Tuesday, July 14, 2009

Memoir - Akhir Nya Ke Lana (bHG 7)

AKU DAN SEKOLAH (DUA)

Form four time honey moon, masuk tingkatan lima mula gelabah. Cikgu pun waktu tu
pressure habis. Selalu le ada kelas tambahan, kerja rumah dan latihan tambahan. Cikgu nak jaga nama sekolah. Peratusan mesti kena maintain. Pening kepala.

Aku dan beberapa kawan rapat memang tension habis pasal add math....tak tahu lah kenapa susah sangat nak masuk. Teringat juga kata seorang kawan tu ..” sapa lah yang pandai-pandai reka buat add math ni...menyusahkan umat manusia” . Yang aku ingat cikgu Add math aku tu, tinggi...nama nya Cikgu Tang.

Selalunya budak-budak keturunan atau berbangsa cina terror bab-bab matematik ni tapi sebenar nya budak kaum lain seperti melayu pun ok jugak. Ali, Azahar, Pak Mat dan beberapa orang lagi, buat latihan add math macam makan kacang, kadang-kadang tu lagi terror dari cikgu. Cuma mungkin mentaliti budak melayu suka anggap matematik ni susah dan menyusahkan. Yang penting, mula dari awal dan lepas tu kena buat latihan banyak-banyak. Suruh cikgu periksa latihan yang kita buat. Kalau salah minta cikgu tunjukkan.... “buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan, saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan.” Sebenar nya malas nak fikir bukan susah, lepas tu bila buat latihan, asyik meniru, bila nak pandai. Dalam kelas senyap...duduk belakang-belakang.....

Subjek biology ramai yang suka, subjek chemistry lima puloh lima puloh.

Kami di tingkatan lima kira dah senior, tak ada lagi senior selepas tu. Eksyen lah sikit..
Pada suatu hari, bila ke dewan makan, makanan tiba-tiba tak cukup. Ramai budak tingkatan lima belum makan lagi. Lauk tinggal ala kadar saja. Kena pulak hari tu sepatutnya menu ayam. Kena pulak ayam dah habis. Budak-budak tingkatan lima pun mengamuk le ke steward. Steward cakap “kenapa datang lambat, dah habis nak buat macamana.” Kami pun jawab balik..” time makan belum habis lagi, kami pulak ramai yang belum makan, macamana pulak boleh habis atau tak cukup? Ini mesti kebas bawa balik”. “Jangan tuduh-tuduh macam tu...benda dah habis, kami masak apa yang ada saja” balas dia lagi. Steward ni perempuan, tapi bila dah jadi macam ni, peduli apa. Lapar beb!
Kami semua pakat boikot tak makan...tapi kami juga susun strategi. Nak jadikan cerita, ada lah staff tukang masak tu kawan kami. Dia pulak boring dengan si Steward tu, jadi kami gunakan dia punya informasi. Kami panggil dia “John Travolta” pasal dia suka pakai kasut “John Travolta” macam dalam cerita Saturday Night Fever atau Grease. Rambut pun dia sikat macam “John Travolta”...gaya jalan pun sama. Rambut pun asyik dok bersikat. Waktu tu “John Travolta” tengah top.

“Ayam tu banyak lagi, depa saja tak masak....ada yang bungkus bawa balik rumah.... ayam sorang seekoq dua”. Kami apa lagi, kena buat siasatan sendiri. Malam tu, kami hantar dua spy untuk check dewan makan. Orang dah balik kerja, lampu pun dah padam, kawan aku ni pun pecah masuk dalam dewan makan. Dalam setor dan peti sejuk, ayam banyak lagi. Apa spy kami buat ialah, bawa balik ayam, milo dan barang-barang yang lain termasuk lah susu. Hebuh semua...lepas tu pergilah team kedua bawa balik lagi stok.

Malam tu kami makan ayam panggang, bakar cara “bodoh”, bubuh garam dengan kunyit saja. Bakar dalam bilik guna kayu api. Kayu api sebenarnya kami gunakan laci kayu dalam locker. Kayu tu di belah guna screw driver. Bakar ramai-ramai. Pengawas ada juga yang tahu malah ada juga yang join. Heran betul, benda-benda macam ni sedap pulak.

Esok heboh satu dewan makan....steward mengamuk. Lantak....

Sakit mata.... ni penyakit bermusim. Tak tahu lah pasal apa sekolah kami kena “wabak” sakit mata. Ramai budak-budak kena sakit mata. Bila dah ramai sangat, sekolah buat satu bilik khas untuk kuarantin semua budak yang kena sakit mata. Tak payah lah hantar ke luar. Pejabat kesihatan pun ada datang buat pemeriksaan pemantauan. Tapi yang seronok nya, budak-budak yang kena sakit mata, kena kuarantin, tak payah pergi sekolah, makan pun di hantar sampai ke katil. Relaks habis.

Kami yang tak kena ni (heran juga pasal apa) pun cemburu juga....tak payah pergi sekolah, makan di hantar. Menu spesial! Pasang strategi....tenyeh mata sampai merah, jumpa matron. Matron pun malas nak check habis, jadi dia terus suruh kami masuk sick bay. Kena pulak dengan kawan-kawan, bila nampak matron mari, mula buat-buat sakit
mata...time dia ronda dah tahu....tenyeh mata ler... Dapat duduk kat sick bay dalam dua tiga hari. Ada member terus duduk lama sebab terjangkit. Padan muka!. Matron ni baik orang nya, kalau sakit memang dia lah orang yang boleh minta tolong. Makan pun guna menu istimewa.

