dari kalangan pengawas dan pelajar yang dilantik. Kerja dia orang, tonton filem yang bakal di tayang dan kemudian kenalpasti bahagian filem yang perlu di tapis. Filem tu tak lah di potong tapi bahagian yang agak keterlaluan di tapis dengan cara meletakkan sesuatu pada pemancar (projektor), jadi waktu babak tu di tayangkan cuma nampak bayang hitam. Waktu bayang hitam keluar, budak lelaki pun selalu nya boo atau buat bising.

Aku pernah juga ikut menyelit dalam lembaga penapis filem ni. Bukan nya ada babak lucah sangat. Cuma selalunya gambar perempuan terlebih seksi atau kadang-kadang topless. Bukan macam blue film tu. Bercium lebih sikit pun censor. Tapi bila tayangan di buat, kadang-kadang terlepas juga sebab terleka. Bukan boleh ingat semua babak! Kadang-kadang censor di buat tapi sekejap, mungkin timing salah , maka terlepas juga babak yang tak sepatutnya. Garis panduan penapisan ni di buat oleh pihak sekolah atas nasihat dan pandangan se orang ustaz. Ustaz ni pun blues juga. Kadang kadang dia tengok juga di bilik siaran. Kira-kira, wayang yang di tayangkan tu kira baru jugak. Gambar ditayangkan kat dinding tepi sekolah, ada kawasan lapang kat situ. masing-masing usunglah kerusi. Kantin pun tak jauh sangat. yang untung, mana-mana kelas yang dapat tengok dari dalam kelas, kalau hujan ke, apa-apa ke, tak kisah sangat. lagi pun tak payah nak usung kerusi. Gang kami ni selalunya duduk kat depan, nak bising pun senang. Kira seronok jugak tengok wayang ala-ala wayang pacak nie.

Kelab siaran yang ada bilik khas yang dinamakan bilik siaran. Dia orang ada satu projek khas iaitu buat siaran radio dan hebahan. Bukan pakai satelit ke atau stesen pemancar. Cukup dengan player, microphone, amplifier, wayar yang panjang dan beberapa speaker yang di letakkan di beberapa tempat tertentu di setiap tingkat di asrama, kantin dan dewan makan. Masa siaran selalunya antara jam lima petang hingga enam setengah dan malam antara jam 10 malam hingga sebelas malam. Semua lepas habis kelas kecuali pada hari cuti minggu yang mana masa siaran bermula dari pagi hingga malam.

Macam-macam rancangan di buat, ada hebahan pihak sekolah, aktiviti serta yang paling di minati permintaan lagu. Kena bayar sepuloh sen satu lagu. Yang seronok nya, siaran ini secara in-house bermakna hanya dalam kawasan sekolah. Ada satu kawan kami buat lawak....permintaan nya berbunyi...” lagu ini ditujukan kepada emak dan abah di Perak dengan ucapan kenang daku dalam doa mu”. Mana nak sampai lagu yang ditujukan tu, brother.! Lepas tu dah jadi trend buat permintaan lagu dengan ucapan yang pelik-pelik. Kenang daku dalam doa mu dah jadi ucapan paling popular. Antara ucapan yang popular juga ialah seperti “ esok sekolah cuti, kita pergi piknik beramai-ramai” atau “lagu ini di tujukan buat kekasih tersayang, walau di mana dikau berada”.. atau “ saya tak salah cikgu, sumpah!” (di tujukan kepada cikgu tapi peminta lagu ni selalu nya menggunakan nama samaran )...semua nya untuk buat lawak, hilangkan boring. Dengar ucapan macam ni boleh tergelak besar. Yang untung, kelab siaran yang dapat banyak duit. Kaya betul kelab ni selain dari duit atas komisen tayangan gambar bulanan.

Siaran ni tak lama wujud, sebab lama-lama ada saja speaker yang hilang. Habis sudah program tu.

Heran betul, ramai kanak-kanak sekarang kurang minat makan sayur. Banyak zat tetapi mungkin rasa sayur atau cara sayur yang di masak tidak ngam dengan selera terutama makan di asrama. Aku tak kisah, sayur tetap aku makan cuma antara banyak atau tidak. Masakan sayur di asrama terlalu simple jadi banyak orang kurang minat makan sayur dan sayur yang di masak selalunya menjadi berlebihan dan terbuang. Jawatankuasa dewan makan yang di anggotai para pelajar yang di lantik memberikan cadangan , “ mungkin sesiapa yang tidak minat atau tidak makan sayur, diberikan makanan alternatif lain”. Ramai lah yang bersetuju. Maka, hebahan pun di buat dan senarai para pelajar yang tidak makan sayur di perolehi. Mana-mana pelajar yang tidak makan sayur akan diberikan satu kad khas yang memberikan pelajar berkenaan pilihan untuk mendapatkan makanan lain contohnya jika biasanya ikan goreng di berikan se ekor seorang, maka pelajar berkenaan di berikan 2 ekor sebagai gantian tidak makan sayur. Ramai yang menyertai skim ini walaupun sebenar pelajar berkenaan makan sayur tetapi cerdik untuk mendapatkan pilihan. Jika sayur yang di masak nampak menarik dan menyelerakan, maka kad khas tadi tidak di tunjukkan begitu juga sebaliknya. Pandai!

Selepas kes tidak makan sayur, timbul pula isu pelajar tidak makan daging contoh nya pelajar dari keturunan India. Maka kad khas pun di keluarkan untuk tujuan itu dan sebagai gantian masakan daging lembu, masakan ayam di jadikan gantian. Seperti biasa, ramailah yang memohon kad khas berkenaan. Kad bagi tujuan ini berlainan warna untuk memudahkan pengecaman tetapi yang menarik , ramai pelajar melayu dan cina juga tidak makan ayam. Penyelia dewan makan pun dah rasa kerja dah bertambah banyak dengan masakan gantian yang perlu di adakan setiap hari.

Tapi, pasal makan ni, kira-kira masakan tu ok lah. Aku pun tak memilih sangat. kadang-kadang makan banyak, kadang kadang sikit. Mula-mula dulu , tray tu kena basuh sendiri, ada kala ikut giliran. Sama jugak dengan tandas, ikut giliran bilik, semuanya sebab tak ramai pekerja waktu mula-mula sekolah dibuka.

