Thursday, September 3, 2009

Cik Gu Lan Noor - Jejaka Terakhir Malim Nawar

Harap-harap member baik aku ni, pernah satu sekolah, duduk satu bilik lepas tu sama-sama belajar kat ITM.
Member ni banyak nama samaran atau nickname yang orang bagi...

Apa-apa hal pun, Lan ... relax dan banyak bertenang. Kerja dengan manusia ni memang susah... pikiarq banyak2 buat pening kepala ... ingat pesan Nabil ... Lu Pikiarq La Sendiri... kah- kah kah

Selamat menjenguk blog aku ni... itu pun kalu hang singgah.

Memoir - AkhirNya Ke Lana (Bhg 18)

AKU DAN SEKOLAH DI PERANTAUAN

Jadi pengawas adalah pengalaman baru bagi aku. Hebatnya budak-budak di sini cukup hormat dengan abang-abang dan kakak-kakak senior. Asal berselisih saja mesti bagi salam. Displin tak lah ketat sangat atau pun tak lah longgar sangat. Cukup dengan keadaan. Tak pulak ada masalah besar. Aku sendiri pun jarang jumpa pengetua sekolah.

Di sini berkumpullah para pelajar dari semua sekolah-sekolah berasrama penuh yang lain dalam tingkatan enam, khususnya. Ada dari sains Kedah dan sebagainya. Jadi bermacam perangai dan cara kami dapat. Kami kira dapat berkawan baik. Pernah juga kami beramai-ramai keluar malam, berjalan kaki, menaiki bas untuk tengok konsert di KL pada waktu malam. Yang best nya jumpa pulak dengan pelajar-pelajar tempat lain dan jadi member. Macam berpakat baik pulak. Selalunya tengok konsert free kat panggung anniversary.

Pada hari minggu, para pelajar boleh keluar tertakluk lah kepada syarat-syarat pihak sekolah. Pada pelajar yang tinggal berdekatan atau dalam negeri Selangor, ada emak ayah yang datang pada hari Sabtu dan ambil anak masing-masing untuk balik bermalam. Macam aku dan kawan-kawan yang merantau ni, kami selalunya keluar pada hari ahad. Pakai uniform sekolah. Sebelum keluar, ada pemeriksaan bilik. Bilik, katil mestilah kemas dan bersih...baru dapat green light untuk keluar.

Aku kadang-kadang sahaja keluar, tertakluk kepada kewangan semasa. Biasiswa yang dapat pun tak banyak dan proses pengeluaran pulak leceh. Tapi kalau ada duit dalam lima ringgit dah cukup untuk ke KL. Tambang bas bagi budak sekolah hanya sembilan puluh sen untuk perjalanan pergi dan balik. Makan burger baru seringgit. Tengok wayang kat pangung REX baru seringgit. Baru habis dua ringgit sembilan puluh sen. Kadang-kadang aku dengan kawan-kawan berjalan kaki sampai ke kawasan Chow Kit atau ke Bukit Bintang. Lepak-lepak kat Pertama Complex atau sekadar window shopping kat Bukit Bintang dan Sungai Wang. Waktu tu, tak kisah sangat sebab jalan pun ramai-ramai, dengan kawan-kawan. Kalau sekarang mesti tak sanggup...pertama
kereta dan orang terlalu banyak dan letih berjalan dalam keadaan yang panas dan berabuk seperti sekarang. Kawan baik aku waktu tu, seorang berbangsa India dari Sekolah Sains Kedah, namanya Chandra Raj. Dia ni memang seangkatan dengan aku, kaki pokai, merokok dan kaki relax.

Makan tengahari, kalau sempat atau lapar sangat ialah di kawasan masjid India berdekatan dengan Wisma Yakin. Selalu nya kat gerai mamak tepi longkang di bawah flat Selangor Mansion. Ramai jugak orang makan kat situ. Murah dan banyak pilihan. Sedap semacam aje...walaupun duduk tepi longkang. Sekarang ni mesti tak sanggup sebab longkang kini berbau terlalu busuk. Aku tengok, ramai juga yang berpakaian kemas siap dengan tali leher sama-sama lepak makan kat situ. Heran betul, tepi longkang tu bukan tak ada bau, kadang-kadang nampak jugak tikus sebesar anak kucing, makan tetap sedap. teh tarik tak famous lagi tapi teh gelas tetap jadi idaman, ada peluang lepak lama.

