Wednesday, August 5, 2009

Memoir - AkhirNya Ke Lana (Bhg 12)

Bilik studi kat asrama boleh digunakan dua puluh empat jam. Kelas pulak boleh digunakan sampai pukul sebelas malam. Pilihan di tangan masing-masing. Dalam ramai-ramai sibuk dengan cara masing-masing untuk studi, bilik TV tetap meriah. Ada jugak jenis tengok Tv dulu...lepas tu masuk tidur awal dan bangun awal pagi sekitar jam empat untuk studi. Kemudian tidur semula dan bangun semula sekitar jam sepuluh untuk sambung studi sementara tunggu masa makan tengahari. Ada juga yang studi sampai tengah malam dan lepas tu tidor tapi bila bangun pagi esok nota pendeknya hilang. Kawan pinjam!. Mengamuk lah kawan kita ni. Member yang pinjam pulak tak bagi tahu.

Peperiksaan MCE ni ambil masa lama juga. Ada peperiksaan amali kat makmal dan sebagainya. Bukan hari-hari ada kertas peperiksaan. Kadang-kadang ada masa antara kertas peperiksaan sampai empat hari. Waktu ni lah buat ulang kaji. Dekat sebulan jugak rasanya. Tiap kali habis satu paper, macam dah habis satu beban, aku tak pernah check pun jawapannya, takut, kalau salah nanti frust pulak.

Bila sampai kertas terakhir, lega sungguh. Result lambat keluar dan masing-masing mula pasang rancangan masing-masing. Ada yang nak bekerja sementara dan ada juga yang nak relaks habis. Ada juga yang nak tolong ibu bapa berniaga. Budak perempuan biasanya masuk kelas menaip.


Hari terakhir ambil periksa, mood dah lain sikit. Biasalah, dah habis berjuang. Tak ada lagi beban atas kepala. Dah bebas habis. Semua tension dah hilang. Tinggal lah masa untuk berpisah, mungkin untuk seketika tetapi yang jelasnya mungkin ada yang tak akan bertemu lagi untuk tempuh yang lama. Sebabnya ialah, sekolah kami setakat tingkatan lima sahaja, mungkin ada yang akan ke universiti, ada ke matrikulasi, ada yang mungkin bekerja dan mungkin juga pergi berkursus di mana-mana. Ada yang akan belajar di luar negeri dan ada yang mungkin terkandas dan duduk di kampung sahaja.


Setelah lima tahun bersama, terasa juga sedih waktu berpisah. Cikgu dan warden juga akan terasa kehilangan pelajar-pelajar tingkatan lima ini. Waktu ni, autograph berlegar-legar antara satu tangan ke satu tangan. Macam-macam yang di tulis. Yang pasti, alamat penulis...untuk berhubungan bila perlu. Nombor telefon hanya bagi yang ada telefon sahaja. Dulu tak ramai yang ada telefon di rumah., rumah aku pun mana ada telefon.

Warden dan pihak sekolah ada buat satu majlis perpisahan di dewan makan. Makan agak special. Hampir semua guru-guru yang mengajar tingkatan lima meluangkan masa untuk menghadiri majlis ini. Ramai yang memberi ucapan termasuklah guru besar, ketua pengawas, warden dan wakil pelajar. Perkataan yang paling common ialah mohon maaf atas segala salah dan silap selama kita bersama, semuga berjaya dalam apa jua lapangan yang diceburi dan jangan lupa kami di sini.

Sessi bergambar memang banyak Cuma yang jadi persoalan ialah bila gambar itu akan di perolehi sebab kawan-kawan datang dari seluruh pelusuk negara dan tentu tinggi biaya kalau nak proses gambar banyak-banyak dan hantar pulak ke kawan-kawan di beberapa tempat. Sampai sekarang tak banyak gambar waktu majlis perpisahan yang aku dapat kecuali dari kawan-kawan yang terdekat.

Bertukar-tukar souvenir pun biasalah. Tapi bukan barang baru, Cuma barangan persendirian yang dijadikan barangan tukaran. Kasut dan baju adalah yang paling
popular. Conteng dalam autograf tu biasa ler... rasanya sekarang ni tak tak ada trend tu.