Kalau tak silap, makan kira mewah sebab ada sarapan pagi, rehat (walaupun kadang-kadang biskut mayat 2 keping dengan air), makan tengahari, minum petang dan makan malam. Jarang aku lepak kat kantin, cuma kadang-kadang ke kantin waktu duit tengah masuk... lepas tu duit simpan sebab nak kena jaga budjet nak berasap. Waktu tu cicah biskut mayat tu dengan ayaq teh o panas, sedap pulak rasanya. Biskuit ni kadang-kadang boleh ambik lebih, tak ada hal. Semuanya sebab dah kamceng dengan gang tukang masak tu.

Tukang masak atau pekerja sini ni pun ada juga skandal, suami orang dengan janda (rasanya). janda ni comel jugak, putih dan masih gebu. Tak caya, tanya member aku yang bernama Joey tu. Tapi tak tahu lah skandal sampai mana.

Bab berasap ni, sebatang tak kisah kalau kongsi ramai-ramai, siap tanda lagi kat batang tu. Tak kisah walaupun bekas mulut member. Ada yang tarik kuat habis, bara api pun panjang, naik kedut rokok tu.

Wahai kawan-kawan perokok, seronok kan waktu tu! Sayang, samapi sekarang, aku susah betul nak tinggalkan benda ni, dari harga tak sampai tiga ringgit, sekarang dah sembilan ringgit. Naik sepuloh ringgit pun, rasanya tak berenti... mungkin try rokok seludup pulak.

Yang belum merokok, dan tak pernah cuba.... JANGAN.... MEROKOK MEMBAHAYAKAN POKET DAN BAG DUIT ANDA!.

Tuesday, July 14, 2009

Memoir - Akhir Nya Ke Lana (bHG 7)

AKU DAN SEKOLAH (DUA)

Form four time honey moon, masuk tingkatan lima mula gelabah. Cikgu pun waktu tu
pressure habis. Selalu le ada kelas tambahan, kerja rumah dan latihan tambahan. Cikgu nak jaga nama sekolah. Peratusan mesti kena maintain. Pening kepala.

Aku dan beberapa kawan rapat memang tension habis pasal add math....tak tahu lah kenapa susah sangat nak masuk. Teringat juga kata seorang kawan tu ..” sapa lah yang pandai-pandai reka buat add math ni...menyusahkan umat manusia” . Yang aku ingat cikgu Add math aku tu, tinggi...nama nya Cikgu Tang.

Selalunya budak-budak keturunan atau berbangsa cina terror bab-bab matematik ni tapi sebenar nya budak kaum lain seperti melayu pun ok jugak. Ali, Azahar, Pak Mat dan beberapa orang lagi, buat latihan add math macam makan kacang, kadang-kadang tu lagi terror dari cikgu. Cuma mungkin mentaliti budak melayu suka anggap matematik ni susah dan menyusahkan. Yang penting, mula dari awal dan lepas tu kena buat latihan banyak-banyak. Suruh cikgu periksa latihan yang kita buat. Kalau salah minta cikgu tunjukkan.... “buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan, saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan.” Sebenar nya malas nak fikir bukan susah, lepas tu bila buat latihan, asyik meniru, bila nak pandai. Dalam kelas senyap...duduk belakang-belakang.....

Subjek biology ramai yang suka, subjek chemistry lima puloh lima puloh.

Kami di tingkatan lima kira dah senior, tak ada lagi senior selepas tu. Eksyen lah sikit..
Pada suatu hari, bila ke dewan makan, makanan tiba-tiba tak cukup. Ramai budak tingkatan lima belum makan lagi. Lauk tinggal ala kadar saja. Kena pulak hari tu sepatutnya menu ayam. Kena pulak ayam dah habis. Budak-budak tingkatan lima pun mengamuk le ke steward. Steward cakap “kenapa datang lambat, dah habis nak buat macamana.” Kami pun jawab balik..” time makan belum habis lagi, kami pulak ramai yang belum makan, macamana pulak boleh habis atau tak cukup? Ini mesti kebas bawa balik”. “Jangan tuduh-tuduh macam tu...benda dah habis, kami masak apa yang ada saja” balas dia lagi. Steward ni perempuan, tapi bila dah jadi macam ni, peduli apa. Lapar beb!
Kami semua pakat boikot tak makan...tapi kami juga susun strategi. Nak jadikan cerita, ada lah staff tukang masak tu kawan kami. Dia pulak boring dengan si Steward tu, jadi kami gunakan dia punya informasi. Kami panggil dia “John Travolta” pasal dia suka pakai kasut “John Travolta” macam dalam cerita Saturday Night Fever atau Grease. Rambut pun dia sikat macam “John Travolta”...gaya jalan pun sama. Rambut pun asyik dok bersikat. Waktu tu “John Travolta” tengah top.

“Ayam tu banyak lagi, depa saja tak masak....ada yang bungkus bawa balik rumah.... ayam sorang seekoq dua”. Kami apa lagi, kena buat siasatan sendiri. Malam tu, kami hantar dua spy untuk check dewan makan. Orang dah balik kerja, lampu pun dah padam, kawan aku ni pun pecah masuk dalam dewan makan. Dalam setor dan peti sejuk, ayam banyak lagi. Apa spy kami buat ialah, bawa balik ayam, milo dan barang-barang yang lain termasuk lah susu. Hebuh semua...lepas tu pergilah team kedua bawa balik lagi stok.

Malam tu kami makan ayam panggang, bakar cara “bodoh”, bubuh garam dengan kunyit saja. Bakar dalam bilik guna kayu api. Kayu api sebenarnya kami gunakan laci kayu dalam locker. Kayu tu di belah guna screw driver. Bakar ramai-ramai. Pengawas ada juga yang tahu malah ada juga yang join. Heran betul, benda-benda macam ni sedap pulak.

Esok heboh satu dewan makan....steward mengamuk. Lantak....

Sakit mata.... ni penyakit bermusim. Tak tahu lah pasal apa sekolah kami kena “wabak” sakit mata. Ramai budak-budak kena sakit mata. Bila dah ramai sangat, sekolah buat satu bilik khas untuk kuarantin semua budak yang kena sakit mata. Tak payah lah hantar ke luar. Pejabat kesihatan pun ada datang buat pemeriksaan pemantauan. Tapi yang seronok nya, budak-budak yang kena sakit mata, kena kuarantin, tak payah pergi sekolah, makan pun di hantar sampai ke katil. Relaks habis.

