CUTI PANJANG, TUNGGU RESULT.
Cuti panjang sementara menunggu keputusan peperiksaan memang membosankan. Tak ada apa yang nak di buat. Cuti sementara tunggu keputusan peperiksaan hampir empat bulan. Macam-macam idea pun timbul. Kawan aku ajak kerja sambilan di sebuah syarikat pembinaan. Syarikat ini sedang membina satu taman perumahan. Kerja sebagai buruh kasar dengan gaji harian berjumlah tujuh ringgit sehari. Kerja dari jam tujuh pagi hingga tiga petang. Kalau buat kerja lebih masa, kerja tamat pada jam enam petang. Kawan yang sama-sama kerja dengan aku ialah Norhishamudin.. aku panggil “Di”. Adik Razali Majid pun kerja kat situ..
Kerja sebagai buruh sambilan di kawasan pembinaan memang agak berat. Mengangkat batu bata, membancuh simen dan mengangkut dan memindahkan kayu “T” cukup menyiksakan. Kayu “T” tu dari jenis yang tahan dan berat. Kena pulak penuh dengan sisa konkrit yang dah kering dan beku. Sakit rasanya bahu. Berbekas dan pedih terutama apabila mandi. Itu lah kerja yang aku buat untuk tempuh beberapa hari bekerja di situ.
Kumpulan kerja aku ada sasaran tertentu yang diberikan oleh pihak kontraktor. Kumpulan kami terdiri dari bangsa melayu dan cina. Kami bekerja bersama-sama macam sat keluarga. Susah senang bersama. Masing-masing ada tugas masing-masing. Ketua kumpulan kami bernama Ah Chai. Dia ni cukup simple. Dia cukup ambil berat tentang ahli dalam kumpulan hinggakan kalau kumpulan lain kacau mana-mana ahli dalam kumpulan kami, dia sanggup pergi berjumpa dengan orang berkenaan dan tegur. Kalau jadi gaduh pun Ah Chai tak kisah. Selalunya kumpulan akan terlibat secara keseluruhan jika mana-mana ahli dalam kumpulan di usik atau di kacau. Setidak-tidaknya bergaduh mulut.
Kalau dah tak larat sangat, aku dan kawan aku kerja separuh kong. Maknanya kerja separuh hari dan gaji pun separuh. Kulit muka dan badan aku yang terdedah pada matahari menjadi merah terbakar. Kulit bertambah gelap. Tadi badan terasa semasa sasa, keras dengan otot-otot terutama di bahagian lengan. Stamina bertambah. Aku dah lali dengan kerja berat dan kasar. Tapak tangan pun dah kasar.
Dapat gaji, aku dan kawan-kawan pergilah joli. Masa tu setakat makan-makan dan tengok wayang. Balik pun lewat sikit lagi pun ku tak tinggal dengan keluarga aku semasa bekerja sambilan ini. Gaji sebulan dapatlah dalam seratus lima puluh ke seratus lapan puluh ringgit. Ini termasuklah elaun kerja lebih masa. Masa tu, duit sebanyak itu dah kira cukup besar. Dapat juga aku serahkan sebahagian gaji pertama aku ke emak. Emak berat nak terima. Dia sedih juga dengan keadaan aku yang bertambah gelap dan jarang balik ke rumah.
Duit gaji tak banyak yang aku belanjakan.Makan dan minum kadang-kadang masak sendiri tapi selalunya mak aku atau mak kawan aku hantarkan lauk pauk. Makan memang cukup berselera. Mungkin sebab kerja yang di buat memerlukan kami makan lebih untuk tenaga. Aku dapat juga simpan duit. Ada juga rancanan nak bercuti di Langkawi. Kawan-kawan lain yang bekerja di tempat lain pun dah buat planning untuk pergi bercuti selepas cukup duit simpanan. Bercuti secara budget. Dengan kawan-kawan yang sama bersekolah. Tentu banyak cerita terutama tentang kerja yang di buat. Ada yang kerja macam atendan lori, tolong buat kerja di gerai makanan milik keluarga atau jadi kuli kontrak macam aku ni.
Aku dan kawan-kawan rapat masih berhubungan terutama yang tinggal satu negeri dengan aku. Bandar kecil di sini tempat kami berjumpa terutama ketika baru dapat gaji. Aku dah mula rajin buat kerja lebih masa. Kerja lebih masa selalunya tak lah berat sangat. Selalunya buat longkang kecil guna cangkul. Kadang-kadang bila lori simen sampai, kami ambil upah angkat simen untuk di simpan dalam stor. Duit nya di bawa oleh tauke lori melalui pemandu lorinya. Ada jugak pemandu lori ni turunkan simen sendiri dengan atendan nya dan duit tu masuk poket sendiri. Angkat simen ini duit upah diberikan secara tunai. Tak banyak setakat lima puluh ringgit bagi lori treler yang diisikan dengan 20 tan simen. Tapi tauke kami selalunya bagi kami air minuman sejuk yang dibungkus sebagai insentif tambahan terutama apabila lori tiba waktu lewat petang. Kerja ramai-ramai sampai sepuluh orang dapat lah seorang lima ringgit tapi kalau ada tiga atau empat lori, upah dah kira lumayan. Kami bagi sama rata tak kira siapa yang angkat lebih atau kurang. Sekejap siap sebab ramai dan ada pakatan yang baik. Aku selalunya kerja atas lori dan hulurkan simen kepada kawan di bawah. Lori selalunya diletakkan dekat stor jadi senang juga member nak angkat tapi yang lecehnya ialah nak menyusun dengan baik supaya tak jatuh. Ada teknik juga kerja menyusun simen ni supaya ianya nampak rapi, tersusun, tak jatuh dan menjimatkan ruang. Bila balik rumah selalunya terasa perit bahu sebab kesan dari simen yang melekat. Katanya simen ni panas.
Kerja di tapak pembinaan seperti ni tidak ada sebarang faedah yang diberikan oleh tauke terutama pada kmi yang kerja separuh masa dan sambilan. Mana ada SOCSO ataupun EPF. Rawatan perubatan pun tak ada Cuma kalau luka-luka tu tauke hantar jugak ke klinik dan dia tolong bayarkan. Kadang-kadang guna ubat yang ada di pejabat tapak.
No comments:
Post a Comment