Malam sebelum berangkat, masing-masing lepak kat bilik bersembang tentang perjalanan hidup selama lima tahun di asrama dan juga apa perancangan yang bakal di buat. Ada jugak yang buat perancangan tentang masa cuti...kerja sambilan jadi perhatian. Ada juga yang nak relaks dan tolong keluarga di kampung. Yang kaki merokok, cukup bahagia. Bersembang sambil merokok. Siap ada air kopi yang dibuat. Water heater jenis coil digunakan untuk masak air. Kopi dan gula minta kat dewan makan. Waktu ni semua mewah. Roti di dewan makan pun boleh di minta dan pihak dewan makan pun kasi sebab lepas ni dah tak beroperasi dewan makan kecuali jika ada majlis tertentu.

Bersembang sampai lewat malam. Bergelak ketawa mengenang semua cerita lucu yang pernah berlaku. Yang ada cewek @ marka @ girl friend nampak agak murung. Yang perempuan tak payah cakap. Sensitif habis. Ada yang nangis-nangis waktu majlis perpisahan malam tadi. Yang kaki hu..ha..hu..ha, semacam je enjoy. Periksa dah habis, hati dah bebas dari tekanan. Apa lagi enjoy sakan. Siap mengusik orang lagi.

Wednesday, July 29, 2009

Perjalanan ....

Perjalanan ke Lana masih jauh... tapi perjalanan pulang ke Perlis memang membawa banyak kenangan lama. Aku sempat jumpa kawan lama, ada yang terserempak kat jalan tapi tak sempat tegur dan ada jugak yang tak cam aku lagi.


Tapi nak heran apa, dah lebih 30 tahun tinggalkan sekolah. Berita terbahru dari seorang kawan lama, yang sekarang ni tinggal di Bangi ialah berita kematian... Kematian Selamah Yahya, senior di sekolah dulu akibat strok pada hari raya lepas... cerita lama tapi baru dikabarkan. Aku tak ingat sangat allahyarhamah ini, tapi itu satu ingatan bahawa pada usia sebegini, kita yang jadi penumpang di dunia ni, kena ingat bahawa masa nya akan tiba jua...


Member yang inform tu pun sedang berhadapan dengan pneumonia, paru-paru collapse dan doktor tengah memantau kidney dia juga. Sekarang, kerap benar dia contact aku samada secara sms atau phone call. Mungkin kawan-kawan seasrama lebih senang di bawa berbincang..



ps


Buat Roslan Mat Noor, semuga cepat sembuh dan aktif semula macam dulu-dulu (walaupun tak 100%)... rajin2 makan ubat, aku akan terus contact dan contact....

Memoir-AkhirNya Ke Lana (Bhg 11)

Di asrama, tempat menghilangkan gian merokok ada banyak. Tempat-tempat yang gelap dan strategik jadi pilhan. Ada juga merokok dalam bilik. Tapi ini ada risiko sikit kecuali ramai teman sebilik kaki merokok dan yang tak merokok pulak sporting habis. Tapi kalau bilik dekat dengan bilik warden atau dekat dengan tangga, jangan cari penyakit. Selalunya kalau merokok dalam bilik, ada pulak penjaga pintu. Bergilir-gilir. Yang best nya, merokok pun boleh berkongsi. Sebatang rokok kadang-kadang dikongsi sampai tiga empat orang.

Tempat paling stategik dan selamat ialah kat tangki air di atas siling, di tingkat paling atas. Sejuk sebab bersandar pada tangki air besi yang besar tu. Nyamuk banyak juga tapi thrill punya pasal tak kisah. Ada satu operasi mencuci kawasan tangki air, dia orang dapat beberapa tin minyak tanah (kosong) puntung rokok dari atas tangki tu. Mungkin collection untuk sekian lama.