Akan satu masa tu, kes penyakit taun di pekan terdekat dan ada budak sekolah ni yang terkena jangkitan. Sekolah larang semua pelajar keluar pada setiap hari minggu selama hampir dua bulan. Kecuali untuk balik rumah atau di ambil oleh keluarga sendiri, budak budak lain terpaksa duduk di asrama. Bila duit tak ada, pihak sekolah benarkan pihak kantin jual barang secara kredit. Waktu tu lah kami belajar buat hutang. Dulu jarang ke kantin, bila dah ada sistem kredit ( makan dulu, bayar kemudian), ramai lah yang buka akaun. Bayaran samada di bayar secara tunai bila ada duit (keluarga hantar) atau potong dari duit biasiswa kecil persekutuan. Biasiswa adalah dalam empat puloh lima ringit sebulan. Budak tingkatan rendah, biasiswa dalam dua puloh lima ringgit.

Hari Jumaat, pelajar beragama islam pergi sembahyang di sebuah masjid di kampung berhampiran. Sekolah belum ada masjid sendiri lagi. Lepas makan tengahari , kami semua beratur dan berjalan menuju ke masjid . Jarak masjid dari sekolah sekitar 2 km. Sampai ke masjid, badan berpeluh. Pakai pulak baju melayu warna putih. Di sana, ramai lepak dulu kat kedai berhampiran. Minum air atau beli makanan ringan. Untuk ambil air sembahyang, ramai yang memilih untuk ambil air sembahyang kat sungai berhampiran sebab tempat ambil air sembahyang di masjid agak terhad dan pelajar pulak ramai. Kat sungai lebih relaks sebab banyak tempat boleh ambil air sembahyang dan ada pokok yang agak teduh. Kalau tengokkan jumlah jamaah masjid untuk sembahyang jumaat, rasanya tujoh puloh peratus budak-budak sekolah berasrama kami.

Waktu balik sembahyang, agak bebas. Ramai yang bergegas balik sebab nak curi masa untuk rehat sebelum ke kelas petang. Sempat juga tidur seketika. Badan pun dah letih berjalan, jadi kena rehat sikit. Tapi ada juga yang balik agak lewat, singgah kedai. Yang kaki merokok,, waktu tu lah lepaskan gian dan beli stok.

Ada masa nya, air menjadi satu masaalah besar terutama pada musim kemarau. Bukan tak ada air tapi tekanan air agak rendah dan tak dapat naik ke tangki air yang ada di atas siling tingkat paling atas. Akibatnya, bilik air dan tempat mandi selalu tak ada air.

Kena bangun awal pagi kalau nak mandi, kalau tidak akibatnya mandi koboi, guna air satu baldi untuk mandi. Pihak sekolah akhirnya ambil inisiatif buat stand pipe kat luar di tingkat paling bawah. Stand pipe ni di pasang di tempat terbuka. Jadi mandi pun di tempat terbuka. Masaalah nya bila nak buang air besar. Terpaksa lah guna baldi dan lepas tu kena lah merayu kat kawan-kawan yang tengah tunggu giliran nak mandi. Kadang-kadang jadi gaduh juga. Riuh satu kampung! Pernah juga gaduh besar sampai bertumbuk sebab potong baris. Kerana nak senang, ada juga ambil kesempatan mandi waktu tengah malam dan simpan air dalam baldi dan bawa balik simpan kat bilik.Ada juga yang mandi tengah malam sambil menyanyi kuat. Kalau sedap ok lah jugak, kalau tidak kena boo saja. Ada yang takut nak mandi sorang, ajak pulak kawan temankan.

Satu istilah baru ialah ... ayaq kikih ... tapi tak lupa juga mandi kat paip rumah guru besar atau guru Penolong kanan. kadang2 masalah air ni, rumah cikgu tu kami pergi mandi, tak kisah lah dia ada tetamu ke tidak. Minta maaf lah cikgu kalau-kalau bil air tu tinggi. Dengar cerita kedua-dua cikgu ni dah bergelar Dato', jadi halal-halal le benda yang dulu-dulu tu.

Nak jadi cerita ada member yang sakit perut tengah malam, curi air dengan baldi sekali. Mana tak benggang. Ada juga yang tulis nama besar-besar kat baldi, buat tanda. Yang kreatif, beli pen permanent berbagai warna dan buat lukisan pada baldi. Besar besar dan menarik. Orang nak padam pun give up sebab banyak nak kena pakai thinner atau minyak tanah. Bukan senang nak cari benda-benda tu.

Entah macamana, tahun tu sekolah buat majlis asrama terbuka. Ini bermakna pelajar perempuan boleh melawat asrama lelaki dan pelajar lelaki boleh ronda-ronda asrama perempuan. Dulu tak boleh. Pelajar perempuan dibenarkan melawat asrama pelajar lelaki dulu. Dia orang ni datang dengan warden asrama perempuan. Lepas tu baru budak lelaki boleh ke sana. Tak ramai pun pelajar perempuan ke asrama lelaki. Mungkin takut atau malu nak tengok betapa teruknya budak lelaki di asrama.