Kami yang tak kena ni (heran juga pasal apa) pun cemburu juga....tak payah pergi sekolah, makan di hantar. Menu spesial! Pasang strategi....tenyeh mata sampai merah, jumpa matron. Matron pun malas nak check habis, jadi dia terus suruh kami masuk sick bay. Kena pulak dengan kawan-kawan, bila nampak matron mari, mula buat-buat sakit
mata...time dia ronda dah tahu....tenyeh mata ler... Dapat duduk kat sick bay dalam dua tiga hari. Ada member terus duduk lama sebab terjangkit. Padan muka!. Matron ni baik orang nya, kalau sakit memang dia lah orang yang boleh minta tolong. Makan pun guna menu istimewa.

Akan satu masa tu, kes penyakit taun di pekan terdekat dan ada budak sekolah ni yang terkena jangkitan. Sekolah larang semua pelajar keluar pada setiap hari minggu selama hampir dua bulan. Kecuali untuk balik rumah atau di ambil oleh keluarga sendiri, budak budak lain terpaksa duduk di asrama. Bila duit tak ada, pihak sekolah benarkan pihak kantin jual barang secara kredit. Waktu tu lah kami belajar buat hutang. Dulu jarang ke kantin, bila dah ada sistem kredit ( makan dulu, bayar kemudian), ramai lah yang buka akaun. Bayaran samada di bayar secara tunai bila ada duit (keluarga hantar) atau potong dari duit biasiswa kecil persekutuan. Biasiswa adalah dalam empat puloh lima ringit sebulan. Budak tingkatan rendah, biasiswa dalam dua puloh lima ringgit.

Hari Jumaat, pelajar beragama islam pergi sembahyang di sebuah masjid di kampung berhampiran. Sekolah belum ada masjid sendiri lagi. Lepas makan tengahari , kami semua beratur dan berjalan menuju ke masjid . Jarak masjid dari sekolah sekitar 2 km. Sampai ke masjid, badan berpeluh. Pakai pulak baju melayu warna putih. Di sana, ramai lepak dulu kat kedai berhampiran. Minum air atau beli makanan ringan. Untuk ambil air sembahyang, ramai yang memilih untuk ambil air sembahyang kat sungai berhampiran sebab tempat ambil air sembahyang di masjid agak terhad dan pelajar pulak ramai. Kat sungai lebih relaks sebab banyak tempat boleh ambil air sembahyang dan ada pokok yang agak teduh. Kalau tengokkan jumlah jamaah masjid untuk sembahyang jumaat, rasanya tujoh puloh peratus budak-budak sekolah berasrama kami.

Waktu balik sembahyang, agak bebas. Ramai yang bergegas balik sebab nak curi masa untuk rehat sebelum ke kelas petang. Sempat juga tidur seketika. Badan pun dah letih berjalan, jadi kena rehat sikit. Tapi ada juga yang balik agak lewat, singgah kedai. Yang kaki merokok,, waktu tu lah lepaskan gian dan beli stok.

Ada masa nya, air menjadi satu masaalah besar terutama pada musim kemarau. Bukan tak ada air tapi tekanan air agak rendah dan tak dapat naik ke tangki air yang ada di atas siling tingkat paling atas. Akibatnya, bilik air dan tempat mandi selalu tak ada air.

Kena bangun awal pagi kalau nak mandi, kalau tidak akibatnya mandi koboi, guna air satu baldi untuk mandi. Pihak sekolah akhirnya ambil inisiatif buat stand pipe kat luar di tingkat paling bawah. Stand pipe ni di pasang di tempat terbuka. Jadi mandi pun di tempat terbuka. Masaalah nya bila nak buang air besar. Terpaksa lah guna baldi dan lepas tu kena lah merayu kat kawan-kawan yang tengah tunggu giliran nak mandi. Kadang-kadang jadi gaduh juga. Riuh satu kampung! Pernah juga gaduh besar sampai bertumbuk sebab potong baris. Kerana nak senang, ada juga ambil kesempatan mandi waktu tengah malam dan simpan air dalam baldi dan bawa balik simpan kat bilik.Ada juga yang mandi tengah malam sambil menyanyi kuat. Kalau sedap ok lah jugak, kalau tidak kena boo saja. Ada yang takut nak mandi sorang, ajak pulak kawan temankan.

Satu istilah baru ialah ... ayaq kikih ... tapi tak lupa juga mandi kat paip rumah guru besar atau guru Penolong kanan. kadang2 masalah air ni, rumah cikgu tu kami pergi mandi, tak kisah lah dia ada tetamu ke tidak. Minta maaf lah cikgu kalau-kalau bil air tu tinggi. Dengar cerita kedua-dua cikgu ni dah bergelar Dato', jadi halal-halal le benda yang dulu-dulu tu.

Nak jadi cerita ada member yang sakit perut tengah malam, curi air dengan baldi sekali. Mana tak benggang. Ada juga yang tulis nama besar-besar kat baldi, buat tanda. Yang kreatif, beli pen permanent berbagai warna dan buat lukisan pada baldi. Besar besar dan menarik. Orang nak padam pun give up sebab banyak nak kena pakai thinner atau minyak tanah. Bukan senang nak cari benda-benda tu.

Entah macamana, tahun tu sekolah buat majlis asrama terbuka. Ini bermakna pelajar perempuan boleh melawat asrama lelaki dan pelajar lelaki boleh ronda-ronda asrama perempuan. Dulu tak boleh. Pelajar perempuan dibenarkan melawat asrama pelajar lelaki dulu. Dia orang ni datang dengan warden asrama perempuan. Lepas tu baru budak lelaki boleh ke sana. Tak ramai pun pelajar perempuan ke asrama lelaki. Mungkin takut atau malu nak tengok betapa teruknya budak lelaki di asrama.

Waktu lawatan tu, ada pulak budak lelaki yang buat bom air....isi air dalam plastik kemudian baling ke sasaran. Di lempar nya bom air tu ke pelajar perempuan yang tengah melawat asrama lelaki. Waktu tu mereka masih di ground floor. Berlari dia orang elakkan kena bom air. Budak lelaki lain pun join sekaki., tapi baling bom air sesama sendiri. Tingkat dua baling budak tingkat satu atau bawah dan begitu juga sebaliknya. Licin, basah dan berseleraklah plastik merata tempat. Ada juga yang melintas masuk ke dalam bilik dan kena tempat tidur. Ada juga yang mengamuk. Riuh lagi asrama.

