DI KALUMPONG, BAGAN SERAI, PERAK.
Semester ke dua, aku buat latihan praktikal kat Kalumpong Estate, Bagan Serai, Perak. ladang ni milik sebuah syarikat perladangan yang terkenal ... ... Highland dan Lowland . Di kampus kami sebut “ tanah tinggi rendah”. Tanaman komoditi sini ialah kelapa sawit. Kawasan agak rata dan tak banyak masalah , cuma ada kawasan yang dah mula nak tanam semula.
Aku praktikal di sini dengan seorang classmate bernama Shamsudin, tapi kami di kampus panggil dia Jeng. Dia orang Parit Buntar, jadi tak jauh dari Bagan Serai, malah dia ada bawa motorsikal, jadi senang lah aku tumpang dia kesana dan kesini. Cuma, kadang-kadang bila dia balik kampung dia, aku macam patah kaki. Nak pergi makan, seksa sikit.
Kebetulan pulak masa praktikal ni kena bulan puasa dan nak jadi kebetulan pulak, kami pernah di tugaskan buat perimeter survey pada bulan puasa dengan cuaca yang panas dan terik. Teruk tu. Masa berjalan sambil tarik gutter chain dan kayu tanda, masa itu lah pekerja yang ikut kami tu dok sedap tenguk air. Meleleh air liur, dahaga dan letih. Pekerja yang sorang ni relax jer minum depan kami. Pekerja tu seorang sami India , kat kuil dalam kawasan ladang. Ladang ni banyak pekerja dari kaum India, walaupun ada ramai juga orang Melayu.
Kena hari kedua, masa balik tengahari untuk rehat, ada lah satu staff ladang, bangsa India jugak, dia nak ke pekan Bagan Serai... katanya nak pergi makan dan beli barang. kami yang dah letih nie, dah tak berkira lagi, tak tahan rasanya, pesan lah dia beli nasi.
Waktu menunggu nasi campur sampai, kami rehat dulu... tapi bila dah niat nak buka puasa, kami rehat sambil minum air kat rumah. Tak ada siapa yang tahu!
Sampai je nasi campur kami, makan punya lah sedap... nasi campur mamak. Rumah yang ditumpangkan kami ni sebenarnya rumah banglo untuk kakitangan ladang, jadi tak ada orang lain yang ke situ, kalau tak ada urusan. Sebenarnya, kami ni ada upah satu keluarga untuk memasak dan menyediakan makan. Jadi, time makan, kami ke sana untuk makan tengahari atau makan malam. Cuma bila bulan puasa, kami ke sana hanya untuk berbuka puasa dan bawa bekal balik untuk bersahur nanti.
Di sebabkan segan dan malu dengan keluarga tu, keluarga Pak Harun, waktu berbuka puasa kami tetap ke rumah dia... jadi dia pun ingat kami ni berpuasa... Waktu sebelum berbuka, kami buat la muka letih. Masa makan, berselera jugak. Kebetulan , isteri pak Harun ni keturunan Cina Islam dan pandai masak, jadi masakan dia memang best.
Pernah isteri pak harun tu tanya aku, pernah tak makan daging itik... aku pun cakap tak pernah. Tengok tengok , makan malam tu, dia masak daging itik.. sedap betul. Malang betul, aku dah lupa nama isteri pak Harun tu.
Pak Harun ni sebenarnya masih sihat dan kuat, walaupun nampak macam dah berumur. Tapi mungkin kerja kuat dan banyak berjemur, riak muka nampak macam dah berumur. Pak Harun kerja sebagai penuai buah kelapa sawit dan di bantu oleh seorang anak perempuan dia untuk mengangkat buah sawit. Anak dia kira pangkat kakak, dah berkawin dan beranak dua. Cuma, masalahnya, suami dia ni ada masalah mental dan mereka dah tak tinggal bersama. Suami kakak ni tinggal dengan keluarga, cuma yang kesiannya, suami dan keluarga mentua kakak ni, tak pernah menjenguk kakak ni dan anak-anak dia. Nak kata bercerai tak pulak, macam gantung tak bertali.
Pak Harun ni sebenarnya ada tiga lagi anak, dua lelaki dan satu perempuan. Yang lelaki tu dah bekerja, kerja biasa saja kat Taiping, yang perempuan tu masih bersekolah menengah dan yang bongsu, seorang lelaki bersekolah rendah. Adik lelaki ni selalu juga datang ke rumah tumpangan kami... kadang-kadang hantar makanan.
Aku pernah ikut Pak Harun memancing , udang galah banyak kat sana. Masa nak ke lubuk memancing tu, aku relax aje walaupun risau juga , sebab sampan biasa aje. Ada bawa bekal makan. Aku sebenarnya tak berapa minat memancing... tapi bila dah di ajak, tak sampai hati nak tolak... kena pulak dia orang tu baik dan jugak disana lah tempat aku makan.
Sampai ke tempat memancing, masing-masing mula melabuhkan joran. Tengahari tu , rasa panas jugak. Tak ada udang, hanya ikan. Aku sekor ikan pun tak dapat. Bila dah boring, aku makan jer bekal bihun goreng yang di bawa. Heran, bila makan selera betul!
Lepas makan aku lepak, dah tak pancing lagi... setakat tengok dia orang yang memancing. Sedar-sedar, kulit terasa macam dah terbakar.... panas.
Pernah bila Jeng balik ke kampung dia, aku duduk sorang kat rumah tu. Nak ke rumah dia , rasa segan pulak. Bab nak pergi makan, rasa malas pulak nak jalan kaki... jarak antara rumah pekerja dengan rumah tempat kami ni, lebih kuranh satu setengah kilometer. Siang boleh le, tapi kalau malam rasa malas nak pergi. Bila dah jadi begitu, Pak Harun pernah pinjamkan basikal dia untuk aku gunakan. Kadang-kadang bila aku nak balik, anak lelaki bongsu dia ikut aku balik dan bermalam di rumah.
Satu hari, dia orang bercerita yang rumah tempat aku tinggal tu sebenarnya berhantu... itu kata orang. Sebabnya, pernah satu staf berbangsa India bunuh diri dengan mengantung diri pada alang utama , betul-betul depan pintu masuk utama rumah tu. Bila dah tahu, aku pun naik seram jugak bila duduk sorang-sorang. Bila balik malam sikit, nak masuk rumah, mula berdiri bulu roma, lepas tu mata asyik menjeling ke atas, tempat yang dikatakan si staf tu gantung diri. Heran nya, tak pernah pulak ada gangguan.
No comments:
Post a Comment