Waktu lawatan tu, ada pulak budak lelaki yang buat bom air....isi air dalam plastik kemudian baling ke sasaran. Di lempar nya bom air tu ke pelajar perempuan yang tengah melawat asrama lelaki. Waktu tu mereka masih di ground floor. Berlari dia orang elakkan kena bom air. Budak lelaki lain pun join sekaki., tapi baling bom air sesama sendiri. Tingkat dua baling budak tingkat satu atau bawah dan begitu juga sebaliknya. Licin, basah dan berseleraklah plastik merata tempat. Ada juga yang melintas masuk ke dalam bilik dan kena tempat tidur. Ada juga yang mengamuk. Riuh lagi asrama.

Budak-budak perempuan pun cabut balik ke asrama. Lepas tu dia orang kunci pintu pagar masuk ke asrama perempuan dan halang budak lelaki yang nak buat kunjungan balas. Akhir kata, majlis asrama terbuka tu tak jadi malah gagal terus!

Monday, July 13, 2009

Penghargaan

Ucapan atau penghargaan atau ungkapan tanda bagus, jika di berikan orang yang kita tak kenal, yang muncul dengan tiba-tiba, boleh mengundang banyak persoalan. Keikhlasan juga boleh di pertikaikan, mungkinkah ada muslihat disebaliknya. Jika penghargaan itu dari orang terdekat , yang mengenal kita, yang tahu cara dan selok belok kerja kita, pewatakan kita atau diri kita secara peribadi, mungkin itu lebih bermakna... seperti seorang ayah yang mengucapkan tahniah atas kejayaan anak nya, walaupun tanpa ganjaran hadiah atau wang ringgit. Satu senyuman yang dilemparkan sudah cukup menggambarkan betapa besar hati dan bangga si ayah terhadap si anak.



Friday, July 10, 2009

Memoir : AkhirNya Ke Lana (Satu Pandangan)

Memoir : AkhirNya ke Lana ini mungkin turut dijengok oleh ramai kawan-kawan lama di SMS Ps dulu dan jugak mungkin dari Uitm . Pandangan kawan-kawan samada ada teguran atau pembetulan atas kesilapan atau nak tambah sesuatu yang tertinggal.... silakan.

Kalau nama tersebut dalam memoir ini, mohon kebenaran (untuk di tonjolkan) dan kemaafan (jika tersilap atau terguris perasaan).

Memoir ini akan berlanjutan sehinggalah sampai ke Penghujung ..... Lana, satu tempat di pendalaman.

Memoir : AkhirNya ke Lana (Bhg 6)

Malam tu, kumpulan kami menyenaraikan semua budak tingkatan empat yang selalu cari pasal dengan kami. Lepas lampu padam pada jam sebelas malam, kami berpecah kepada beberapa kumpulan. Budak-budak tingkatan empat yang jadi target diserang secara ambush di bilik masing-masing. Teruk juga kami sapu. Tak pulak cedera parah macam budak-budak sekarang ni...sampai ada yang patah tulang dan mati pun ada. Mohon maaf, aku tak terlibat secara langsung, cuma tahu le benda ni memang berlaku.

Lepas hit and run tu, masing-masing balik ke bilik dan bersiap sedia untuk hari esok. Namun esok, tak ada apa-apa yang berlaku. Mungkin budak-budak tingkatan empat tu dah tahu yang kami ni mungkin akan ambil tindakan balas yang lebih teruk jika mana-mana kawan kami kena rotan. Dia orang tak buat lapuran. Cuma kes tampar di dewan makan sahaja, kawan aku di panggil tapi setakat amaran saja sebab ternyata budak tingkatan empat tu yang salah.

Tapi yang jadi cerita bualan kami setiap hari selama berberapa bulan ialah tindakan serang hendap dan tumbukan jab yang di gunakan pada sasaran dalam keadaan tidak sedar dan suasana yang gelap. Minta ampun budak-budak tu. Aku tengok kawan-kawan aku tu berpeluh juga. Mana taknya, kena berlari secepat mungkin sebelum budak lain dalam bilik tu sedar siapa yang menceroboh bilik mereka.

Selepas peristwa tu, entah macamana, keadaan semakin baik. Kami budak tingkatan lima dan empat menjadi semakin baik. Boleh pulak bergurau dan main bersama di waktu petang. Dah jadi semakin kamceng!. Waktu tu budak tingkatan lima dan empat dan bersatu. Heran jugak, gang yang merokok ni dah macam ada satu ikatan pulak, baik betul sesama sendiri. Tak jadi macam kera sumbang... mungkin berkawan tu ada banyak makna seperti mudah nak pinjam rokok.

Cuma yang naik risau ialah pengawas...budak-budak yang dah jadi kamceng terdiri dari golongan hu..ha..hu..ha. Lepas dah join-up keadaan jadi kecoh. Yang bestnya kebanyakkan golongan ini aktif dalam sukan...samada sukan bola sepak ke, hoki ke atau olahraga. Ini semua sukan kegemaran dan selalunya menjadi pertaruhan pihak sekolah untuk menjadi juara. Banyak pulak yang menjadi peminat dan penyokong setia pasukan sukan ini. Memang kecoh dan gegak gempita bila bertanding. Yang ikut pasukan kami pergi bertanding di luar pun dari golongan Hu..Ha..Hu..Ha. Kalau pasukan luar cari gaduh, penyokong kami dah bersedia.

Kalau budak perempuan, kalau jadi wakil sekolah pasukan bola jaring dah kira hebat. Selalunya budak-budak ni memang popular kat sekolah. Ada juga dah pandai bercowok. Budak perempuan kan cepat matang. Aku tengok member aku yang lelaki ni sakit juga nak jaga standard...selalu lepak dan makan minum di kantin....duit keluar...pakai kena smart...dan selalu kena lepak kat library....boring woii.....