Pada satu malam, sekitar jam sepuluh malam, warden ronda-ronda dan dapat tangkap pelajar tengah merokok.... mungkin dapat info dari mana-mana kut. Dapat pulak rampasan rokok yang agak banyak. Malam tu jugak bunyi loceng drill...semua penghuni asrama kena turun dan beratur depan laman yang terletak di tengah-tengah blok asrama. Apa lagi, warden pun lecture habis. Budak yang kena tangkap di arahkan berdiri dekat warden. Warden ni berdiri sambil bagi lecture di tingkat satu blok asrama...jadi semua orang boleh tengah dan dengar ceramah nya. Nak jadikan cerita, warden ni pun baling le rokok yang di rampas ke bawah. Tengah marah kan! Budak-budak semua diam. Tak ada yang berani cakap. Warden
tengah hot!. Bersurai saja, ada lah kutu yang intai cari rokok yang di baling warden tadi. Ada jugak yang dapat. Jadi stok baru le!

Tapi sebenarnya rokok boleh merapatkan ikatan persahabatan ... antara perokok-perokok tak kira dari batch mana atau kelas mana. Rokok boleh jadi kawan dan rokok juga boleh bawa lawan. Sebenar nya jangan merokok, itu lebih baik... buang duit saja.. harap harap budak sekarang tak buat kerja merokok di asrama ni.

Dekat dengan periksa MCE, ramai yang jadi kaki study. Junior bising sikit memang kena marah. Kadang-kadang bergaduh juga terutama dengan form four yang tengah mengalami zaman honey moon. Yang tak pernah ke library pun sibuk ke library cari rujukan tambahan. Kat library pulak ramai mat dan minah yang terror-terror dok studi. Jadi dia orang ni lah yang jadi macam tutor. Selalunya dia pun tak kisah dan sanggup membantu, jadi tanya. Mungkin dia orang pun mudah ingat dan sama-sama belajar dengan cara ni. Macam group discussion.

Subjek macam matematik tambahan kena buat latihan selalu.Cikgu selalunya bagi latihan tambahan dan kemudian nya berbincang dalam kelas untuk mencari jawapan. Lengkap dengan jalan-jalan penggiraan. Kalau rajin dan tekun, boleh dapat ingat. Biasanya subjek macam matematik tambahan ni yang jadi ramai tension.

Aku bab studi ni, tak macam orang lain. Orang lain sibuk pergi library, buat nota. Kat hostel pulak, baca kat study room. Aku lepas prep lepak kat tv room @ common room. Tengok tv dulu. Bila dah habis, balik bilik tidor. Pagi esok, awal-awal bangun, pinjam nota kawan dan mula buat nota sendiri. Tapi, buat nota ni bukan apa... spot question. Itu saja yang aku pulan, mula study last minute sebelum masuk dewan peperiksaan.

Bila hari peperiksaan, budak-budak dari tingkatan lain dah balik bercuti, tinggal lah budak tingkatan lima sahaja. Jumlah student dah jadi sedikit, makan kat dewan makan pun rasa lebih sedap. Kelas tambahan dan ulangkaji setiap hari memang ada sehingga lah hari peperiksaan. Kadang-kadang masa rehat antara satu paper dengan paper yang lain pun digunakan sebagai sessi last minute study. Ada lah perbincangan secara kumpulan terutama soalan-soalan yang dijangka keluar. Heran jugak, waktu dulu tak ada pulak soalan bocor!. Aku memang kaki last minute dan spot soalan jer.

Budak-budak tingkatan lima ni, waktu dekat peperiksaan atau pun semasa musim peperiksaan, macam-macam perangai keluar. Ada kawan yang bawa basikal ke sekolah... Jalil namanya.... bukan Jalil Hamid tau. Cikgu pun tak perasan sangat sebab cikgu lain dah bercuti dan warden pun tak lah ronda sangat. Bawa pulak tu basikal tua...ala-ala basikal tua aruah Sudirman. Waktu pergi dewan periksa siap kayuh basikal. Bukannya jauh tapi mungkin cara nak hilangkan nervous dan tension. Malam siap simpan basikal tua tu dalam bilik. Siap usung naik tangga!. Ramai pulak kawan-kawan yang petang-petang kayuh basikal ambil angin keliling asrama. Seronok pulak rasa masa tu. Bestnya kat asrama ni, pergi ambik ezam tak payah kelam kabut.