Budak-budak perempuan pun cabut balik ke asrama. Lepas tu dia orang kunci pintu pagar masuk ke asrama perempuan dan halang budak lelaki yang nak buat kunjungan balas. Akhir kata, majlis asrama terbuka tu tak jadi malah gagal terus!

Monday, July 13, 2009

Penghargaan

Ucapan atau penghargaan atau ungkapan tanda bagus, jika di berikan orang yang kita tak kenal, yang muncul dengan tiba-tiba, boleh mengundang banyak persoalan. Keikhlasan juga boleh di pertikaikan, mungkinkah ada muslihat disebaliknya. Jika penghargaan itu dari orang terdekat , yang mengenal kita, yang tahu cara dan selok belok kerja kita, pewatakan kita atau diri kita secara peribadi, mungkin itu lebih bermakna... seperti seorang ayah yang mengucapkan tahniah atas kejayaan anak nya, walaupun tanpa ganjaran hadiah atau wang ringgit. Satu senyuman yang dilemparkan sudah cukup menggambarkan betapa besar hati dan bangga si ayah terhadap si anak.



Friday, July 10, 2009

Memoir : AkhirNya Ke Lana (Satu Pandangan)

Memoir : AkhirNya ke Lana ini mungkin turut dijengok oleh ramai kawan-kawan lama di SMS Ps dulu dan jugak mungkin dari Uitm . Pandangan kawan-kawan samada ada teguran atau pembetulan atas kesilapan atau nak tambah sesuatu yang tertinggal.... silakan.

Kalau nama tersebut dalam memoir ini, mohon kebenaran (untuk di tonjolkan) dan kemaafan (jika tersilap atau terguris perasaan).

Memoir ini akan berlanjutan sehinggalah sampai ke Penghujung ..... Lana, satu tempat di pendalaman.

Memoir : AkhirNya ke Lana (Bhg 6)

Malam tu, kumpulan kami menyenaraikan semua budak tingkatan empat yang selalu cari pasal dengan kami. Lepas lampu padam pada jam sebelas malam, kami berpecah kepada beberapa kumpulan. Budak-budak tingkatan empat yang jadi target diserang secara ambush di bilik masing-masing. Teruk juga kami sapu. Tak pulak cedera parah macam budak-budak sekarang ni...sampai ada yang patah tulang dan mati pun ada. Mohon maaf, aku tak terlibat secara langsung, cuma tahu le benda ni memang berlaku.

Lepas hit and run tu, masing-masing balik ke bilik dan bersiap sedia untuk hari esok. Namun esok, tak ada apa-apa yang berlaku. Mungkin budak-budak tingkatan empat tu dah tahu yang kami ni mungkin akan ambil tindakan balas yang lebih teruk jika mana-mana kawan kami kena rotan. Dia orang tak buat lapuran. Cuma kes tampar di dewan makan sahaja, kawan aku di panggil tapi setakat amaran saja sebab ternyata budak tingkatan empat tu yang salah.

Tapi yang jadi cerita bualan kami setiap hari selama berberapa bulan ialah tindakan serang hendap dan tumbukan jab yang di gunakan pada sasaran dalam keadaan tidak sedar dan suasana yang gelap. Minta ampun budak-budak tu. Aku tengok kawan-kawan aku tu berpeluh juga. Mana taknya, kena berlari secepat mungkin sebelum budak lain dalam bilik tu sedar siapa yang menceroboh bilik mereka.

Selepas peristwa tu, entah macamana, keadaan semakin baik. Kami budak tingkatan lima dan empat menjadi semakin baik. Boleh pulak bergurau dan main bersama di waktu petang. Dah jadi semakin kamceng!. Waktu tu budak tingkatan lima dan empat dan bersatu. Heran jugak, gang yang merokok ni dah macam ada satu ikatan pulak, baik betul sesama sendiri. Tak jadi macam kera sumbang... mungkin berkawan tu ada banyak makna seperti mudah nak pinjam rokok.

Cuma yang naik risau ialah pengawas...budak-budak yang dah jadi kamceng terdiri dari golongan hu..ha..hu..ha. Lepas dah join-up keadaan jadi kecoh. Yang bestnya kebanyakkan golongan ini aktif dalam sukan...samada sukan bola sepak ke, hoki ke atau olahraga. Ini semua sukan kegemaran dan selalunya menjadi pertaruhan pihak sekolah untuk menjadi juara. Banyak pulak yang menjadi peminat dan penyokong setia pasukan sukan ini. Memang kecoh dan gegak gempita bila bertanding. Yang ikut pasukan kami pergi bertanding di luar pun dari golongan Hu..Ha..Hu..Ha. Kalau pasukan luar cari gaduh, penyokong kami dah bersedia.

Kalau budak perempuan, kalau jadi wakil sekolah pasukan bola jaring dah kira hebat. Selalunya budak-budak ni memang popular kat sekolah. Ada juga dah pandai bercowok. Budak perempuan kan cepat matang. Aku tengok member aku yang lelaki ni sakit juga nak jaga standard...selalu lepak dan makan minum di kantin....duit keluar...pakai kena smart...dan selalu kena lepak kat library....boring woii.....

Sukan macam badminton, tenis, sepak takraw, bola lisut dan lain-lain kurang glamor. Yang masuk mewakili sekolah pun selalunya budak-budak slow-motion atau mat belia atau mat bercouple. Kami tak join le. Macam bola keranjang, budak yang main ini dari golongan pengikut. Ada yang join baik dengan kami dan ada juga yang mat belia. Tapi semua nya tak kisah, kalau ada orang luar usik budak-budak dari sekolah kami, kami semua bersatu dan bersedia membantu. Tak kira dari mana asal nya atau apa bangsa sekali pun. Kami tak pernah ada perkauman. Tak pernah fikir kaya ke miskin. Anak orang kaya pun selalu pinjam duit kami yang kurang berada ni. Kami jimat, dia orang joli.

Budak-budak dari bangsa Cina , India, Iban atau apa suku pun, kami tetap bersama. Buat apa pun bersama, susah senang bersama. Sama-sama tanggong.

Tapi heran jugak aku, waktu dulu, kalau student perempuan, walaupun dan form five, relax saja pakai seluar pendek untuk bersukan. Tak ada pulak budak-budak lelaki kacau ke apa ke...kalau sekarang, kalau budak perempuan dah besar panjang, berseluar pendek, mengucap panjang para ibu dan bapa. kalau sekarang ni kalau buat macam tu, mengucap panjang ustaz!

