Hari hari aku bermula sekitar jam 5 pagi. Itu waktunya aku perlu bangun pagi setelah gen-set tu dihidupkan oleh pekerja yang di arahkan berbuat demikian. Bila dah "on gen-set", automatik semua lampu dan kipas berfungsi. Terkejut dek bungi enjin dan juga lampu yang tiba-tiba menyala.
Dalam jam 5.30 pagi, dalam kesejukkan pagi, naik motor ke tempat "muster". Kadang-kadang misai saya ni basah dek embun pagi. Sejuk pun ada dan apabila dah dapat gaji, terpaksa beli baju sejuk, berlengan panjang.
"Muster call" atau "roll-call" berfungsi untuk mencatatkan kehadiran pekerja, membuat arahan atau memberikan penerangan atau maklumat baru, mendapatkan progress kerja semalam serta membuat agihan kerja untuk hari berkenaan. Sebuah buku yang dipanggil "muster-book" ada kitab harian seorang penyelia ladang. Dalam buku itu semua maklumat kerja, jenis kerja, nama pekerja, lokasi kerja dan hasil kerja dicatatkan. Rujukan utama untuk penyediaan gaji pekerja diperolehi dari buku berkenaan. Buku muster ini adalah buku rasmi malah boleh digunakan untuk hal-hal berkaitan dengan urusan tuntutan Perkeso, insuran dan pembayaran cuti am bergaji.
Waktu muster, pekerja akan berbaris mengikut kumpulan masing-masing. setiap kumpulan diketuai oleh mandor. Nama-nama pekerja akan dipanggil satu persatu dan mana-mana yang hadir akan menyahut pangillan tersebut. Penyelia ladang atau lebih dikenali sebagai "Field Conductor" akan mencatat kehadiran tersebut. Bagi pemandu kenderaan seperti lori dan trektor, nama mereka juga di panggil dan mereka akan diarahkan menghantar pekerja ke blok-blok atau tempat kerja yang berkenaan.
Selepas muster, mana-mana pekerja yang ditugaskan untuk kerja meracun rumpai, akan membuat persiapan terhadap keperluan alatan kerja sementara mandor pulak akan ke stor racun untuk mengambil racun. racun akan dibancuh dan diagihkan mengikut keperluan hari berkenaan. Rekod pengambilan akan dicatatkan oleh Field Conductor.
Bagi pekerja membaja, mereka akan menaiki lori untuk mengambil baja di stor pusat atau main store di division dua. Ini satu lagi kerja yang mencabar. Sistem yang betul perlu bagi mengelakkan kecurian baja. Membaja adalah kegiatan ladang yang memerlukan kos yang tinggi terutama kos baja berkaitan. Seorang Field Conductor (FC) akan diarahkan untuk ke main store. Keperluan pada hari berkenaan akan dibuat dalam "store requisition chit" yang akan diserahkan kepada penyelia stor pusat. Requisition chit ini dikeluarkan setiap hari apabila diperlukan dan memerlukan kelulusan dan pengesahan Section Officer (SO) atau Assistant Section Officer (ASO). Tanpa itu semua, pihak stor tidak akan mengeluarkan baja dari stor.
FC pula akan mengiringi lori baja tersebut dari stor pusat hingga ke blok. Sebelum itu, semua baja yang diambil akan dikira dengan betul. Sebaik sampai di blok, baja akan disusun di tepi jalan, mengikut keperluan. mandor seterusnya akan mengagihkan pekerja membaja mengikut task tertentu. Semua bag baja yang kosong akan di kutip dan dikumpulkan. Bag-bag baja yang kosong tadi akan dibawa balik apabila kerja pada hari tersebut selesai. Bag tersebut akan dikira dan jumlahnya perlu sama dengan jumlah bag baja yang diambil dari stor pusat. FC akan menyelia dan mengesahkan jumlah tersebut.
SOCFIN mempunyai sistem kerja yang baik dan ianya mengurangkan kejadian penipuan, kecurian disamping meningkatkan produktiviti dan hasil kerja yang baik. Semua rekod di simpan dengan kemas dan teratur. rekod dibuat secara manual. Itu semua dilakukan pada waktu pejabat petang, antara jam 3 hingga 5.
No comments:
Post a Comment