Studi masa musim peperiksaan ni ada macam-macam jenis. Ada yang suka ke library, ada yang setakat kat bilik darjah saja dengan grup masing-masing. Ada yang suka studi sampai tengah malam, ada yang tidur awal dan bangun awal pagi dan ada juga yang buat nota kecik dan lepas tu awal-awal ke dewan peperiksaan dan buat last minute study. Mula lah lepak kat tepi longkang kawasan dewan. Selalunya untuk subjek jenis kena baca dan ingat , macam geografi, ugama dan biology. Subjek jenis kira-kira atau ada formula yang kena ingat, nota kecik ni penuh dengan formula...kadang-kadang naik confuse.

Guru yang jaga periksa semuanya guru dari sekolah luar. Ada pulak budak-budak yang buat perangai masuk dewan periksa pakai selipar jepun dan baju tak masuk ke dalam. Lama-lama ketua pengawas periksan pun report kat guru besar...dan last sekali keluar circular...sesiapa yang tak ikut peraturan tak di benarkan masuk dewan peperiksaan. Keadaan pun balik normal.

Sunday, July 26, 2009

Jumpa kawan Lama - Bon

baru-baru ni aku balik ke Perlis, mak aku jatuh sakit. Jadi kena lah balik dan tengok keadaan dia. Tak lah serius, cuma batuk-batuk dan penat. Bila dah penat, nafas naik sesak dan terpaksa guna inhaler.

Petang Khamis tu, aku terpaksa bawa mak aku ke bahagian kecemasan hospital Kangar sebab mak aku naik pucat dan nafas dia tercungap-cungap. Jadi dia kena rawatan di bahagian tu, masukkan oxygen selama hampir setengah jam dan keadaan jadi pulih semula.

Di hospital Kangar, teringat aku akan seorang kawan lama, sekelas, yang bekerja di situ. Nama dia Syed Amir atau lebih dikenali sebagai Bon. Dia memang kerja kat hospital Kangar. memang member lama dan lama juga tak jumpa. Bon masih macam dulu, badan masih ok dan muka tak banyak berubah. Cara dan interaksi kami masih macam dulu.... teringat betul zaman sekolah dulu.

Aku juga ada bawa mak aku ke Polyclinic Chong. Dr Chong Chong Fook ini sebenar nya rakan sekolah. Dia tak ingat aku dan aku pun saja tengok reaksi dia. Sampai kesudah dia tak ingat aku. Aku biarkan saja. Tapi, Dr Chong yang aku kenal, sebenarnya masih macam dulu... ada gabra dan kelam kabut sikit...

Member-member lain aku tak sempat jumpa, masa terhad sebab aku kena hantar mak aku ke Rawang , Selangor... rumah kakak aku... kakak aku nak jaga mak aku sampai dia betul-betul baik.

Friday, July 17, 2009

Memoir - AkhirNya ke Lana (Bhg 10)

Pergaulan tidak pernah memilih kaum. Semua jenis permainan melibatkan semua kaum, asalkan pandai dan terpilih menyertai pasukan sekolah. Permainan bola keranjang yang selalunya melibatkan kaum cina, tetapi di sini, semua kaum ada samada cina, melayu dan india. Kawan aku si Hasnol, memang pandai main bola keranjang. Heran jugak sebab selalunya tak ramai yang berminat permainan ni. Dalam pasukan sekolah kami ada seorang pelajar berbangsa cina yang juga pandai dan menjadi tulang belakang pertahanan pasukan. Hasnol dan Tan (pelajar berbangsa cina tadi) adalah kawan baik malahan mereka adalah dari sekolah rendah yang sama.

Pada satu hari, entah apa sebab nya, Hasnol dan Tan ada sedikit perselisihan faham. Adalah pergaduhan sikit. Mulanya dengan pertengkaran mulut tapi perkara ini menjadi semakin hangat. Aku, selalunya menjadi orang harapan dalam menghadapi masaalah ini. Aku pun dimaklumkan mengenai perkara ini dan terus bergegas ke bilik di mana pertengkaran yang hangat itu masih berlarutan. Masa aku sampai, aku cuba tenangkan keadaan. Hasnol pulak cuba mengapi-api si Tan, lalu hal ini menjadi pergaduhan fizikal. Hasnol terkena tumbukan dekat mata, tak lah kuat sangat tapi lebam jugak bahagian mata di atas kening.