Sukan macam badminton, tenis, sepak takraw, bola lisut dan lain-lain kurang glamor. Yang masuk mewakili sekolah pun selalunya budak-budak slow-motion atau mat belia atau mat bercouple. Kami tak join le. Macam bola keranjang, budak yang main ini dari golongan pengikut. Ada yang join baik dengan kami dan ada juga yang mat belia. Tapi semua nya tak kisah, kalau ada orang luar usik budak-budak dari sekolah kami, kami semua bersatu dan bersedia membantu. Tak kira dari mana asal nya atau apa bangsa sekali pun. Kami tak pernah ada perkauman. Tak pernah fikir kaya ke miskin. Anak orang kaya pun selalu pinjam duit kami yang kurang berada ni. Kami jimat, dia orang joli.

Budak-budak dari bangsa Cina , India, Iban atau apa suku pun, kami tetap bersama. Buat apa pun bersama, susah senang bersama. Sama-sama tanggong.

Tapi heran jugak aku, waktu dulu, kalau student perempuan, walaupun dan form five, relax saja pakai seluar pendek untuk bersukan. Tak ada pulak budak-budak lelaki kacau ke apa ke...kalau sekarang, kalau budak perempuan dah besar panjang, berseluar pendek, mengucap panjang para ibu dan bapa. kalau sekarang ni kalau buat macam tu, mengucap panjang ustaz!

Kami yang masuk sukan berpasukan yang popular atau yang paling di minati seperti bola sepak, hoki dan bola jaring cukup bernasib baik sebab dapat jersi sekolah jika menang jadi juara atau naib juara, makan di tanggong beres bila menang perlawanan di luar, dapat layanan istimewa dan dapat selalu keluar dari kawasan pagar sekolah untuk pergi bertanding di sekolah luar.

Kebanyakkan yang main bola dan hoki bagi lelaki dan bola jaring bagi perempuan memang famous kat sekolah. Kalau penyerang pasukan bola sepak score gol dan team menang, memang ramai yang tumpang syok. Memang terkenal lah kat sekolah. “dia tu score dua biji, cantik dia sepak masuk” penyokong yang ikut serta. Dia orang yang bagi lapuran bila sampai sekolah. Soalan yang selalu di tanya....” menang ke kalah?....siapa score?” Itu soalan wajib. Kena rajin ulang banyak kali. Kalau jadi pertahanan, kadang-kadang dapat komen macam ....” kalau dia tak save, kalah kita,”... “atau “ dia main leceh betui, berapa kali terlepas, nasib baik gol keeper ok, kalau tidak mau kalah kita”...itu nasib pemain pertahanan.

Waktu assembly, selalu ada majlis penyampaian hadiah kemenangan, naik le ke pentas dengan tepukan gemuruh.... bangga ooiii....


Ok...lupa pulak...aku memang kaki sukan. Dari sekolah rendah lagi. mewakili sekolah untuk pasukan hoki dan bola sepak. Bawah 12, bawah 15 dan bawah 18 tahun. Bagi bawah 12 tahun, kami jadi johan bola sepak dan hoki. Bagi bawah 15 tahun, pasukan kami jadi johan hoki dan johan bola sepak, bawah 18 tahun, pasukan kami jadi johan hoki dan naib johan bola sepak. Bangga tau... tapi aku bukan lah pemain glamour atau pemain paling berharga. Bab team bola ni, aku ingat yang paling menonjol ialah Zambri , Amin Salleh dan ada beberapa orang lagi.. hoki pulak sama juga orangnya tapi aku ingat gol keeper hoki waktu tu Pak Ya ..nama betulnya Zul Yahya (kalau tak silap la) .

Tapi bila dah kerja, tak ada orang yang tahu dan peduli pun yang aku ni ahli sukan juga! Aku pun tak ada masa sangat cuma waktu di Pahang aku ada main untuk team Syarikat. Isteri aku yang tengah mengandung pun , aku bawa tengok aku main bola. Sayang ...anak-anak tak pulak yang kaki bola cuma minat tengok EPL dan boleh hafal ramai pemain EPL. Ada juga aku pernah mewakili syarikat di Johor bermain di Kuala Lumpur dalam sukanan tahunan antara anak syarikat ... main bola aje.

Apabila form four, entah macamana hubungan budak-budak aliran bahasa inggeris dan bahasa melayu rapat sungguh. Tak lah macam dulu, macam ada kelompok tertentu. Waktu tu, hubungan “kamcheng” bermula dari perkongsian sesuatu yang menjadi “something in common” dan tak lain dari para perokok dan minat sukan yang sama.

Yang seronoknya, waktu nie dah boleh buat aktiviti bersama, pergi sembahyang jumaat ,berjalan kaki bersama dan berkongsi rokok. Nama-nama member-member banyak yang guna nama samaran atau nama gelaran saja ... seperti Cerek, Pak Kob, Tojo, Napier, Kri, Pusing, Camel , Ali Kong dan lain-lain lagi. Bila dah terbiasa, nama penuh pun dah terlupa.

Nama nama ni kadang-kadang jadi nama Glamour, dan selalunya timbul atau tercipta akibat sesuatu insiden atau berpunca dari satu gurauan biasa. Sebagai contoh nama Tojo timbul ketika subjek sejarah berkenaan dengan seorang Jeneral Tentera Jepun bernama Jeneral Tojo, dan kawan kita ni terikat sangat dengan jeneral ni.