Kami yang masuk sukan berpasukan yang popular atau yang paling di minati seperti bola sepak, hoki dan bola jaring cukup bernasib baik sebab dapat jersi sekolah jika menang jadi juara atau naib juara, makan di tanggong beres bila menang perlawanan di luar, dapat layanan istimewa dan dapat selalu keluar dari kawasan pagar sekolah untuk pergi bertanding di sekolah luar.

Kebanyakkan yang main bola dan hoki bagi lelaki dan bola jaring bagi perempuan memang famous kat sekolah. Kalau penyerang pasukan bola sepak score gol dan team menang, memang ramai yang tumpang syok. Memang terkenal lah kat sekolah. “dia tu score dua biji, cantik dia sepak masuk” penyokong yang ikut serta. Dia orang yang bagi lapuran bila sampai sekolah. Soalan yang selalu di tanya....” menang ke kalah?....siapa score?” Itu soalan wajib. Kena rajin ulang banyak kali. Kalau jadi pertahanan, kadang-kadang dapat komen macam ....” kalau dia tak save, kalah kita,”... “atau “ dia main leceh betui, berapa kali terlepas, nasib baik gol keeper ok, kalau tidak mau kalah kita”...itu nasib pemain pertahanan.

Waktu assembly, selalu ada majlis penyampaian hadiah kemenangan, naik le ke pentas dengan tepukan gemuruh.... bangga ooiii....


Ok...lupa pulak...aku memang kaki sukan. Dari sekolah rendah lagi. mewakili sekolah untuk pasukan hoki dan bola sepak. Bawah 12, bawah 15 dan bawah 18 tahun. Bagi bawah 12 tahun, kami jadi johan bola sepak dan hoki. Bagi bawah 15 tahun, pasukan kami jadi johan hoki dan johan bola sepak, bawah 18 tahun, pasukan kami jadi johan hoki dan naib johan bola sepak. Bangga tau... tapi aku bukan lah pemain glamour atau pemain paling berharga. Bab team bola ni, aku ingat yang paling menonjol ialah Zambri , Amin Salleh dan ada beberapa orang lagi.. hoki pulak sama juga orangnya tapi aku ingat gol keeper hoki waktu tu Pak Ya ..nama betulnya Zul Yahya (kalau tak silap la) .

Tapi bila dah kerja, tak ada orang yang tahu dan peduli pun yang aku ni ahli sukan juga! Aku pun tak ada masa sangat cuma waktu di Pahang aku ada main untuk team Syarikat. Isteri aku yang tengah mengandung pun , aku bawa tengok aku main bola. Sayang ...anak-anak tak pulak yang kaki bola cuma minat tengok EPL dan boleh hafal ramai pemain EPL. Ada juga aku pernah mewakili syarikat di Johor bermain di Kuala Lumpur dalam sukanan tahunan antara anak syarikat ... main bola aje.

Apabila form four, entah macamana hubungan budak-budak aliran bahasa inggeris dan bahasa melayu rapat sungguh. Tak lah macam dulu, macam ada kelompok tertentu. Waktu tu, hubungan “kamcheng” bermula dari perkongsian sesuatu yang menjadi “something in common” dan tak lain dari para perokok dan minat sukan yang sama.

Yang seronoknya, waktu nie dah boleh buat aktiviti bersama, pergi sembahyang jumaat ,berjalan kaki bersama dan berkongsi rokok. Nama-nama member-member banyak yang guna nama samaran atau nama gelaran saja ... seperti Cerek, Pak Kob, Tojo, Napier, Kri, Pusing, Camel , Ali Kong dan lain-lain lagi. Bila dah terbiasa, nama penuh pun dah terlupa.

Nama nama ni kadang-kadang jadi nama Glamour, dan selalunya timbul atau tercipta akibat sesuatu insiden atau berpunca dari satu gurauan biasa. Sebagai contoh nama Tojo timbul ketika subjek sejarah berkenaan dengan seorang Jeneral Tentera Jepun bernama Jeneral Tojo, dan kawan kita ni terikat sangat dengan jeneral ni.

Sampai sekarang, lebih senang ingat nama glamour dari nama betul.

Thursday, July 9, 2009

Memoir - AkhirNya Ke Lana : Bhg 5

Waktu di tingktan tiga, cikgu selalu tekankan tentang peperiksaan LCE atau Lower Certificate of Education untuk aliran inggeris dan SRP atau Sijil Rendah pelajaran. Sekolah nak kekalkan tahap pencapaian seratus peratus kelulusan dan menjadi sekolah terbaik bagi negeri kami.

Selalu ada kelas tambahan, latihan peperiksaan dan majlis ulangkaji. Bersemangat sungguh cikgu-cikgu waktu itu. Memang bertuah mendapat cikgu sebegitu. Kami selalu di berikan kata nasihat dan perangsang dan akhirnya keputusan peperiksaan memang membanggakan. Aku pun lulus dengan cermelang. Dapat gred A. Aggregat pun baik. Cuma waktu itu tak adalah hadiah yang diberikan atau liputan berita besar-besaran macam sekarang. Cuma kami berseronok sendiri dengan kawan-kawan dan tak kisah sangat siapa yang paling baik. Keluarga rasa amat gembira dan berbangga.

Masuk tingkatan empat, kami menerima pelajar baru lagi. Ada pelajar lama bertukar ke sekolah atas permintaan masing-masing. Mungkin untuk lebih dekat dengan keluarga terutama bagi budak-budak yang jauh.

Tingkatan empat kata orang tahun honey moon. Maklumlah lepas habis periksa. Tapi sebenarnya perit terutama bagi kami dalam sekolah berasrama penuh dalam jurusan sains. Pening. Subjek paling pening ialah Matematik Tambahan. Subjek lain aku boleh terima lagi. Chemistry atau kimia paling aku minati. Mungkin cikgu yang mengajar pun baik dan pandai ambik hati kami. Yang boring ialah biology atau kaji hayat. Banyak sangat benda yang kena di baca atau di hafal. Ini yang lemah.