Roti canai dengan kuah kari memang jadi pilihan... bukan mahal sangat. Teh gelas dalam 40 sen, roti canai dalam 50 sen (kuah kari tanpa isi).... baru 90 sen, sekarang roti kosong dah satu ringgit paling murah , teh tarik sekarang RM1.50 - RM1.70. Burger selalunya dalam RM1.00 sebiji , itu kira spesial, kalu biasa , setakat roti dengan isi burger saiz ekonomi tu, dapat lah dalam 80 sen. Takat ada sos tapi tak adalah timun ke atau bawang ke ....

Wednesday, September 2, 2009

Memoir - AkhirNya ke Lana (Bhg 17)

Tingkatan enam aliran sains ni susah, aku buat surat tukar aliran sastera, kementerian tak layan pun! Bila ramai dah dapat offer belajar tempat lain, aku tinggal sorang-sorang. Budak-budak dalam kelas aku ni tak kamceng sangat. Budak-budak asal SMSS pulak action semacam. Aku tak kisah.

Kelas aku yang tinggal enam orang ini terdiri daripada satu berbangsa India, dua berbangsa cina dan tiga berbangsa melayu. Yang melayu ni berasal dari kedah dan Sabah. Kelas memang sunyi. Semua kaki studi. Tingkatan enam sains memang susah. Cikgu pulak banyak , satu subjek sampai tiga orang...macam biology ada cikgu khusus untuk mengajar dalam kelas dan satu lagi untuk kerja-kerja makmal. Chemistry kami ada tiga cikgu...satu untuk organic chemistry , satu untuk inorganic chemistry dan satu untuk makmal. Matematik satu, general paper satu, matematik satu, fizik dua dan pendidikan agama islam. Guru kelas aku bernama Cikgu Wong dan dia mengajar matematik. Susah......

Waktu ni menyesal betul sebab tak minta mana-mana tempat lain untuk belajar. Dalam diam-diam aku mohon masuk maktab perguruan dan ITM. Aku waktu tu pulak dilantik menjadi pengawas sekolah dan juga setiausaha persatuan pelajar islam. Amboi...sebelum ni tak pernah pun seumur hidup jadi pengawas. Pelajar tingkatan enam duduk di satu blok khas untuk tingkatan enam sahaja. Pelajar tingkatan enam berasal dari seluruh pelusuk Malaysia termasuklah dari Sabah dan Sarawak. Kami di tingkatan enam ni ada banyak keistimewaan yang cikgu berikan. Boleh jugak keluar waktu petang pada hari-hari tertentu ke kawasan berdekatan konon nya berjogging.

Kawasan sekolah kami ni semacam satu kompleks pendidikan...ada Sek. Men. Teknik sebagai jiran terdekat (malah berkongsi pagar sempadan), Sek. Men. Alam Shah, Sek. Mengah Cheras, Maktab Perguruan Ilmu Khas, Maktab Perguruan Teknik dan juga kampus mini Kolej Tuanku Abdul Rahman (KTAR). Berdekatan dengan kawasan ini juga ada satu perkampungan tersusun dinamakan kampung Kongo. Sekarang dah jadi Bandar Tun Abdul Razak dan kawasan ini dah banyak berubah.

Aku kerap jugak ke simpang kat Taman Midah tu... dulu ada barisan kedai...kedai kayu jer , tapi pekedainya semua orang Melayu. Aku suka makan apam balik kat situ...murah. Lagi pun ada marka lawa kat situ...takat tengok jer...tegur pun tak pernah.

SMS Selangor ni dekat dengan Maktab Perguruan Ilmu Khas dan maktab Perguruan Teknik... memang dekat. Macam aku ni, kadang-kadang lepak kat maktab tu... siapa pun tak tahu aku ni hanya budak sekolah tingkatan enam rendah. Sama saiz dan gaya rupa pun macam bakal-bakal guru tu. Maktab Perguruan Ilmu Khas ramai pelatih perempuan.