Sampai sekarang, lebih senang ingat nama glamour dari nama betul.

Thursday, July 9, 2009

Memoir - AkhirNya Ke Lana : Bhg 5

Waktu di tingktan tiga, cikgu selalu tekankan tentang peperiksaan LCE atau Lower Certificate of Education untuk aliran inggeris dan SRP atau Sijil Rendah pelajaran. Sekolah nak kekalkan tahap pencapaian seratus peratus kelulusan dan menjadi sekolah terbaik bagi negeri kami.

Selalu ada kelas tambahan, latihan peperiksaan dan majlis ulangkaji. Bersemangat sungguh cikgu-cikgu waktu itu. Memang bertuah mendapat cikgu sebegitu. Kami selalu di berikan kata nasihat dan perangsang dan akhirnya keputusan peperiksaan memang membanggakan. Aku pun lulus dengan cermelang. Dapat gred A. Aggregat pun baik. Cuma waktu itu tak adalah hadiah yang diberikan atau liputan berita besar-besaran macam sekarang. Cuma kami berseronok sendiri dengan kawan-kawan dan tak kisah sangat siapa yang paling baik. Keluarga rasa amat gembira dan berbangga.

Masuk tingkatan empat, kami menerima pelajar baru lagi. Ada pelajar lama bertukar ke sekolah atas permintaan masing-masing. Mungkin untuk lebih dekat dengan keluarga terutama bagi budak-budak yang jauh.

Tingkatan empat kata orang tahun honey moon. Maklumlah lepas habis periksa. Tapi sebenarnya perit terutama bagi kami dalam sekolah berasrama penuh dalam jurusan sains. Pening. Subjek paling pening ialah Matematik Tambahan. Subjek lain aku boleh terima lagi. Chemistry atau kimia paling aku minati. Mungkin cikgu yang mengajar pun baik dan pandai ambik hati kami. Yang boring ialah biology atau kaji hayat. Banyak sangat benda yang kena di baca atau di hafal. Ini yang lemah.

Matematik Tambahan pula cikgunya baik, cuba bersungguh untuk mengajar kami. Tapi bagi aku yang lembab sikit ni, jadi satu subjek yang begitu menekan. “Pening! Siapa lah yang pandai-pandai buat subjek ni” kata Halim dan Prem (kawan kami yang baru). Aku pun cakap, “ matematik tambahan tu maksud nya ...mati-mati tambah hang”. Dia orang pun ketawa. Tapi aku cukup hairan dengan kawan aku si Ali. Main sama-sama, bermalas pun sama-sama, bising sama-sama tapi bab matematik ni macam makan kacang. Dalam kelas dia cuma duduk tengok cikgu ajar lepas tu bila cikgu suruh buat depan papan hitan di depan, dia selamba aje buat dan betul pulak tu!. Ilmu apa dia pakai pun aku tak tahu.

Pernah aku, Prem, Zul dengan Hariri diberikan soalan di depan dan kami disuruh selesaikan. Sampai habis masa subjek tu kami belum dapat selesaikan sehinggalah sampai ke masa seterusnya iaitu Physic. Nak jadikan cerita, cikgu matematik ni minta cikgu Physic pastikan kami siapkan dulu soalan di depan tu. Leceh betul. Berpakat juga dia.

Tapi aku cukup bernasib baik sebab, Anita yang duduk di depan cuba bagi hint kat aku bila cikgu Physic tu sibuk dengan kerja dia. Dapatlah aku selesaikan. Kesian betul aku dengan Prem dan Zul yang terpaksa berdiri di depan sampai tamat masa Physic tapi tak juga dapat selesaikan masaalah tu.

Tngkatan empat dan lima adalah peringkat remaja. Aku tengok budak perempuan cepat betul mature. Ada dah yang pandai nak bercouple. Hairan juga aku tengok di orang ni. Hari-hari jumpa di library waktu kelas prep, bukan belajar sangat tapi bersembang entah apa-apa. Lama pulak tu. Tajuk apa pun aku tak tahu. Ada juga aku tanyakan kawan aku yang sorang ni...”hangpa sembang apa lama-lama, macam tak abih-abih cerita. Banyak betui. Buat novel ada juga paedah nya”. “ Ala hang tau apa...hangpa ni semua gang hu..ha..hu..ha, “ jawap kawan aku ni. “Ala kalau takat nak tanya dah makan ke belum, makan apa , buat apa...tak payah lah nak sembang lama-lama. Kita kan makan di dewan makan...sama je apa yang kita bantai” jawab aku membalas. “hang ni lah.....” jawab dia semula sambil tersenyum.

Yang bestnya aku dan kawan-kawan baik aku yang lain memang tak ada yang bercouple. Entah lah ...mungkin tak pandai atau memang budak perempuan pun tak suka pada kami yang suka jalan beramai-ramai dalam satu kumpulan dan suka buat bising.

Ada kawan kami yang kena tangkap semasa spot check kerana menyimpan rokok. Kena public canning waktu assembly. Yang syoknya, cikgu buat salam perkenalan yang agak panjang lebar tentang sahabat kami ni sebelum berikan hukuman rotan tu. Akhirnya kawan kami ni dapat satu surat dari secret admirer. Puas kena kutuk dek member. Sampai kesudahan nya tak tahu siapa secret admirer tu.