Matematik Tambahan pula cikgunya baik, cuba bersungguh untuk mengajar kami. Tapi bagi aku yang lembab sikit ni, jadi satu subjek yang begitu menekan. “Pening! Siapa lah yang pandai-pandai buat subjek ni” kata Halim dan Prem (kawan kami yang baru). Aku pun cakap, “ matematik tambahan tu maksud nya ...mati-mati tambah hang”. Dia orang pun ketawa. Tapi aku cukup hairan dengan kawan aku si Ali. Main sama-sama, bermalas pun sama-sama, bising sama-sama tapi bab matematik ni macam makan kacang. Dalam kelas dia cuma duduk tengok cikgu ajar lepas tu bila cikgu suruh buat depan papan hitan di depan, dia selamba aje buat dan betul pulak tu!. Ilmu apa dia pakai pun aku tak tahu.

Pernah aku, Prem, Zul dengan Hariri diberikan soalan di depan dan kami disuruh selesaikan. Sampai habis masa subjek tu kami belum dapat selesaikan sehinggalah sampai ke masa seterusnya iaitu Physic. Nak jadikan cerita, cikgu matematik ni minta cikgu Physic pastikan kami siapkan dulu soalan di depan tu. Leceh betul. Berpakat juga dia.

Tapi aku cukup bernasib baik sebab, Anita yang duduk di depan cuba bagi hint kat aku bila cikgu Physic tu sibuk dengan kerja dia. Dapatlah aku selesaikan. Kesian betul aku dengan Prem dan Zul yang terpaksa berdiri di depan sampai tamat masa Physic tapi tak juga dapat selesaikan masaalah tu.

Tngkatan empat dan lima adalah peringkat remaja. Aku tengok budak perempuan cepat betul mature. Ada dah yang pandai nak bercouple. Hairan juga aku tengok di orang ni. Hari-hari jumpa di library waktu kelas prep, bukan belajar sangat tapi bersembang entah apa-apa. Lama pulak tu. Tajuk apa pun aku tak tahu. Ada juga aku tanyakan kawan aku yang sorang ni...”hangpa sembang apa lama-lama, macam tak abih-abih cerita. Banyak betui. Buat novel ada juga paedah nya”. “ Ala hang tau apa...hangpa ni semua gang hu..ha..hu..ha, “ jawap kawan aku ni. “Ala kalau takat nak tanya dah makan ke belum, makan apa , buat apa...tak payah lah nak sembang lama-lama. Kita kan makan di dewan makan...sama je apa yang kita bantai” jawab aku membalas. “hang ni lah.....” jawab dia semula sambil tersenyum.

Yang bestnya aku dan kawan-kawan baik aku yang lain memang tak ada yang bercouple. Entah lah ...mungkin tak pandai atau memang budak perempuan pun tak suka pada kami yang suka jalan beramai-ramai dalam satu kumpulan dan suka buat bising.

Ada kawan kami yang kena tangkap semasa spot check kerana menyimpan rokok. Kena public canning waktu assembly. Yang syoknya, cikgu buat salam perkenalan yang agak panjang lebar tentang sahabat kami ni sebelum berikan hukuman rotan tu. Akhirnya kawan kami ni dapat satu surat dari secret admirer. Puas kena kutuk dek member. Sampai kesudahan nya tak tahu siapa secret admirer tu.

Tingkatan empat dan lima merupakan satu titik tolak dan perubahan dalam cara bergaul sesama rakan serta timbul nya semangat berpasukan terutama bagi kami di asrama. Tak kiralah samada benda yang di buat itu baik atau sebaliknya. Semua di buat bersama. Seronok. Ada thrill. Bargaduh pun angkat gang. Budak tingkatan empat bawa diri sesama sendiri, budak tingkatan lima sibuk dengan studi tapi ada juga yang releks. Yang best nya budak tingkatan tiga cuba masuk samada dalam gang tingkatan empat atau pun gang tingkatan lima. Jarang berlaku pertikaian antara budak tingkatan empat dengan tingkatan lima Cuma yang selalu terjadi disebabkan oleh budak tingkatan tiga yang ikut mana-mana gang dalam tingkatan lima atau empat. Dia orang ni minta tolong atau sokongan kalau ada apa-apa masaalah dengan gang atau kumpulan lain.

Kami semasa di tingkatan empat dan lima memang rapat antara satu sama lain, tak kira budak aliran melayu atau inggeris atau dari mana asal usul dan bangsa. Kebanyakkan di buat bersama.

Ada satu ketika semasa di tingkatan lima, waktu berbaris diluar dewan makan...ada seorang budak tingkatan empat cuba menyelit ke depan....potong barisan...kena pulak pengawas yang bertugas juga budak tingkatan empat. Jadi pengawas ni buat tak nampak saja. Aku dan member-member bengang juga...tapi kawan aku yang sorang ni dah tak tahan....terus ke depan dan tegur budak tadi. Apa yang terjadi sebaliknya...budak tadi mati-mati tidak mengaku.” Macam lah aku ni buta” tengking kawan aku ni. Keadaan jadi kecuh, pengawas tadi cuba masuk campur tapi nampak berat sebelah. Kami pun terpa ke depan, jadi lah kekecohan besar.

Datang lah satu cikgu perempuan, warden asrama perempuan. Amboi mak, dia pun macam berat sebelah juga. Mentang-mentang lah kami ni tergolong dalam kumpulan Hu..Ha..Hu..Ha. Kawan aku naik bengang, terus di tamparnya budak tingkatan empat ni depan warden peempuan tadi. Kami pun terus beredar, tak makan dan balik ke bilik. Di bilik kamai buat strategi. Member kami ni tentu kena public canning. Ikut peraturan sekolah memang sah. Alang-alang menyeluk perkasam, kami semua berpakat, biar puas hati. Biar putih tulang, jangan putih mata. Ini satu misi membalas dendam sebelum kawan kami di rotan.

Wednesday, July 8, 2009

AkhirNya Ke Lana - Bhg 4

Ketika di tingkatan satu hingga tingkatan tiga, hidup di sekolah berasrama tak banyak masaalah samada dari segi pelajaran, pergaulan atau kehidupan seharian. Semuanya terancang. Masih awal remaja, tiada banyak masalah. Pelajaran pun kira masih mudah dan kurang mengancam.

Aku dan kawan-kawan semuanya happy bila bersama. Semua terancang...dari bangun tidor, makan dan minum, ke kelas untuk belajar, masa rehat, masa beriadah dan bersukan dan masa tidur. Semua terancang. Semua ikut peraturan dan sebagai pelajar yang masih muda dan mentah, kami tak banyak komplen. Tak banyak kerenah. Ikut dan ikut sahaja. Displin yang cuba di atur. Tiada semangat memberontak. Suasana aman dan tenteram.