Kat maktab tu, hisap rokok kat kafetaria maktab tak siapa yang tahu. Lagi pun aku bukan pergi sorang.. kalau sorang..aku pergi lepak kat gerai makan kat simpang tadi... pekena apam balik kat situ... murah lagi sedap.

Memoir - AkhirNya ke Lana (Bhg 16)

RESULT DAH KELUAR!

Bila result MCE keluar, aku dan kawan-kawan satu negeri sibuk buat perancangan bila nak ambil keputusan. Plan nya nak pergi bersama-sama, boleh jumpa kawan-kawan yang lain. Sampai si sekolah, orang dah ramai. Mak ayah pun ramai. Kereta bersusun-susun. Kami naik bas saja dan masuk ke sekolah pun berjalan kaki. Suspen jugak waktu nak ambil result ni. Kena beratur juga, tunggu giliran.

Aku dapat pangkat dua saja tapi aggregate aku kira baik jugak. Aku rasa cukup bangga sebab dalam ramai-ramai kawan-kawan aku dapat keputusan yang amat baik untuk subjek Bahasa Malaysia...A1. Tak ingat pulak berapa “A” yang aku dapat. Cikgu yang ajar Bahasa Malaysia pun turut rasa bangga sebab dia tak sangka aku akan dapat result sebegitu.

Kawan-kawan aku semuanya lulus cuma gred dan aggregate yang tak sama. Ada dapat gred satu dengan aggegate yang cukup cemerlang. Ada peluang pergi luar negeri. Ramai kawan-kawan aku sebenarnya dah jadi target cikgu untuk sambung belajar di luar negeri...antaranya si Ali tu.

Sebenarnya dah ada kawan-kawan aku yang dah pun pergi belajar di luar negeri. Pemilihan di buat berdasarkan peperiksaan percubaan dulu. Semuanya dapat belajar matrikulasi atau Pra-U atau program persediaan khas di universiti di Australia.

Kami yang tinggal ni sibuk merancang apa yang nak di buat seterusnya. Sebelum balik, sempat lagi duduk melepak kat kedai di bandar dan bersembang-sembang sambil memikirkan apa nak dibuat. Ada yang sibuk nak minta borang universiti dan ITM. Tak kurang jugak yang nak cari kerja saja. Aku tak terfikir pun nak minta pergi mana-mana atau pun sibuk mencari borang permohonan. Aku Cuma tunggu dan lihat.

Beberapa minggu selepas keputusan keluar, aku dapat surat tawaran belajar di tingkatan enam di sekolah yang sama. Macam Pra-U. Ramai juga kawan-kawan aku yang dapat tawaran yang sama. Ini pertama kali sekolah kami ada tingkatan enam. Kami di kira sebagai pioneer.

Masuk tingkatan enam rendah, kami mula belajar subjek yang lebih mencabar. Tingkatan enam aliran sains memang susah. Ramai yang cakap begitu. Aku pun tak lah berharap sangat untuk terus dalam tingkatan enam. Waktu tu kelas-kelas matrikulasi universiti tempatan sedang giat tumbuh. Ada matrikulasi USM dan juga Asasi Sains di Universiti Malaya. Bezanya matrikulasi ni di buat di sekolah berasrama penuh biasa bagi tahun pertama dan hanya menyambung di universiti sebenar pada tahun kedua.

Sekolah kami pulak telah dipilih untuk menjalankan program matrikulasi USM. Kena buat permohonan jugak. Aku buat tak kisah. Kawan-kawan aku yang lain pun begitu jugak. Takkan lah pihak sekolah nak buang kami di tingkatan enam rendah ni begitu saja tanpa alternatif lain.

Akhirnya aku dan beberapa kawan aku dapat surat dari kementerian pelajaran. Kami di tukarkan ke sekolah berasrama lain bagi meneruskan pelajaran di tingkatan enam. Ramai jugak. Siap dapat tiket ke destinasi masing-masing. Cuma, ada yang kena masuk ke Maktab Melayu Kuala Kangsar, STAR di Ipoh, Sek. Menengah Sains Selangor dan Sek. Menengah Sains Johor. Paling ramai ke Maktab Melayu Kuala Kangsar dan SMS Selangor.

