Tuesday, December 29, 2009

Memoir - Akhir Nya Ke Lana (Bhg 32)

DI FELCRA WILAYAH KEDAH / PERLIS

Semester ketiga, tahun pengajian kedua, aku memilih untuk menjalani latihan praktikal dengan agensi kerajaan. Aku lapur diri di Pejabat Felcra, wilayah Kedah / Perlis, dan kalau tak silap dekat dengan Pumpong, Alor Setar, Kedah.

Di Felcra, latihan praktikal ini di bahagikan kepada 4 lokasi, bermula dari Felca Kubang Kenyeng, Felcra Kampong Pong Selatan, Felcra Rancangan Belia di Naka dan Felcra Projek In-Situ di Langkawi.

Felcra mempunyai pelbagai jenis pembangunan projek seperti pemulihan tanah terbiar, projek tanah pinggir, projek belia dan projek pertanian bersepadu in-situ sepertimana di Langkawi.

Perjalanan ke tempat latihan di atur oleh pihak Felcra, dan kami (aku dan seorang kawan sekelas, Zainal “King”), bermula di Kubang Kenyeng. Tak banyak yang dapat aku ceritakan cuma ianya satu projek pembanguan tanah dengan komoditi getah. Tempat tinggal... dengan kakitangan Felcra ...masih bujang. Aktiviti harian tak banyak, cuma yang aku pasti bila bab menerima susu getah yang di hantar oleh peserta , di timbang untuk proses selanjutnya. Butiran hasil setiap peserta di ambil untuk tujuan rekod dan pembayaran nanti.

Begitu juga dengan projek di Kampung Pong Selatan. Aktiviti tak banyak, banyak yang masih baru. Belum betul-betul berhasil. Kawasan disini banyak juga bangsa Siam, jadi tak heran lah banyak babi belaan berkeliaran di kampung, walaupun ada juga sedikit penduduk berbangsa melayu. Tapi ternakan babi ni agak terkawal cuma bila nampak babi berkeliaran tu rasa pelik dan geli sikit. Memang kadang-kadang ada yang , mungkin jinak, lepas bebas di tepi jalan.


Di Felcra ni tak banyak yang menarik cuma ada beberapa perkara seperti membawa wang pembayaran hasil untuk peserta yang kami bawa dengan motorsikal, melalui jalan denai kampung menuju ke pusat projek. Macam biasa saja, macam tak ada risiko kena rompak, mungkin sebab tak pernah jadi , semua orang buat biasa aje. Wang di bawa oleh seorang kakitangan , diletakkan dalam raga motor. Kami ikut di belakang dengan sebuah motorsikal lain. Tak banyak wang yang di bawa, tapi kalau sekarang, dah tentu jadi mangsa ragut atau samun.

Ada satu pengalaman di mana , aku mengikut pengurus dengan Land Rover Felcra, saja-saja melawat kampung. Ada plan nak memancing juga. Dalam mencari tempat yang sesuai, kami sampai ke satu rumah atau pondok kecil. Biasanya di panggil dangau. Sesampai kami di situ, ternampak seorang lelaki yang dah agak berumur sedang mencangkul , seperti mengerjakan tanah untuk tanaman.

Dilihat kepada keadaan, jelas mereka ini memang tergolong dalam golongan orang yang miskin atau berpendapatan rendah. Heran jugak kenapa mereka ni tak masuk rancangan Felcra yang boleh membantu mereka dari segi modal atau khidmat nasihat.

Bila didekati, pak cik tadi terhenti, melihat ke arah kami dan bertanya sesuatu yang aku tak berapa jelas dengar. Ada seorang perempuan yang agak muda, sekitar 30an dengan seorang budak lelaki kecil , berdiri di hadapan dangau tadi melihat kami. Budak lelaki tu, nampak nya macam tak biasa melihat orang luar, merangkul ditepi perempuan tadi, yang aku agak mungkin emaknya.

Pak cik mendekati kami lalu, dengan nada yang agak tinggi ... “apa hangpa nak mai tempat aku. Nak rampas tanah? mentang-mentang kami susah, hangpa senang senang nak mai buat kacau”

Kami terkejut juga, “kenapa marah-marah tak tentu pasal ni. Kami mai ni nak cari tempat nak pancing, bukan apa-apa”.

No comments:

Post a Comment