Teringat aku suatu ketika di mana aku bersama Halim dan Zul cuba belajar berniaga dengan menjual jajan atau makanan ringan di asrama. Kami kumpul duit dan kongsi modal seorang sepuloh ringgit. Tiap-tiap hari minggu apabila giliran kami keluar ke pekan, kami membeli stok. Untung memang memberangsangkan. Tiap-tiap malam , selepas kelas malam dan sebelum tidur , kami mulakan bisnes. Halim cukup rajin ...berjalan dari satu bilik ke satu bilik menjual barangan kami. Aku selalunya jaga stok dan tunggu pembeli datang ke bilik. Zul kadang-kadang keluar juga menjaja dari bilik ke bilik tapi dia selalunya suka tunggu di bilik. Ramai pembeli yang sentiasa mencari kami. Kami jual murah sebab beli dari kedai borong.

Masaalah dengan Halim, jualan selalu habis tapi duit nya tak banyak dikumpulkan. Rupanya dia juga selalu makan sendiri barang jualan, jadi kena bayar dengan duit sendiri. Aku tanyakan Halim “ hang ni banyak makan sendiri ke juai...selalu habis cepat. Aku dengan Zul tak kisah, asalkan duit hasil jualan semuanya dinagi balik buat modai.Kalau hang makan sendiri, kena bayaq juga tau!” Halim sekadar tersengih tapi dia sentiasa bayar penuh. Halim memang muka tak kisah. Tapi dia ni ada masalah dengan Hariri sehinggakan satu hari dia orang bergaduh. Puas kami settlekan. Tapi itu semua sekejap saja, esok baik semula.

Apabila cuti sekolah, selalunya kami akan bahagikan keuntungan hasil jualan. Modal sepuluh ringgit kadang-kadang dapat untung sampai seratus ringgit. Seronok tau!

Halim jarang balik ke Sabah. Kalau tak ada program semasa cuti sekolah, Yayasan Sabah selalunya aturkan program keluarga angkat. Selalunya Halim ikut aku balik ke rumah. Dan selalunya Yayasan Sabah akan bahagikan sedikit wang belanja kepada keluarga aku selaku keluarga angkat. Mak dan abah aku dah kenal sangat dengan Halim ni. Halim ni jenis tak kisah dan mudah mesra. Keluarga aku pun senang dengan dia. Halim dah jadi orang penting di Sabah sekarang. Ada juga aku telefon dia sesekali.

Aku menyertai pasukan hoki dan bola sepak bawah lima belas tahun. Pasukan kami amat digeruni dan tak pernah kalah. Mungkin pemain kami adalah pemain terpilih sebab kebanyakkan pelajar yang terpilih ke sekolah berasrama penuh ini aktif dalam sukan terutama sukan berpasukan. Kemudahan sukan di sekolah berasrama penuh juga lengkap dan terbaharu. Jurulatih dari kalangan guru pun yang terbaik. Guru besar pun minat sukan dan ada banyak peruntukkan. Ada juga penaja yang sanggup menaja pasukan kami terutama dari segi jersi pasukan.

Teringat aku akan kasut but (kasut bola) aku yang pertama dari jenama Adidas. Brand ni memang terkenal dan mahal. Dulu aku cuma dengar dan tengok orang pakai saja. Di sekolah ini kasut Adidas aku yang pertama ialah Adidas La Plata. Harga dalam lapan puloh ringgit pada masa itu. Itu pun dah kira mahal untuk orang macam aku. Sekolah hanya perlukan bayaran sepuluh ringgit dari kami dan bayaran selebihnya dibuat secara ansuran dan juga dari subsidi pihak sekolah. Sayang betul aku dengan kasut tu. Lepas main aku kiwikan. Tak pulak aku basuhkan kerana tak mahu kulitnya jadi keras dan kurang selesa di pakai. Apa yang aku buat cuma lapkan kotoran yang ada, beruskan dan keringkan sebelum aku sapu kiwi warna hitam dan berus sampai berkilat. Kata orang kalau buat begini kasut lebih tahan dan selesa di pakai. Memang tahan pun tapi mungkin kualiti kasut sebegitu memang baik dan hasil pembuatan memang terjamin. Bila cuti sekolah, kasut inilah yang pertama aku simpan dalam beg untuk dibawa balik. Aku jarang pinjamkan kasut aku pada orang lain kecuali apabila benar-benar perlu. Terpaksa!. Orang tua aku tak lah susah sangat tapi tak lah senang sangat...kalau benda perlu tu..ok lah.

Wednesday, July 1, 2009

Memoir - AkhirNya ke Lana : Bhg 3

AKU DAN SEKOLAH

Sekolah rendah aku simple sahaja...bangunan separuh kayu dan separuh batu. Yang lawaknya, tingkap nya terlalu tinggi dan kami sewaktu darjah satu terpaksa naik atas kerusi untuk membuka atau menutupnya. Padang sekolah agak luas, mungkin tanah waktu itu murah Cuma yang aku hairan, kenapa bangunan kelas di bina terlalu rapat antara satu dengan lain. Semua bangunan kelas hanyalah satu tingkat saja. Tiada bangunan tinggi waktu tu. Bangunan yang paling tinggi di pekan kecil ini ialah bangunan Wisma Persekutuan yang menempatkan pejabat-pejabat kerajaan persekutuan dan Wisma Negeri yang menempatkan pejabat menteri besar dan pejabat tanah.

Waktu di darjah dua, kami terpaksa menumpang di sekolah menengah berhampiran sebab sekolah kami sedang di naik tarafkan. Kami menumpang di sekolah menengah ini selama hampir setahun setengah. Waktu menumpang di sekolah menengah ini, keadaan agak kelam kabut terutama waktu rehat dan waktu nak bersukan. Budak-budak sekolah menengah (kami disessi petang), selalu saja kacau kami terutama ketika bermain bola di padang. Selalu saja nak mengganggu. Boring betul! Pernah juga kami nak bergaduh...tapi sebab kami ni masih kecil dan mereka rata-rata dari tingkatan satu dan dua, maka kami terpaksa bersabar . Namun pernah juga sekali terjadi pergaduhan apabila kami sedang bermain bola, ada budak sekolah menengah mengganggu rakan kami yang berketurunan sikh. Di ejeknya kawan kami sehinggakan dia naik marah dan cuma menendang budak sekolah menengah tersebut. Kawan-kawan budak sekolah menengah yang seramai tiga orang cuba masuk campur. Apabila keadaan bertambah tegang, aku dan kawan-kawan seklas yang lain masuk campur dan berlakulah pergaduhan....tendang menendang dan tumbuk menumbuk. Yang jelasnya tak ada siapa yang menang atau kalah cuma baju kotor dan semua dimarahi cikgu. Kami semua rasa bangga juga sebab lepas kejadian tu, tak ada lagi budak sekolah menengah yang mengganggu kami lagi.