Aku ke SMS Selangor. Tak lah boring sangat sebab kawan baik masih bersama. Dapat pulak peluang pergi belajar di tempat orang, jauh dari keluarga. Waktu ini tawaran untuk masuk ke universiti, ITM atau ke luar negeri seperti USA dan UK belum keluar lagi.

Di SMS Selangor, aku masuk ke Lower Six Science One bersama-sama kawan yang lain. Seingat aku dari SMS Ps ada beberapa orang termasuk Ali Kong, Halim Hanapiah dan beberapa orang lagi. Kami pergi naik bas express malam dari Kangar ke Kuala Lumpur.



Masa berlalu dan kelas aku yang ada lebih daripada dua puluh orang akhirnya tinggal enam orang sahaja. Sebab nya, sorang demi sorang kawan-kawan sekelas dapat tawaran masuk universiti, ke ITM atau keluar negeri. Ada juga yang pergi ke Akademi laut Malaysia atau ALAM di Melaka.

Wednesday, August 19, 2009

Memoir - AkhirNya Ke Lana (Bhg 15)

Bina rumah di taman perumahan ni sebenarnya banyak tipu muslihat tertutama oleh sub-kontraktor. Selalunya untuk kerja-kerja kecilan seperti membuat longkang , mengikat bata dan lantai rumah. Selalu cari jalan nak jimatkan simen atau bahan binaan yang lain. Kayu-kayu kasau pun ada macam-macam. Yang dah reject pun ada terutama untuk bahagian atas rumah seperti bumbung. Sebabnya mana ada orang nampak, dah di tutup dengan siling nanti. Lantai rumah perlu ada foundation dengan crusher-run dimampatkan dan dibiarkan terdahulu untuk beberapa ketika supaya ianya settledown. Perlu ada besi BRC yang ditentukan spesifikasinya. Konkrit perlu tebal untuk tahan dan tidak retak. Benda-benda ini selalunya tak ikut spesifiasi. Bila ada visiting engineer atau project consultant barulah kerja di buat sebaik mungkin. Heran jugak, bila aku tinjau kawasan rumah yang kami sama-sama bina dulu, tiada pulak kesan keretakkan atau kecacatan ketara walaupun dengan kekurangan yang berlaku dan tidak menepati spesifikasi yang di tetapkan. Mungkin juga kualiti barang dan bahan binaan dulu lebih baik dan tahan. Sampai sekarang, tak ada pulak tuan punya rumah yang buat komplen. Rumah dan taman perumahan itu berdiri megah sehingga kini, sudah hampir dua puluh enam tahun! Kawan aku yang sama-sama kerja sambilan sebagai buruh kontrak di sana dulu pun ada beli rumah di situ dari pemilik asal. Dia pun tak komplen malah rasa seronok pulak sebab rumah yang dibeli dan diduduki nya sekarang adalah asalnya hasil titik peluh nya juga dahulu.


Kerja sambilan semasa menunggu keputusan peperiksaan adalah sekadar menghabiskan masa yang terluang dan mencari sedikit duit belanja. Duit gaji selalunya dibelanjakan untuk menonton wayang dan makan minum dengan kawan-kawan yang sememangnya turut juga bekerja sambilan di tempat lain. Kami berjumpa sekurang-kurangnya sekali seminggu di tempat yang sama. Selalu di gerai makan yang selesa tapi relaks. Di situlah kami membuat keputusan untuk bersama-sama pergi bercuti ke langkawi apabila masa keputusan peperiksaan sudah hampir tiba. Duit mungkin tak banyak di perlukan sebab kami bercadang nak buat secara budget travellers. Kami akan berkhemah di mana di rasakan sesuai dan memasak makanan sendiri. Semua secara ringkas dan ala kadar sahaja.