Tan ni tinggi dan berbadan sasa. Nak jadikan cerita, Tan ni ada karate red belt. Aku pun takut jugak kalau nak masuk tak tentu pasal. Dalam dok berbincang, Hasnol angkat kerusi dan dihentaknya ke arah Tan. Tan dapat mengelak dan patah kerusi kayu tu di tempisnya.

Aku pun buntu. Kawan-kawan lain yang turut serta pun buntu. Tak sanggup pulak kami nak menentang si Tan dan tak sanggup jugak kami kecewakan si Hasnol. Aku dapat satu idea. Hasnol tak akan bermain bola keranjang untuk pasukan sekolah selagi Tan tak minta maaf dan berbaik semula dengan nya. Boikot! Hasnol juga benggang sebab matanya yang lebam. Hasnol terpaksa memakai cermin mata gelap beberapa hari untuk melindungi mata yang lebam tu. Hasnol ni pulak ada marka. Marka tu girl friend atau cewek atau teman wanita. Tapi Hasnol ni memang handsome pun, budak pun baik.


Member satu pasukan yang rapat dengan Hasnol pun turut memboikot pasukan bola keranjang. Hasnol ni memang penyerang yang handal dan sekolah nak buat persediaan untuk perlawanan antara sekolah-sekolah berasrama penuh. Masa latihan pasukan, ramai yang menyokong Hasnol tak turun berlatih. Juru latih pun tertanya-tanya. Akhirnya terbongkar rahsia. Si Tan jadi serba salah tapi akhirnya dia berjumpa Hasnol dan meminta maaf dan mengajak Hasnol menyertai semula pasukan bola keranjang. Hasnol yang sememang nya minat dengan bola keranjang pun berlembut. Pertandingan dah dekat, kemungkinan menjadi johan agak cerah. Hasnol pulak dah sebati dengan bola keranjang. Lepas perkara ini selesai, semua orang sudah boleh tersenyum lebar. Kami pun senang hati jugak sebab kedua-duanya kawan baik kami jugak dan kami tak mahu perkara ini menjadi isu perkauman. Hasnol dan Tan menjadi semakin rapat.

Tingkatan empat adalah honey moon year. Budak-budak memang relaks habis. Belajar tu belajar jugak tapi banyak masa di habiskan dengan aktiviti-aktiviti dengan kawan-kawan. Kadang-kadang terpengaruh juga dengan aktiviti yang kurang baik. Hidup di asrama memang agak terkongkong tapi pelajar selalunya mencari satu jalan keluar. Selalu nya dengan kawan-kawan.

Permainan video game adalah satu kegmaran ramai tapi hanya dapat di nikmati semasa cuti mingguan. Itu pun kalau dapat keluar ke bandar dan ada wang lebih. Apabila dah ramai, ada pulak syor keluar ke bandar untuk main video game atau aktiviti lain. Selalunya main pinball. Akhirnya syor tersebut menjadi kenyataan. Pelajar akan keluar pada malam hari, selalunya dengan berjalan kaki. Jalan short cut banyak. Cuma nak sampai ke jalan tu, kena lalu jalan besar dulu. lalu ikut batas bendang tu kira biasa lah. Bila ada kereta datang, budak-budak ini pun menukar arah, jadi kalau kereta cikgu, cikgu yang memandu tak lah perasan sangat pelajar terbabit. Ada masa tak sempat, ada yang terjun sembunyi dalam semak. Jam sebelas malam baru balik. Waktu kelas prep malam, kalau di cari, member lain akan cakap, pelajar terbabit ke perpustakaan. Waktu balik pun berjalan kaki dan panjat pagar. Pak guard memang tak tahu sebab masa tu dia orang samada dah tidor atau tengah sedap lepak. Kalau tahu pun, dia orang tak mahu ambil kisah sangat. Menyusahkan sebab kena panggil dan ketuk bilik warden. Buat leceh!


Kadang-kadang bila keluar malam, ada pulak kawan-kawan pesan beli barang...barang makan dan jajan. Jajan ni kira makanan ringan. Selalunya kalau benda makan, roti canai yang paling famous. Tapi bila makan, roti canai ni selalunya dah sejuk. Tapi sedap jugak bila jarang-jarang dapat makan. Beli benda makan atau apa-apa barang selalunya ada komisen. Tak lah mahal sangat. Sekadar upah.