Tingkatan empat dan lima merupakan satu titik tolak dan perubahan dalam cara bergaul sesama rakan serta timbul nya semangat berpasukan terutama bagi kami di asrama. Tak kiralah samada benda yang di buat itu baik atau sebaliknya. Semua di buat bersama. Seronok. Ada thrill. Bargaduh pun angkat gang. Budak tingkatan empat bawa diri sesama sendiri, budak tingkatan lima sibuk dengan studi tapi ada juga yang releks. Yang best nya budak tingkatan tiga cuba masuk samada dalam gang tingkatan empat atau pun gang tingkatan lima. Jarang berlaku pertikaian antara budak tingkatan empat dengan tingkatan lima Cuma yang selalu terjadi disebabkan oleh budak tingkatan tiga yang ikut mana-mana gang dalam tingkatan lima atau empat. Dia orang ni minta tolong atau sokongan kalau ada apa-apa masaalah dengan gang atau kumpulan lain.

Kami semasa di tingkatan empat dan lima memang rapat antara satu sama lain, tak kira budak aliran melayu atau inggeris atau dari mana asal usul dan bangsa. Kebanyakkan di buat bersama.

Ada satu ketika semasa di tingkatan lima, waktu berbaris diluar dewan makan...ada seorang budak tingkatan empat cuba menyelit ke depan....potong barisan...kena pulak pengawas yang bertugas juga budak tingkatan empat. Jadi pengawas ni buat tak nampak saja. Aku dan member-member bengang juga...tapi kawan aku yang sorang ni dah tak tahan....terus ke depan dan tegur budak tadi. Apa yang terjadi sebaliknya...budak tadi mati-mati tidak mengaku.” Macam lah aku ni buta” tengking kawan aku ni. Keadaan jadi kecuh, pengawas tadi cuba masuk campur tapi nampak berat sebelah. Kami pun terpa ke depan, jadi lah kekecohan besar.

Datang lah satu cikgu perempuan, warden asrama perempuan. Amboi mak, dia pun macam berat sebelah juga. Mentang-mentang lah kami ni tergolong dalam kumpulan Hu..Ha..Hu..Ha. Kawan aku naik bengang, terus di tamparnya budak tingkatan empat ni depan warden peempuan tadi. Kami pun terus beredar, tak makan dan balik ke bilik. Di bilik kamai buat strategi. Member kami ni tentu kena public canning. Ikut peraturan sekolah memang sah. Alang-alang menyeluk perkasam, kami semua berpakat, biar puas hati. Biar putih tulang, jangan putih mata. Ini satu misi membalas dendam sebelum kawan kami di rotan.

Wednesday, July 8, 2009

AkhirNya Ke Lana - Bhg 4

Ketika di tingkatan satu hingga tingkatan tiga, hidup di sekolah berasrama tak banyak masaalah samada dari segi pelajaran, pergaulan atau kehidupan seharian. Semuanya terancang. Masih awal remaja, tiada banyak masalah. Pelajaran pun kira masih mudah dan kurang mengancam.

Aku dan kawan-kawan semuanya happy bila bersama. Semua terancang...dari bangun tidor, makan dan minum, ke kelas untuk belajar, masa rehat, masa beriadah dan bersukan dan masa tidur. Semua terancang. Semua ikut peraturan dan sebagai pelajar yang masih muda dan mentah, kami tak banyak komplen. Tak banyak kerenah. Ikut dan ikut sahaja. Displin yang cuba di atur. Tiada semangat memberontak. Suasana aman dan tenteram.

Teringat aku suatu ketika di mana aku bersama Halim dan Zul cuba belajar berniaga dengan menjual jajan atau makanan ringan di asrama. Kami kumpul duit dan kongsi modal seorang sepuloh ringgit. Tiap-tiap hari minggu apabila giliran kami keluar ke pekan, kami membeli stok. Untung memang memberangsangkan. Tiap-tiap malam , selepas kelas malam dan sebelum tidur , kami mulakan bisnes. Halim cukup rajin ...berjalan dari satu bilik ke satu bilik menjual barangan kami. Aku selalunya jaga stok dan tunggu pembeli datang ke bilik. Zul kadang-kadang keluar juga menjaja dari bilik ke bilik tapi dia selalunya suka tunggu di bilik. Ramai pembeli yang sentiasa mencari kami. Kami jual murah sebab beli dari kedai borong.

Masaalah dengan Halim, jualan selalu habis tapi duit nya tak banyak dikumpulkan. Rupanya dia juga selalu makan sendiri barang jualan, jadi kena bayar dengan duit sendiri. Aku tanyakan Halim “ hang ni banyak makan sendiri ke juai...selalu habis cepat. Aku dengan Zul tak kisah, asalkan duit hasil jualan semuanya dinagi balik buat modai.Kalau hang makan sendiri, kena bayaq juga tau!” Halim sekadar tersengih tapi dia sentiasa bayar penuh. Halim memang muka tak kisah. Tapi dia ni ada masalah dengan Hariri sehinggakan satu hari dia orang bergaduh. Puas kami settlekan. Tapi itu semua sekejap saja, esok baik semula.

Apabila cuti sekolah, selalunya kami akan bahagikan keuntungan hasil jualan. Modal sepuluh ringgit kadang-kadang dapat untung sampai seratus ringgit. Seronok tau!

