Banglo kediaman aku akhirnya siap untuk di duduki. Banglo ni terletak agak jauh dari penempatan akhir, kira-kira hampir dengan penghujung ladang. Yang nampak jelas dari banglo yang terletak di atas bukit ialah sebuah menara micro-wave stesen dan kawasan perumahan pekerja ladang (line-site).
Jarang orang ke kawasan banglo ini. Cuma waktu siang ada seorang pembantu yang datang awal pagi dan balik sekitar jam 2 petang. Sekitar banglo ni banyak di tanam pokok kemboja yang berbau harum terutama di waktu malam...kadang-kadang terasa seram jugak.
Bekalan elektrik dari generator yang selalunya di buka jam 6 petang dan tutup sekitar jam 12 tengah malam. Generator set ini khusus untuk banglo ni jadi untuk "start" waktu petang, ada seorang mandor akan uruskan manakala jam 12 malam, saya hanya perlu menekan butang "off" dari dalam banglo. Malam-malam pertama, terasa seram jugak duduk sorang-sorang dalam banglo yang besar dan jauh dari orang. Saya menggunakan lilin untuk terus mendapatkan sedikit cahaya dan lampu picit untuk urusan lain terutama jika nak ke bilik air atau dapur pada waktu-waktu selepas gen-set di padamkan. Tak pernah terfikir untuk keluar pada waktu malam sorang-sorang disebabkan timbulnya rasa takut.
Bab masak, terpaksalah makan apa yang ada dan dimasak sendiri. Kadang-kadang selepas waktu pejabat, bergegas keluar ke pekan Chaah untuk "early dinner" dan cepat-cepat masuk. Pengetahuan serba-sedikit tentang masak-memasak ni ada juga gunanya. Waktu mula bekerja, masih bujang, peralatan rumah hanya apa yang dibekalkan oleh pihak syarikat. lengkap kecuali tiada radio dan tv. Ini yang buat hidup bertambah boring pada waktu malam. nasib baik ada radio transitor kecil buat penyeri pada waktu malam.
Banyak benda-benda antik dalam rumah ni. Peti ais dihidupkan menggunakan minyak tanah (special grade kerosene oil) yang dibekalkan oleh syarikat. Minyak tanah ni diberi sebanyak 18 liter sebulan. Memang cukup dan tiada pulak keluar asap hitam macam pelita minyak tanah yang selalu kita gunakan. Perabut lain seperti katil, almari, kerusi meja dan meja makan diperbuat dari kayu keras yang tahan lasak. Amat berat jika diangkat sorang-sorang. Reka bentuk memang klasik dan antik sekali.
Ruang tamu agak besar, begitu jugak ruang bilik tidur. Bilik air juga besar cuma dapur agak kecil dibandingkan dengan ruang-ruang lain dalam banglo ni. Semuanya ada 15 pintu keluar dari banglo ini dan 3 pintu bagi setiap bilik. Pintu dari kaca tetapi siap dengan "grill" ini sebenarnya dibuat dengan tujuan tertentu. Di zaman komunis mengganas di estet-estet, pintu-pintu ini penting sebagai jalan keluar malahan terdapat pintu keluar di bilik air. Setiap banglo turut mempunyai siren yang digunakan jika ada apa-apa bahaya atau kecemasan. Sebenar, memang ada es-kes dimana pengurus ladang warga asing ditangkap atau di bunuh oleh penganas komunis waktu darurat dulu.
Sebenarnya, mandor saya ada mengatakan bahawa tiada sesiapa pun berani ke banglo yang saya diami selepas jam 7 malam...sebab ada banyak cerita-cerita yang menakutkan berlaku di sekitar kawasan itu.
No comments:
Post a Comment