Ada juga kawan yang ambil risiko belikan rokok untuk kaki merokok. Komisen nya tinggi sikit sebab risikonya tinggi. Selalunya yang tukang beli tu pun perokok, jadi komisen nya samada rokok dua batang bagi setiap sepuluh batang atau harga rokok yang dibelikan dikira harga genap...rounded figure. Misalnya kalau rokok tu sebungkus satu ringgit enam puuh sen, harga di jual atau kena di bayar ialah dua ringgit. Kalau kena tangkap sebab beli dan seludup rokok masuk kawasan sekolah,, dua kesalahan...satu, sebab keluar malam tanpa kebenaran...kira macam curi-curi keluar dan nombor dua kesalahan membeli dan membekalkan rokok. Ini yang serius. Boleh kena buang sekolah. Takat ni belum ada yang kena. Tapi dengar cerita, zaman selepas tu, ada yang lebih serius sampai ada yang tertangkap dek polis dekat pintu masuk sekolah...hari keluar mingguan...bawa masuk ganja. Teruk betul budak-budak batch selepas tu. Nak tunjuk terror tak kena tempat. Hukuman berat tu...kira dah jenayah. Bodoh!

Merokok zaman sekolah nampaknya jadi trend untuk tunjuk terror dan macho terutama bagi budak lelaki. Lagi pun sebab ada semangat setiakawan... jadi ikutan saja. Cikgu pulak kalau nak tangkap, mesti red-handed atau tangkap semasa kesalahan tu dibuat. Kalau takat ada asap rokok, tak jadi kes. Undang-undang ni macam dah jadi satu kes mahkamah. Kalau tak cukup bukti boleh buang kes.

Waktu pemeriksaan mingguan atau spot check, sesiapa yang kena tangkap simpan rokok memang tak dapat keluar ke bandar. Lepas tu kena pulak tahanan macam tahanan dalam rumah. Hari Isnin..siap! waktu perhimpunan mingguan, nama pun naik. Kalau jumlah rampasan besar, mau kena public caning. Tapi budak-budak tak serik. Ini semua sebab pengaruh kawan-kawan dan cari cheap thrill. Kebanyakkan yang merokok, katanya merokok secara sembunyi-sembunyi ni thrilling, sebab tu bila dah kerja, dah ada duit sendiri, dah ada permit merokok, merokok tu dah tak thrill, setakat dah jadi amalan biasa...ketagih tembakau.

Ada kawan-kawan yang secara berseloroh menyatakan “ aku hisap rokok ni sebenarnya membantu ekonomi negara, membantu penanam tembakau....negara dapat cukai dari hasil tembakau, petani dapat tanam dan jual tembakau, Lembaga Tembakau Negara tetap ujud, pengilang dan pengedar dapat beri kerja kepada rakyat, persatuan bola sepak dapat penaja, televisyen dapat bayaran dari iklan dan peminat bola sepak dapat tengok perlawanan bola sepak secara live dan free. Boleh kata semua kedai kopi dan restauran ada jual rokok. Orang yang kerja malam ada teman untuk menghalau nyamuk dan hilangkan boring. Bangga nya aku berbakti kepada negara”.

Wednesday, July 15, 2009

Memoir - AkhirNya Ke Lana (Bhg 9)

Satu hari, masakan di dewan makan agak istimewa. Masakan daging lembu amat sedap rasanya. Semua orang tertanya tanya. Akhirnya, cerita di sebalik kesedapan masakan di ketahui jua. Jawapan nya ada tukang masak baru. Dengar cerita bekas tukang masak mess pegawai tentera. Masakan kari siap dengan kerisik. Sedap! Ada juga menu baru seperti sup daging pada bulan puasa. Memang terasa kesedapan setiap masakan. Tapi perkara ini hanya seketika apabila tukang masak yang lain mula merungut tentang banyak kerja tambahan dan juga sikap sesama sendiri yang suka dengki dan kianat. Para pelajar juga yang terkena kesan nya. Tak lupa juga seorang tukang masak bergaya ala “John Travolta”.