Mula-mula, kumpulan kami terdiri daripada enam orang. Tapi last minute tinggal dua orang... aku dengan Kamel saja. Bon tak jadi pergi, tapi janji nak join hari lain. Tak jumpa sampai ke sudah. Kami sepatutnya berjumpa di jeti Kuala Perlis tapi kawan yang lain tak dapat pergi atas bermacam sebab termasuklah kerja yang belum dihabiskan lagi. Nak tak nak terpaksa lah kami berdua yang pergi. Mood sudah tak syok lagi tapi sebab semua barang dah sedia termasuklah haversack yang baru dibeli dah sarat dengan barang serta khemah asas, kami pergi jugak.

Bila sampai di pekan Kuah, kami rehat sebentar sebelum berjalan kaki ke pantai berhampiran untuk mendirikan khemah dan bermalam. Malam tu kami hanya berdua tapi tak lah boring sangat sebab asyik dok bercerita, walaupun setakat dua orang. Langkawi waktu tu belum lagi bertaraf bebas cukai.Masyarakat nya cukup baik dan peramah. Pernah kami tinggalkan khemah dan barang-barang kami di tempat perkhemahan untuk pergi ke kedai terdekat untuk membeli barang keperluan. Bila balik, tak ada apa-apa barang pun yang hilang. Yang bagusnya, ada juga orang kampung berhampiran yang jenguk ke khemah kami bertanyakan kabar dan duduk bersembang. Memang masyarakat Langkawi waktu tu memang pure, tak terusik dek pembangunan yang melampau nilai-nilai masyarakat timur.


Kebetulan ada satu bot peronda polis marin berlabuh berhampiran dengan tempat kami berkhemah. Ada seorang pegawai polis marin yang turun mendarat dengan khemah kami. Dia mungkin nak ke kedai beli barangan keperluan peribadi. Sempat pulak duduk bersembang dengan kami. Last-last pegawai ni yang berbangsa India offer nak berikan kami ration makanan polis yang ada dalam stok dia orang.Mungkin dah boring makan barangan ration dan mungkin jugak dah berlebihan. Petang tu, ada lah orang dia yang datang dan serahkan barangan tu. Makan lah kami dengan makanan ration dalam tin. Sedap jugak terutama biskut nya yang lemak manis. Benda import! Memang baik-baik rakyat Malaysia ketika itu terutama orang Langkawi yang sentiasa peramah dan baik budi bahasa. Sentiasa sudi membantu.

Beberapa tahun selepas itu aku ada jugak ke Langkawi, waktu tu Langkawi dah bertaraf Pulau Bebas Cukai. Masyarakat Langkawi dah berubah. Dah banyak berkira. Tak tahu lah, mungkin yang ramai tu orang luar yang mencari rezeki di Langkawi. Semua benda dah ada harga. Tanah penduduk tempatan Langkawi pun banyak dah bertukar hak milik. Harga tanah pun agak mahal dan ramai yang jadi orang kaya baru kerana jual tanah. Akhirnya penduduk asal Langkawi banyak yang dah tak bertanah dan tinggal di kawasan taman perumahan. Kawasan kampung mungkin masih kekal dengan tradisi lama tapi ini pun dah mula berubah. Anak muda dah banyak terdedah dengan dunia barat. Di kedai-kedai bebas cukai, barang yang banyak di lihat di jual ialah bermacam jenis arak dan rokok. Barang kraf tangan pulak banyak dari Thailand. Kain batik pulak dari Indonesia.

Dulu waktu Langkawi belum bertaraf bebas cukai, penduduk masih dengan tradisi ketimuran yang lemah lembut den penuh budi bahasa tapi semua sudah berubah. Dulu bila kami berjalan di tepi pantai, berhampiran rumah nelayan, kadang-kadang kami di tegur sapa dengan ramah oleh penghuninya. Kalau kami terlebih peramah, pernah juga kami dia jemput makan atau sekadar minum kopi Langkawi buatan kampung yang kaw-kaw.

Perniagaan di Langkawi banyak diterajui atau dikuasi oleh orang luar. Tapi orang Langkawi masih terasa tempiasnya melalui peluang pekerjaan walaupun setakat kerani bawahan. Kereta dah semakin banyak. Kemalangan jalan raya dah jadi perkara biasa tak seperti dulu di mana jarang benar ada kes kemalangan jalan raya di lapurkan di balai polis. Kes curi dan samun pun dah meningkat. Pembangunan ada harganya!.