Halim jarang balik ke Sabah. Kalau tak ada program semasa cuti sekolah, Yayasan Sabah selalunya aturkan program keluarga angkat. Selalunya Halim ikut aku balik ke rumah. Dan selalunya Yayasan Sabah akan bahagikan sedikit wang belanja kepada keluarga aku selaku keluarga angkat. Mak dan abah aku dah kenal sangat dengan Halim ni. Halim ni jenis tak kisah dan mudah mesra. Keluarga aku pun senang dengan dia. Halim dah jadi orang penting di Sabah sekarang. Ada juga aku telefon dia sesekali.

Aku menyertai pasukan hoki dan bola sepak bawah lima belas tahun. Pasukan kami amat digeruni dan tak pernah kalah. Mungkin pemain kami adalah pemain terpilih sebab kebanyakkan pelajar yang terpilih ke sekolah berasrama penuh ini aktif dalam sukan terutama sukan berpasukan. Kemudahan sukan di sekolah berasrama penuh juga lengkap dan terbaharu. Jurulatih dari kalangan guru pun yang terbaik. Guru besar pun minat sukan dan ada banyak peruntukkan. Ada juga penaja yang sanggup menaja pasukan kami terutama dari segi jersi pasukan.

Teringat aku akan kasut but (kasut bola) aku yang pertama dari jenama Adidas. Brand ni memang terkenal dan mahal. Dulu aku cuma dengar dan tengok orang pakai saja. Di sekolah ini kasut Adidas aku yang pertama ialah Adidas La Plata. Harga dalam lapan puloh ringgit pada masa itu. Itu pun dah kira mahal untuk orang macam aku. Sekolah hanya perlukan bayaran sepuluh ringgit dari kami dan bayaran selebihnya dibuat secara ansuran dan juga dari subsidi pihak sekolah. Sayang betul aku dengan kasut tu. Lepas main aku kiwikan. Tak pulak aku basuhkan kerana tak mahu kulitnya jadi keras dan kurang selesa di pakai. Apa yang aku buat cuma lapkan kotoran yang ada, beruskan dan keringkan sebelum aku sapu kiwi warna hitam dan berus sampai berkilat. Kata orang kalau buat begini kasut lebih tahan dan selesa di pakai. Memang tahan pun tapi mungkin kualiti kasut sebegitu memang baik dan hasil pembuatan memang terjamin. Bila cuti sekolah, kasut inilah yang pertama aku simpan dalam beg untuk dibawa balik. Aku jarang pinjamkan kasut aku pada orang lain kecuali apabila benar-benar perlu. Terpaksa!. Orang tua aku tak lah susah sangat tapi tak lah senang sangat...kalau benda perlu tu..ok lah.

Wednesday, July 1, 2009

Memoir - AkhirNya ke Lana : Bhg 3

AKU DAN SEKOLAH

Sekolah rendah aku simple sahaja...bangunan separuh kayu dan separuh batu. Yang lawaknya, tingkap nya terlalu tinggi dan kami sewaktu darjah satu terpaksa naik atas kerusi untuk membuka atau menutupnya. Padang sekolah agak luas, mungkin tanah waktu itu murah Cuma yang aku hairan, kenapa bangunan kelas di bina terlalu rapat antara satu dengan lain. Semua bangunan kelas hanyalah satu tingkat saja. Tiada bangunan tinggi waktu tu. Bangunan yang paling tinggi di pekan kecil ini ialah bangunan Wisma Persekutuan yang menempatkan pejabat-pejabat kerajaan persekutuan dan Wisma Negeri yang menempatkan pejabat menteri besar dan pejabat tanah.

Waktu di darjah dua, kami terpaksa menumpang di sekolah menengah berhampiran sebab sekolah kami sedang di naik tarafkan. Kami menumpang di sekolah menengah ini selama hampir setahun setengah. Waktu menumpang di sekolah menengah ini, keadaan agak kelam kabut terutama waktu rehat dan waktu nak bersukan. Budak-budak sekolah menengah (kami disessi petang), selalu saja kacau kami terutama ketika bermain bola di padang. Selalu saja nak mengganggu. Boring betul! Pernah juga kami nak bergaduh...tapi sebab kami ni masih kecil dan mereka rata-rata dari tingkatan satu dan dua, maka kami terpaksa bersabar . Namun pernah juga sekali terjadi pergaduhan apabila kami sedang bermain bola, ada budak sekolah menengah mengganggu rakan kami yang berketurunan sikh. Di ejeknya kawan kami sehinggakan dia naik marah dan cuma menendang budak sekolah menengah tersebut. Kawan-kawan budak sekolah menengah yang seramai tiga orang cuba masuk campur. Apabila keadaan bertambah tegang, aku dan kawan-kawan seklas yang lain masuk campur dan berlakulah pergaduhan....tendang menendang dan tumbuk menumbuk. Yang jelasnya tak ada siapa yang menang atau kalah cuma baju kotor dan semua dimarahi cikgu. Kami semua rasa bangga juga sebab lepas kejadian tu, tak ada lagi budak sekolah menengah yang mengganggu kami lagi.