Bulan puasa cukup klasik. Makan “sok” atau sahur dalam pukul 3 pagi. Mula-mula rajin ler, lepas tu malas nak bangun. Bukan apa, nak tukar baju, nak basuh muka. Ada yang pergi makan sahur, muka semacam. Tahi mata pun masih ada. Makan waktu sahur ni bukan nya best sangat. Kadang-kadang kalau lambat, semua dah sejuk. Mood nak makan pun tak ada.

Buka puasa, biasalah... kadang-kadang seronok jugak. Ada jugak kuih. Tak ingat pulak, dulu ada tak sembahyang tarawih, sebab sekolah waktu tu tak ada masjid. Puasa kat sekolah ni kadang-kadang mula-mula saja, lepas tu mula mengelat, ada yang puasa setengah hari. Buka puasa tentunya dengan maggi, masak senang jer, janji ada “water boiler”. Siap kongsi lagi , maggie satu mangkuk, macam dalam iklan maggie tu. Maggie waktu tu murah lagi... tak macam sekarang, lagipun tak banyak brand mee segera waktu tu. Yang aku ingat selain maggie , ada brand cintan. Sekarang ni (la ni), macam-macam sampai ada mee sedaap dan bab perasa tak payah nak cakap. Dulu, makan mee segera kosong ... ada air panas, tuang dalam mangkuk , makan ... cukup menjilat jari.


Sekolah berasrama penuh padat dengan aktiviti ko-kurikulum, aktiviti sukan dan pasukan seragam. Macam-macam aktiviti diadakan begitu juga kelab-kelab baru yang muncul. Antara kelab yang wujud ialah kelab catur, kelab In-door game, kelab matematik, kelab pertanian dan kelab seni dan drama.

Penubuhan kelab agak senang. Pelajar yang perlu mencari bakal ahli yang berminat, buat kertas cadangan dan dapatkan guru penasihat yang sudi. Pihak sekolah, jika penubuhan nya di luluskan akan memberikan sendikit bantuan kewangan untuk membeli peralatan yang perlu bagi kelab-kelab berkenaan. Contoh nya kelab in-door game memerlukan wang pembiayaan untuk membeli permainan seperti dart board set, scrabble, monopoly dan macam-macam lagi. Tak lama juga aktif nya, benda-benda banyak yang jadi rosak, mula-mula berebut, lepas tu....sunyi. kadang-kadang siap gaduh waktu main monopoly...

Kelab pertanian dapat kawasan bertani di dalam kawasan sekolah. Tanaman nya ialah sayur-sayuran dan hasilnya dijual kepada guru dan kakitangan sekolah. Kelab seni dan drama selalunya sibuk dengan pertandingan menyanyi. Aku tak tahu ler samada ada memang wujud atau cakap-cakap saja. Cuma aku ada ingat, talent time... masing-masing tunjuk bakat. Ada member namanya Cek Khalid, itu kira pandai nyanyi lagu hindustan... tapi yang bestnya member kami si Tojo, masuk jugak... lupa lagu apa dia nyanyi , tapi ... kalau ada pengkritik, memang masak kena kritik.

Ada juga kelab berpakaian seragam seperti pengakap, red cross society ( sekarang dah jadi persatuan bulan sabit merah), pandu puteri dan lain-lain. Ada juga kelab seperti kelab Tae Kwan Do dan kelab Silat.

Ahli kelab Tae Kwan Do selalunya agak action dan selalu tunjuk terror. Satu hari ada juga kawan yang benggang dengan satu orang ahli kelab Tae Kwan Do, yang bising-bising dalam bilik buat latihan. Member yang tengah tidor naik marah lalu di terajangnya budak Tae Kwan Do ni. Melayang jugak. Yang lawaknya siap terkentut. Lepas tu aman dan sunyi suasana.

Kelab masing-masing , bila bulan puasa nak mari, sibuk cari duit buat kad ucapan hari raya. Modal tak banyak, janji ada yang sanggup keluarkan modal dulu. Design tak penting. Aku ingat, kelab catur, pengerusi waktu tu kawan sekelas, nama nya Azahar Malek, kami pun sibuk buat kad hari raya jugak. Nak tahu.... aku yang design. Tak lah lawa sangat... boleh lah untung sikit.