Tuesday, August 18, 2009

Memoir - AkhirNya Ke Lana (Bhg 14)

CUTI PANJANG, TUNGGU RESULT.

Cuti panjang sementara menunggu keputusan peperiksaan memang membosankan. Tak ada apa yang nak di buat. Cuti sementara tunggu keputusan peperiksaan hampir empat bulan. Macam-macam idea pun timbul. Kawan aku ajak kerja sambilan di sebuah syarikat pembinaan. Syarikat ini sedang membina satu taman perumahan. Kerja sebagai buruh kasar dengan gaji harian berjumlah tujuh ringgit sehari. Kerja dari jam tujuh pagi hingga tiga petang. Kalau buat kerja lebih masa, kerja tamat pada jam enam petang. Kawan yang sama-sama kerja dengan aku ialah Norhishamudin.. aku panggil “Di”. Adik Razali Majid pun kerja kat situ..

Kerja sebagai buruh sambilan di kawasan pembinaan memang agak berat. Mengangkat batu bata, membancuh simen dan mengangkut dan memindahkan kayu “T” cukup menyiksakan. Kayu “T” tu dari jenis yang tahan dan berat. Kena pulak penuh dengan sisa konkrit yang dah kering dan beku. Sakit rasanya bahu. Berbekas dan pedih terutama apabila mandi. Itu lah kerja yang aku buat untuk tempuh beberapa hari bekerja di situ.

Kumpulan kerja aku ada sasaran tertentu yang diberikan oleh pihak kontraktor. Kumpulan kami terdiri dari bangsa melayu dan cina. Kami bekerja bersama-sama macam sat keluarga. Susah senang bersama. Masing-masing ada tugas masing-masing. Ketua kumpulan kami bernama Ah Chai. Dia ni cukup simple. Dia cukup ambil berat tentang ahli dalam kumpulan hinggakan kalau kumpulan lain kacau mana-mana ahli dalam kumpulan kami, dia sanggup pergi berjumpa dengan orang berkenaan dan tegur. Kalau jadi gaduh pun Ah Chai tak kisah. Selalunya kumpulan akan terlibat secara keseluruhan jika mana-mana ahli dalam kumpulan di usik atau di kacau. Setidak-tidaknya bergaduh mulut.

Kalau dah tak larat sangat, aku dan kawan aku kerja separuh kong. Maknanya kerja separuh hari dan gaji pun separuh. Kulit muka dan badan aku yang terdedah pada matahari menjadi merah terbakar. Kulit bertambah gelap. Tadi badan terasa semasa sasa, keras dengan otot-otot terutama di bahagian lengan. Stamina bertambah. Aku dah lali dengan kerja berat dan kasar. Tapak tangan pun dah kasar.

Dapat gaji, aku dan kawan-kawan pergilah joli. Masa tu setakat makan-makan dan tengok wayang. Balik pun lewat sikit lagi pun ku tak tinggal dengan keluarga aku semasa bekerja sambilan ini. Gaji sebulan dapatlah dalam seratus lima puluh ke seratus lapan puluh ringgit. Ini termasuklah elaun kerja lebih masa. Masa tu, duit sebanyak itu dah kira cukup besar. Dapat juga aku serahkan sebahagian gaji pertama aku ke emak. Emak berat nak terima. Dia sedih juga dengan keadaan aku yang bertambah gelap dan jarang balik ke rumah.

Duit gaji tak banyak yang aku belanjakan.Makan dan minum kadang-kadang masak sendiri tapi selalunya mak aku atau mak kawan aku hantarkan lauk pauk. Makan memang cukup berselera. Mungkin sebab kerja yang di buat memerlukan kami makan lebih untuk tenaga. Aku dapat juga simpan duit. Ada juga rancanan nak bercuti di Langkawi. Kawan-kawan lain yang bekerja di tempat lain pun dah buat planning untuk pergi bercuti selepas cukup duit simpanan. Bercuti secara budget. Dengan kawan-kawan yang sama bersekolah. Tentu banyak cerita terutama tentang kerja yang di buat. Ada yang kerja macam atendan lori, tolong buat kerja di gerai makanan milik keluarga atau jadi kuli kontrak macam aku ni.