Waktu tu, kami sekelas, tak kira apa suku bangsa atau kaum bersatu membantu kawan kami dari kaum sikh ini...Ranjit Singh. Kami semua berkawan baik. Tiada langsung perasaan perkauman. Makan, minum, belajar dan bermain bersama. Ada dua tiga orang kawan aku berbangsa cina seperti Yap dan Chong. Kami selalu bersama....sehingga lah terpisah apabila bertukar ke sekolah menengah. Cuma yang aku kesal, Ranjit telah meninggal dunia akibat penyalahgunaan dadah. Memang malang betul. Aku ingat dia bersama-sama aku dalam pasukan hoki sekolah. Ranjit penyerang yang handal dan aku bermain dalam posisi pertahanan. Yap sebagai penjaga gol dan Amin bersama-sama Ranjit sebagai penyerang. Ada juga seorang kawan sekelas kami bernama Mohd Nizar yang bermain sebagai pemain tengah. Nizar memang handal dan cekap. Nizar sekarang dah jadi jurutera, Chong dah jadi doktor, Amin pegawai kanan kerajaan dan malangnya aku dah hilang contact dengan Yap.

Zaman sekolah rendah penuh cerita dan kehidupan yang meninggalkan kenangan penuh suka duka dan nostalgia kehidupan zaman kanak-kanak.

Memasukki zaman sekolah menengah pula mencipta satu dimensi baru. Menerima tawaran ke sekolah berasrama penuh bagaikan satu titik tolak perubahan dalam diri aku dan keluarga aku. Satu permulaan baru dalam kehidupan. Satu pengalaman baru yang tak pernah dijangka, Aku pun tak tahu sangat macamana sekolah berasrama penuh ini. Yang jelas, semua pelajar harus tinggal di asrama.

Kawan sekelas aku yang bersama-sama ditawarkan ke sekolah berasrama penuh ialah Chong, Amin, Pak Mat, Nizar dan Azahar. Aku tak rapat sangat dengan Azahar sebab dia anak orang yang agak berada, pandai (dapat 5A) dan juga ketua pengawas. Tapi orang nya baik, juga pemain hoki dan pandai dalam pemainan catur.

Amin pernah bertanya aku .” hang nak pi ke sekolah tu?. Sekolah tu tang mana?” Aku pun jawab, “ tak tahu lagi, kena tanya abah aku. Tengok list barang macam banyak kena keluaq duit. Tengoklah nanti”.

Abah setuju dan sanggup keluarkan belanja. Abah aku tengok macam bangga. Mungkin dia dah tahu dari rakan-rakan sekerja yang mengatakan sekolah itu baik dan untuk pelajar-pelajar terpilih sahaja. Banyak juga borang yang kena isi dan kena dapatkan tandatangan penghulu dan majikan. Kena buat pemeriksaan doktor. Pertama kali aku kena x-ray. Nasib semuanya ok. Banyak juga barang yang kena beli, aku pun seronok juga. Waktu tu pulak sekolah berasrama penuh ada seragam masing-masing. Tak sama dengan sekolah biasa yang lain. Kami guna seragam seluar pendek berwarna putih dan baju putih. Kasut warna hitam dan berstokin putih. Itu sampai ke tingkatan dua sahaja apabila kementerian pelajaran menetapkan pakaian seragam yang serupa untuk semua sekolah iaitu seluar pendek warna hijau gelap dan baju putih. Bila masuk tingkatan empat, kami tukar seluar panjang warna hijau gelap Cuma pengawas sekolah pakai seluar warna coklat tua.

Di sekolah ini aku bertemu dan berjumpa ramai kawan-kawan baru dari sekolah rendah lain dan juga dari merata-rata negeri termasuklah dari Sabah dan Sarawak. Bermula lah satu lagi titik tolak dalam persahabatan baru.

Shukri, Zul, Hasnul, Kasiraja Pillay dan Kamel dari sekolah aliran inggeris dari negeri yang sama dan selalunya menjadi seteru utama dalam pertandingan sukan terutama hoki dan bola sepak. Ali, Syed Amir dan Syed Nazar pula dari sekolah lain, juga dari negeri yang sama. Halim dari Sabah. Hariri, Zaki, Meor, Megat, Khalid dan Zambri pula dari Perak. Ada ramai lagi termasuk lah Murni dari Sarawak. Budak-budak perempuan yang aku ingat ialah Anita, Sabariah, Boey, Arina, Sahrizan, Anne dan Norlida.

Tingkatan satu tak banyak masaalah . Kami semua berkawan baik umpama satu keluarga. Dan sebagai sebuah sekolah berasrama yang baru siap digunakan, tiada ragging atau buli. Kami semua senang bersama tanpa banyak kerenah senior-senior. Malah kami boleh dianggap macam pioneer . Ada satu batch pelajar tingkatan dua yang masuk enam bulan lebih awal kerana mereka semua telah terpilih dan terpaksa belajar dengan menumpang di sekolah lain kerana sekolah ini tak sempat disempurnakan mengikut jadual. Pelajar tingkatan empat masuk pada bulan April, setelah beberapa lama keputusan peperiksaan LCE dan SRP dikeluarkan.

Sekolah kami ada dua aliran bahasa iaitu bahasa inggeris dan bahasa melayu. Ada dua kelas bagi setiap aliran dalam setiap tingkatan. Maknanya ada 2 kelas tingkatan satu dalam aliran inggeris dan 2 kelas tingkatan satu dalam aliran bahasa melayu. Di sinilah aku berkenalan dengan Hisham, Sahril, Anuar dan lain-lain dari kelas aliran bahasa melayu. Kami semua berkawan baik tanpa mengira kelas atau aliran bahasa. Kami betul-betul bersatu hati dan berpakat baik. Main bersama, bersukan bersama dan tinggal dalam satu dorm bersama. Salah faham yang timbul antara kami selalunya diselesaikan dengan bantuan dan nasihat kawan-kawan.