Waktu tu, kami sekelas, tak kira apa suku bangsa atau kaum bersatu membantu kawan kami dari kaum sikh ini...Ranjit Singh. Kami semua berkawan baik. Tiada langsung perasaan perkauman. Makan, minum, belajar dan bermain bersama. Ada dua tiga orang kawan aku berbangsa cina seperti Yap dan Chong. Kami selalu bersama....sehingga lah terpisah apabila bertukar ke sekolah menengah. Cuma yang aku kesal, Ranjit telah meninggal dunia akibat penyalahgunaan dadah. Memang malang betul. Aku ingat dia bersama-sama aku dalam pasukan hoki sekolah. Ranjit penyerang yang handal dan aku bermain dalam posisi pertahanan. Yap sebagai penjaga gol dan Amin bersama-sama Ranjit sebagai penyerang. Ada juga seorang kawan sekelas kami bernama Mohd Nizar yang bermain sebagai pemain tengah. Nizar memang handal dan cekap. Nizar sekarang dah jadi jurutera, Chong dah jadi doktor, Amin pegawai kanan kerajaan dan malangnya aku dah hilang contact dengan Yap.

Zaman sekolah rendah penuh cerita dan kehidupan yang meninggalkan kenangan penuh suka duka dan nostalgia kehidupan zaman kanak-kanak.

Memasukki zaman sekolah menengah pula mencipta satu dimensi baru. Menerima tawaran ke sekolah berasrama penuh bagaikan satu titik tolak perubahan dalam diri aku dan keluarga aku. Satu permulaan baru dalam kehidupan. Satu pengalaman baru yang tak pernah dijangka, Aku pun tak tahu sangat macamana sekolah berasrama penuh ini. Yang jelas, semua pelajar harus tinggal di asrama.

Kawan sekelas aku yang bersama-sama ditawarkan ke sekolah berasrama penuh ialah Chong, Amin, Pak Mat, Nizar dan Azahar. Aku tak rapat sangat dengan Azahar sebab dia anak orang yang agak berada, pandai (dapat 5A) dan juga ketua pengawas. Tapi orang nya baik, juga pemain hoki dan pandai dalam pemainan catur.

Amin pernah bertanya aku .” hang nak pi ke sekolah tu?. Sekolah tu tang mana?” Aku pun jawab, “ tak tahu lagi, kena tanya abah aku. Tengok list barang macam banyak kena keluaq duit. Tengoklah nanti”.

Abah setuju dan sanggup keluarkan belanja. Abah aku tengok macam bangga. Mungkin dia dah tahu dari rakan-rakan sekerja yang mengatakan sekolah itu baik dan untuk pelajar-pelajar terpilih sahaja. Banyak juga borang yang kena isi dan kena dapatkan tandatangan penghulu dan majikan. Kena buat pemeriksaan doktor. Pertama kali aku kena x-ray. Nasib semuanya ok. Banyak juga barang yang kena beli, aku pun seronok juga. Waktu tu pulak sekolah berasrama penuh ada seragam masing-masing. Tak sama dengan sekolah biasa yang lain. Kami guna seragam seluar pendek berwarna putih dan baju putih. Kasut warna hitam dan berstokin putih. Itu sampai ke tingkatan dua sahaja apabila kementerian pelajaran menetapkan pakaian seragam yang serupa untuk semua sekolah iaitu seluar pendek warna hijau gelap dan baju putih. Bila masuk tingkatan empat, kami tukar seluar panjang warna hijau gelap Cuma pengawas sekolah pakai seluar warna coklat tua.

Di sekolah ini aku bertemu dan berjumpa ramai kawan-kawan baru dari sekolah rendah lain dan juga dari merata-rata negeri termasuklah dari Sabah dan Sarawak. Bermula lah satu lagi titik tolak dalam persahabatan baru.

Shukri, Zul, Hasnul, Kasiraja Pillay dan Kamel dari sekolah aliran inggeris dari negeri yang sama dan selalunya menjadi seteru utama dalam pertandingan sukan terutama hoki dan bola sepak. Ali, Syed Amir dan Syed Nazar pula dari sekolah lain, juga dari negeri yang sama. Halim dari Sabah. Hariri, Zaki, Meor, Megat, Khalid dan Zambri pula dari Perak. Ada ramai lagi termasuk lah Murni dari Sarawak. Budak-budak perempuan yang aku ingat ialah Anita, Sabariah, Boey, Arina, Sahrizan, Anne dan Norlida.

Tingkatan satu tak banyak masaalah . Kami semua berkawan baik umpama satu keluarga. Dan sebagai sebuah sekolah berasrama yang baru siap digunakan, tiada ragging atau buli. Kami semua senang bersama tanpa banyak kerenah senior-senior. Malah kami boleh dianggap macam pioneer . Ada satu batch pelajar tingkatan dua yang masuk enam bulan lebih awal kerana mereka semua telah terpilih dan terpaksa belajar dengan menumpang di sekolah lain kerana sekolah ini tak sempat disempurnakan mengikut jadual. Pelajar tingkatan empat masuk pada bulan April, setelah beberapa lama keputusan peperiksaan LCE dan SRP dikeluarkan.

Sekolah kami ada dua aliran bahasa iaitu bahasa inggeris dan bahasa melayu. Ada dua kelas bagi setiap aliran dalam setiap tingkatan. Maknanya ada 2 kelas tingkatan satu dalam aliran inggeris dan 2 kelas tingkatan satu dalam aliran bahasa melayu. Di sinilah aku berkenalan dengan Hisham, Sahril, Anuar dan lain-lain dari kelas aliran bahasa melayu. Kami semua berkawan baik tanpa mengira kelas atau aliran bahasa. Kami betul-betul bersatu hati dan berpakat baik. Main bersama, bersukan bersama dan tinggal dalam satu dorm bersama. Salah faham yang timbul antara kami selalunya diselesaikan dengan bantuan dan nasihat kawan-kawan.