Aku dan kawan-kawan rapat masih berhubungan terutama yang tinggal satu negeri dengan aku. Bandar kecil di sini tempat kami berjumpa terutama ketika baru dapat gaji. Aku dah mula rajin buat kerja lebih masa. Kerja lebih masa selalunya tak lah berat sangat. Selalunya buat longkang kecil guna cangkul. Kadang-kadang bila lori simen sampai, kami ambil upah angkat simen untuk di simpan dalam stor. Duit nya di bawa oleh tauke lori melalui pemandu lorinya. Ada jugak pemandu lori ni turunkan simen sendiri dengan atendan nya dan duit tu masuk poket sendiri. Angkat simen ini duit upah diberikan secara tunai. Tak banyak setakat lima puluh ringgit bagi lori treler yang diisikan dengan 20 tan simen. Tapi tauke kami selalunya bagi kami air minuman sejuk yang dibungkus sebagai insentif tambahan terutama apabila lori tiba waktu lewat petang. Kerja ramai-ramai sampai sepuluh orang dapat lah seorang lima ringgit tapi kalau ada tiga atau empat lori, upah dah kira lumayan. Kami bagi sama rata tak kira siapa yang angkat lebih atau kurang. Sekejap siap sebab ramai dan ada pakatan yang baik. Aku selalunya kerja atas lori dan hulurkan simen kepada kawan di bawah. Lori selalunya diletakkan dekat stor jadi senang juga member nak angkat tapi yang lecehnya ialah nak menyusun dengan baik supaya tak jatuh. Ada teknik juga kerja menyusun simen ni supaya ianya nampak rapi, tersusun, tak jatuh dan menjimatkan ruang. Bila balik rumah selalunya terasa perit bahu sebab kesan dari simen yang melekat. Katanya simen ni panas.

Kerja di tapak pembinaan seperti ni tidak ada sebarang faedah yang diberikan oleh tauke terutama pada kmi yang kerja separuh masa dan sambilan. Mana ada SOCSO ataupun EPF. Rawatan perubatan pun tak ada Cuma kalau luka-luka tu tauke hantar jugak ke klinik dan dia tolong bayarkan. Kadang-kadang guna ubat yang ada di pejabat tapak.

Thursday, August 6, 2009

Memoir- AkhirNya ke Lana (Bhg 13)

Ada satu rahsia, gang kami sempat jugak “let go” atau tolak barang lebihan Dewan Makan kat kedai dekat situ. Maaf banyak-banyak, lagi pun waktu tu memang budak-budak lagi. Kira tolak borong... pak cik kedai tu ambik semacam jer. Tak tanya banyak. Lupa pulak berapa hasil kutipan tapi cukup untuk makan dan tentunya berasap.

Sebenarnya perpisahan macam ni memang menguji tahap keutuhan persahabatan. Bila nak mulakan perjalanan balik ke kampung masing-masing, kumpulan kami berpakat keluar bersama dan bila sampai di bandar, kami duduk bersembang sambil minum-minum di gerai berdekatan. Lama jugak. Terasa benar akan kemungkinan lambat atau terputus hubungan dengan kawan-kawan yang dah lama duduk sebumbung, susah senang bersama, ketawa dan bersedih bersama. Lima tahun tu satu tempuh masa yang lama. Dah kenal hati budi masing-masing. Dan kawan-kawan lah yang banyak menolong dan membantu. Kawan-kawan inilah yang banyak bagi semangat.

Tapi, apa-apa pun, aku memang sedih betul hari terakhir tu... tak lah nampak sangat, cuma dok terfikir bila nak jumpa pulak. Sebab utama ialah, sekolah tu setakat form five, kecuali lah kalau dapat masuk matrikulasi USM kat sekolah sama.

Cuma aku tertanya-tanya juga....ada ke marka atau cewek atau mana-mana student kat sekolah aku yang minat kat aku dulu.... ada ke tidak? Aku pun bukan perasan sangat!